KUALA LUMPUR – 13 NOVEMBER 2026: Hasil daripada tekanan yang diberikan oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM), proses lelongan rumah seorang ibu tunggal telah berjaya dihentikan pada hari ini.

Rumah yang dibeli oleh Kavitha bersama mendiang suaminya pada tahun 2001 telah dijadualkan untuk dilelong oleh pihak Bank RHB pada 17 November 2026 berdasarkan sebuah perintah mahkamah yang diperoleh pada tahun 2007, sedangkan Kavitha telah berusaha untuk melunaskan hutang pinjaman perumahannya selama ini. Kavitha juga tidak dimaklumkan tentang perbicaraan mahkamah untuk tindakan melelong rumah itu. (Baca selanjutnya mengenai kes lelong rumah ini di sini.)

Kavitha telah hadir ke ibu pejabat Bank RHB pada hari ini untuk mengetengahkan masalahnya. Turut hadir bersolidariti bersamanya ialah aktivis-aktivis PSM, termasuk Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Nasional PSM.

Kavitha telah dibuli oleh pihak Bank RHB dengan syarat-syarat pinjaman dan tindakan yang tidak berperikemanusiaan. Kavitha telah membayar sejumlah wang yang  melebih RM105,000 dalam tempoh 20 tahun bagi pinjaman perumahan yang bernilai RM44,000, tetapi pihak bank masih hendak melelongkan rumahnya. Selepas suaminya meninggal dunia, pihak bank pada awalnya memberitahu bahawa pinjaman perumahannya tidak mempunyai insurans MRTA (Mortgage Reducing Term Assurance). Namun, selepas didesak beberapa kali dengan campur tangan daripada PSM, pihak Bank RHB mengaku memang wujudnya insurans MRTA bagi pinjaman berkenaan, tetapi tidak mencukupi untuk membayar semua tunggakan yang masih ada dicampur dengan bayaran guaman sebanyak lebih RM21,689 (yang hanya ditambahkan pada bulan Oktober 2026).

Oleh itu, PSM mengemukakan beberapa persoalan dan tuntutan kepada pihak Bank RHB untuk mendapatkan jawapan:

  1. Mengapakah kewujudan MRTA tidak dimaklumkan dan Kavitha dinafikan bayaran insurans MRTA sebelum ini? Bolehkah bayaran insurans dikira mulai tarikh kematian suaminya dan bukan sekarang?
  2. Mengapakah bayaran guaman dikira selepas tiga tahun kematian suaminya? Bayaran ini harus dibatalkan.
  3. Mengapakah kadar faedah pinjaman ini dinaikkan kepada 10% dari tahun 2008 hingga 2015? Adakah adil untuk peminjam yang tidak mampu membayar itu dikenakan faedah yang lebih tinggi? Adakah niat penstrukturan semula pinjaman itu untuk membantu peminjam atau merampas rumah mereka? PSM menyeru supaya kiraan faedah diturunkan seperti sediakala untuk tempoh tersebut
  4. PSM minta pihak Bank RHB untuk membuat satu pengauditan forensik untuk kes-kes lelong sebelum ini supaya mengenal pasti sama ada wujudnya ketirisan seperti yang terdapat dalam kes Kavitha.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada pihak ibu pejabat Bank RHB atas tindakan yang menghentikan lelongan rumah ini,” kata Karthiges Rajamanickam, aktivis PSM Sungai Siput yang turut hadir bersama Kavitha di ibu pejabat Bank RHB hari ini. “Kami menuntut maklum balas daripada pihak pengurusan bank mengenai isu-isu yang kami bangkitkan ini, kerana kami beranggapan bahawa ini bukannya satu kes terpencil, dan ia memerlukan penyelesaian yang menyeluruh.”

Baca selanjutnya mengenai kes lelong rumah ini di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *