(foto: Mamunur Rashid / NurPhoto)

Bangladesh dilanda gelombang protes besar-besaran pekerja pembuat pakaian yang menuntut kenaikan gaji minimum.

Sektor pembuatan pakaian merupakan tulang belakang kepada ekonomi Bangladesh yang berorientasikan eksport tetapi berasaskan eksploitasi yang teruk terhadap pekerja-pekerjanya. Terdapat lebih 4 juta daripada 71 juta orang pekerja di Bangladesh bekerja dalam sektor yang menjana sebahagian besar pendapatan eksport bagi negara itu. Bangladesh ialah negara pengeluar pakaian yang kedua terbesar di dunia, di belakang China. Sektor pembuatan pakaian telah menyumbang kira-kira 10% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Bangladesh. Pekerja-pekerja pembuat pakaian di Bangladesh yang dibayar dengan upah yang rendah itu mengeluarkan pakaian bagi jenama fesyen antarabangsa yang besar seperti Gap, H&M, Nike, Levi’s, Uniqlo dan Zara.

Pekerja-pekerja pembuat pakaian Bangladesh mula mengadakan protes pada bulan Ogos 2026, untuk menuntut kenaikan gaji supaya mengurangkan beban kos sara hidup yang melambung tinggi. Pekerja-pekerja pembuat pakaian Bangladesh menuntut kenaikan gaji minimum daripada ৳12,500 (bersamaan kira-kira AS$100 atau RM412) sebulan sekarang kepada ৳30,000 (bersamaan kira-kira AS$240 atau RM990) sebulan. Kenaikan harga makanan, perumahan, pengangkutan dan perkhidmatan kesihatan telah mengurangkan kuasa beli para pekerja secara ketara.

Gelombang protes pekerja pembuat pakaian Bangladesh menjadi semakin hebat pada penghujung bulan Oktober 2026 dan awal bulan November 2026, dengan aksi-aksi protes berlaku di kawasan perindustrian yang penting, seperti Ashulia, Gazipur dan Dhaka. Kira-kira 500 buah kilang di seluruh negara Bangladesh terpaksa ditutup buat sementara waktu pada 2 November 2026 kerana aksi protes pekerja. Ribuan pekerja berdemonstrasi di jalanan, tetapi dilayan dengan tembakan gas pemedih mata dan keganasan oleh pasukan polis.

(foto: Monirul Alam / EPA-EFE)

Pada 1 November 2026, kerajaan Bangladesh mengumumkan penubuhan Lembaga Gaji Minimum untuk menyemak semula kadar gaji minimum bagi pekerja-pekerja sektor pakaian, dan bertindak sebagai langkah untuk meredakan gelombang protes pekerja. Lembaga Gaji Minimum itu terdiri daripada 6 orang anggota, termasuk perwakilan daripada kerajaan, kesatuan sekerja dan pemilik kilang. Namun, pekerja-pekerja Bangladesh meneruskan protes jalanan selagi tuntutan kenaikan gaji minimum mereka masih belum dipenuhi.

Pada 5 November 2026, Lembaga Gaji Minimum bersetuju secara prinsip untuk menaikkan gaji minimum bagi pekerja-pekerja tekstil bermula bulan Disember 2026 tetapi tidak menyatakan angka yang tepat. Wakil pekerja mencadangkan sebuah struktur gaji minimum dengan ৳32,000 (bersamaan kira-kira AS$256 atau RM1,056) sebagai gaji lantai yang terendah, dengan hujahan bahawa kos sara hidup yang asas bagi sebuah keluarga dengan empat orang anggota adalah dari ৳45,000 (bersamaan kira-kira AS$361 atau RM1,485) hingga ৳60,000 (bersamaan kira-kira AS$481 atau RM1,980) sebulan. Namun, wakil pemilik kilang tidak mengemukakan apa-apa cadangan balas.

Pada masa yang sama, pihak berkuasa meningkatkan lagi tindakan ganas terhadap pekerja-pekerja yang berprotes. Sekurang-kurangnya seorang pekerja mati terkorban akibat serangan ganas oleh pasukan polis. Ramai pemimpin kesatuan pekerja ditahan. Pihak berkuasa juga melakukan pendakwaan jenayah terhadap ribuan orang individu tanpa nama atas pertuduhan seperti melakukan pembakaran secara sengaja dan vandalisme. Tindakan pihak berkuasa itu bertujuan untuk mewujudkan suasana ketakutan dalam kalangan pekerja-pekerja, kerana tangkapan boleh dilakukan sewenang-wenangnya terhadap sesiapa pun yang disyaki.

Walau bagaimanapun, protes masih berterusan. Sebelum ini, aksi mogok pekerja yang dianjurkan oleh Persekutuan Pekerja Pakaian dan Perindustrian Bangladesh (BGIWF) pada tahun 2023, telah berjaya mendesak kerajaan Bangladesh untuk meningkatkan gaji minimum bulanan bagi pekerja pembuat pakaian daripada ৳8,000 (bersamaan kira-kira AS$64 atau RM264) kepada ৳12,500 (bersamaan kira-kira AS$100 atau RM412) sekarang, walaupun tuntutan yang dikemukakan oleh pihak kesatuan sekerja ialah ৳23,000 (bersamaan kira-kira AS$184 atau RM759).

Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah mengeluarkan sebuah kenyataan yang bersolidariti bersama perjuangan pekerja Bangladesh dan mengecam tindakan ganas pihak berkuasa terhadap pekerja-pekerja yang menuntut kenaikan gaji minimum.

“PSM mengecam tindakan keras yang ganas serta penangkapan terhadap pekerja-pekerja pembuat pakaian dan pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja yang menuntut gaji sara hidup yang wajar,” kata Sivarajan Arumugam. “Kami menuntut agar penindasan agresif terhadap hak-hak pekerja dihentikan serta-merta. Kami juga menyeru kerajaan Bangladesh supaya mempercepatkan prosiding Lembaga Gaji Minimum, dan memenuhi tuntutan pekerja dengan menetapkan gaji minimum pada kadar sekurang-kurangnya ৳30,000 sebulan.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *