Ketika dunia menyambut Tahun Baru 2020 pada 1 Januari lalu, wilayah metropolitan Jakarta, Indonesia, telah dilanda bencana banjir yang amat serius, selepas hujan lepas semalaman. Sekurang-kurangnya 60 orang telah dilaporkan mati kerana lemas, tanah runtuh, hipotermia dan kejutan elektrik. Bencana banjir ini merupakan kejadian banjir yang paling teruk di Jakarta sejak tahun 2007. Jakarta ialah sebuah bandaraya di Pulau Jawa yang sedang “tenggelam” kerana penenggelaman tanah dan kenaikan paras air laut, sehingga Kerajaan Indonesia sedang merancang untuk perpindahan ibu negara Indonesia keluar dari Jakarta. Penenggelaman tanah di Jakarta disebabkan terutamanya pengektrakan air bawah tanah yang berlebihan kerana pembangunan bandar yang tidak terkawal, sementara kenaikan paras air laut adalah kesan daripada pemanasan global.
Di benua yang terletak di selatan Indonesia, di negara jiran Indonesia yang berkongsi sempadan maritim yang sama, iaitu Australia, telah berlakunya kebakaran hutan yang amat serius dengan api membakar seolah-olah dunia kiamat. Dianggarkan tanah hutan dan belukar seluas lebih kurang 6.3 juta hektar telah dibakar dan sekurang-kurangnya 25 orang telah mati kerana kebakaran di negara maju “Dunia Pertama” tersebut. Pakar ekologi dari Universiti Sydney telah menganggarkan bahawa lebih kurang 480 juta haiwan telah terjejas dan berkemungkinan sudah mati kerana kebakaran selama 4 bulan kebelakangan ini. Kebakaran yang bermula sejak bulan September 2019 dan semakin serius dalam sebulan yang lalu ini, berpunca daripada suhu panas dan kemarau yang memecah rekod!
Kebakaran hutan memang sebahagian yang tidak dapat dipisahkan daripada Australia. Sebelum peneroka manusia yang pertama tiba di bumi Australia lebih kurang 50,000 tahun dahulu, kebakaran yang dicetuskan oleh sambaran kilat sudah merupakan sebahagian daripada lanskap untuk benua tersebut sekurang-kurangnya 30 juta tahun. Masyarakat orang asal di Australia yang menyedari hakikat ini telah menggunakan secara bijaksananya api daripada kebakaran liar untuk mengekalkan satu ekosistem yang sesuai untuk didiami manusia walaupun kebakaran datang setiap tahun. Amalan masyarakat orang asal yang hidup secara simbiotik dengan kebakaran liar yang bermusim telah dihancurkan oleh kedatangan penjajah Eropah dan sistem kapitalis yang hanya mengeksploitasi sumber alam di bumi Australia untuk keuntungan golongan pemodal. Dalam beberapa dekad kebelakangan ini, ancaman kebakaran hutan yang di luar kawalan semakin menjadi-jadi dan bertambah teruk kerana perubahan iklim sedunia. Perubahan iklim sedunia ini bukan lagi fenomena alam semulajadi, tetapi akibat daripada aktiviti masyarakat yang mengamalkan sistem kapitalis, satu sistem sosio-ekonomi yang memeras sebanyak mungkin tenaga buruh manusia dan sumber alam semulajadi untuk menjana sebanyak mungkin keuntungan kepada golongan kapitalis.
Perdana Menteri Australia, Scott Morrison, yang juga merupakan Pemimpin Parti Liberal, sebuah parti politik berhaluan kanan yang disokong oleh golongan korporat dan berkhidmat untuk kepentingan mereka, telah pergi bercuti di Kepulauan Hawaii pada bulan Disember 2019 ketika krisis kebakaran hutan sudah menjadi sangat serius. Morrison hanya pulang ke Australia selepas menerima kritikan hebat dan protes daripada rakyat Australia. Yang lebih ironi lagi adalah, sehingga hari ini, untuk sebuah negara maju seperti Australia yang merupakan negara menduduki tangga kesepuluh teratas dari segi pendapatan per kapita, untuk menghadapi kebakaran hutan yang sudah diketahui akan berlaku setiap tahun, masih bergantung kepada anggota bomba sukarelawan untuk mengawal kebakaran dan gagal memobilisasikan sumber yang diperlukan untuk menangani krisis ini.
Kerajaan Australia seperti kerajaan lain yang mengamalkan dasar ekonomi neoliberal telah mengurangkan perbelanjaan untuk membiayai perkhidmatan bombayang profesional dan meningkatkan kelengkapan serta melakukan pencegahan untuk kebakaran hutan. Tentera hanya dikerahkan selepas krisis kebakaran hutan sudah mencecah tahap yang amat kritikal. Sukarelawan yang berani telah melakukan usaha yang hebat untuk menyelamatkan ramai nyawa, sementara komuniti setempat sendiri yang terpaksa mengutip dana untuk perkhidmatan kebombaan. Persekongkolan antara syarikat korporat, termasuk syarikat pengeluar bahan api fosil, dengan elit politik daripada parti politik aliran utama yang memerintah, telah membantutkan usaha untuk melindungi alam sekitar daripada ancaman krisis iklim.
Nampaknya bukan sahaja iklim dunia sedang berada dalam krisis, sistem kapitalis seperti yang diamalkan di Australia juga berada dalam krisis yang serius. Kegagalan sistem kapitalis dalam menjaga kelestarian alam sekitar yang menyebabkan krisis iklim sedunia, dan sekarang krisis iklim sedang menjadikan kebakaran hutan yang bermusim di Australia satu malapetaka yang bertahap dunia kiamat.
Kita sedang menghadapi situasi Darurat Iklim, bukan sahaja di Australia ataupun Indonesia, tetapi di peringkat global, termasuklah negara Malaysia sendiri.Banjir di Jakarta dan kebakaran hutan di Australia, hanyalah isyarat amaran, tetapi sudah menyatakan dengan jelas bahawa KRISIS IKLIM ITU REALITI! Sistem kapitalis yang mengutamakan keuntungan korporat sedang menghancurkan ekosistem dunia kita dan mengancam seluruh masyarakat manusia di muka bumi. Jika kita ingin memastikan survival kemanusiaan dan hidupan di satu-satunya planet yang didiami kita, maka perlu bertindak dari sekarang juga untuk melawan golongan elit yang masih melindungi kepentingan golongan korporat yang mencemar alam, dan memulihkan penguasaan masyarakat secara kolektif terhadap sumber-sumber masyarakat kita. Kita perlu membina gerakan keadilan iklim yang kuat dari bawah sekarang juga!