
oleh Dr. Jeyakumar Devaraj
Terdapat sekumpulan petani yang terdiri daripada 11 orang yang kami di PSM Perak menggelar sebagai “Pemain Bola Sepak” (Footballers). Mereka telah mengusahakan tanaman sayur-sayuran di atas tanah kerajaan seluas 24 ekar, bersebelahan dengan Jalan Ulu Kuang, sejak zaman sebelum Perang Dunia II. Pada masa itu, mereka tinggal di rumah-rumah yang sederhana di kebun-kebun mereka. Pada tahun 1950, seperti semua pekebun sayur Cina yang lain di Malaya, mereka dipindahkan secara paksaan ke kampung-kampung baru yang dikelilingi kawat berduri di bawah Rancangan Briggs. Dalam kes ini, mereka dipindahkan ke Kampung Baru Tanah Hitam, Chemor, tetapi mereka dibenarkan oleh pihak pentadbiran British untuk terus mengusahakan pertanian pada waktu siang.
Negara kita mencapai kemerdekaan, tetapi petani-petani ini tidak pernah ditawarkan geran hak milik atau pajakan tanah, meskipun beberapa orang daripada mereka pernah membuat permohonan, malah ada yang memohon berulang kali. Faktor etnik berkemungkinan memainkan peranan dalam perkara ini – kerajaan pada masa itu mungkin berpendapat bahawa terlalu banyak harta di Malaya berada dalam tangan masyarakat Cina, dan “cengkaman” terhadap ekonomi ini perlu ditangani.[2] Namun, pihak berkuasa tidak pernah mengarahkan petani-petani ini untuk mengosongkan tanah kebun mereka – kawasan tersebut adalah terlalu terpencil untuk dijadikan lokasi bagi kegiatan ekonomi yang lain (sehingga tahun 2020). Tambahan pula, petani-petani ini membekalkan komoditi yang penting kepada negara kita – sayur-sayuran dan buah-buahan yang segar.

Pada tahun 2019, kumpulan petani ini terkejut dan kecewa apabila menerima notis daripada Pejabat Tanah Kinta yang mengarahkan mereka untuk mengosongkan tanah yang diusahakan mereka dalam tempoh dua minggu. Mereka mendapatkan bantuan daripada PSM, dan kami membawa mereka untuk berjumpa dengan pihak berkuasa tanah. Kami diberitahu bahawa Menteri Besar Perak telah memutuskan untuk membahagikan tanah ini kepada lot-lot perumahan bagi pasukan bola sepak negeri Perak sebagai ganjaran atas kejayaan mereka dalam Liga Malaysia. Kami merayu kepada Menteri Besar Perak. Pada bulan Julai 2019, Menteri Besar mengeluarkan kenyataan akhbar yang mengatakan bahawa Kerajaan Negeri akan menyediakan tanah alternatif kepada petani-petani yang terkesan supaya mereka dapat meneruskan aktiviti pertanian.[3]
Walau bagaimanapun, setelah banyak surat dihantar dan kunjungan beberapa kali ke Pejabat Tanah, tiada sebarang tawaran rasmi dikemukakan. Pada tahun 2022, apabila Pejabat Tanah Kinta mengeluarkan semula notis pengusiran di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara, yang memberikan petani-petani ini tempoh dua minggu untuk berpindah keluar atau berdepan dengan denda sebanyak RM500,000 dan/atau hukuman penjara, kami tiada pilihan lain selain membawa perkara ini ke mahkamah. En. Rabinder Singh dengan murah hatinya bersetuju untuk mengendalikan kes ini bagi pihak kami secara pro bono (iaitu tanpa mengenakan bayaran guaman). Kami memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan hujahan bahawa selagi Kerajaan Negeri belum menunaikan janjinya tentang tanah alternatif, petani-petani di situ tidak patut diusir. Mahkamah Tinggi bersetuju untuk memberi arahan dan menasihatkan pihak-pihak yang terlibat bahawa petani-petani tidak patut diusir sehingga perbicaraan selesai, dan petani-petani kami, “pemain bola sepak”, boleh terus mengusahakan tanah kebun sayur mereka sehingga kini.[4]

Pada tahun 2024, Pejabat Tanah Kinta menawarkan mereka tanah alternatif di kawasan kaki bukit di belakang Kampung Baru Changkat Kinding. Walaupun lokasi tersebut bukannya kawasan yang paling sesuai (kerana terlalu berbukit-bukit untuk penanaman sayur), petani-petani ini bersedia untuk menerima tawaran tersebut, sehingga mereka melihat perjanjian bertulis yang diberikan. Dokumen perjanjian dengan 5 muka surat ini pada mulanya kelihatan baik, dengan menawarkan pajakan 30 tahun kepada petani-petani dengan kadar sewa tahunan yang rendah. Namun, Fasal 2(xii) dalam dokumen ini menyatakan bahawa pemilik tanah, iaitu Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP), mempunyai hak untuk menggali dan mengeluarkan bahan galian serta pasir dari tapak berkenaan pada bila-bila masa. Lebih membimbangkan lagi, Fasal 2(xxvii) menyatakan bahawa perjanjian ini boleh dibatalkan oleh PPPNP dengan notis 30 hari pada bila-bila masa, tanpa memberikan sebarang pampasan.
Ini memang tidak masuk akal. Menyediakan tanah supaya ia dapat menanam tanaman memerlukan banyak usaha dan modal – teres-teres perlu dibina, bekalan air perlu dipastikan melalui pembinaan empangan kecil di anak sungai berhampiran dan pemasangan pam serta paip untuk menyalurkan air ke atas kawasan cerun. Tanaman yang ditanam mungkin mengambil masa selama beberapa tahun untuk matang sebelum petani-petani boleh mula menuai hasilnya. Bagaimana mereka boleh melaburkan apa-apa wang dan tenaga di tanah dengan adanya Fasal 2(xii) dan 2(xxvii) yang boleh menjejaskan hak mereka pada bila-bila masa?
Lebih memburukkan keadaan adalah, Fasal 2(xxii) dalam perjanjian itu menyatakan bahawa petani-petani harus menguruskan sendiri mana-mana “setinggan” yang mungkin sudah berada di tanah yang ditawarkan kepada mereka.
Sudah tentunya petani-petani ini tidak berpuas hati dengan fasal-fasal sedemikian. Sepanjang dua tahun yang lepas, mereka telah menghadiri mesyuarat dengan Pejabat Tanah dan PPPNP, untuk meminta supaya fasal-fasal ini dipinda. Namun, Pejabat Tanah dan PPPNP yang merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri Perak telah bersikap degil dan enggan meminda mana-mana fasal. Peguam kami juga mengambil masa untuk menghadiri mesyuarat-mesyuarat ini, tetapi gagal memujuk pihak berkuasa untuk bertindak secara adil.
Pindaan terhadap fasal-fasal yang disebut di atas tidak akan melibatkan sebarang perbelanjaan kewangan oleh Kerajaan Negeri, dan ia akan menjadikan tawaran berkenaan sesuatu yang realistik dan ikhlas. Keengganan Pejabat Tanah dan PPPNP untuk berbuat demikian agak sukar untuk difahami. Petani-petani ini masih cuba untuk berjumpa dengan wakil rakyat yang dipilih bagi memperjuangkan nasib mereka. Adalah diharapkan bahawa pihak berkuasa akan sedar dan memahami bahawa usaha membina sebuah negara yang bersatu memerlukan lebih daripada sekadar kenyataan yang sedap didengar semasa sambutan Hari Kemerdekaan. Ia memerlukan keikhlasan dan, yang paling penting, layanan yang adil terhadap semua masyarakat.
==========
Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).
==========

Nota:
- Buruk siku ialah peribahasa yang bermaksud pemberian yang tidak ikhlas, iaitu sudah memberi sesuatu kepada orang tetapi mengambilnya balik.
- Adalah tidak jujur bagi pihak berkuasa untuk menuduh petani-petani kecil ini menggunakan tanah kerajaan tanpa membayar apa-apa sewa, sedangkan pada hakikatnya, dasar Kerajaan Negeri Perak yang menafikan sebarang hak pemilikan sah kepada petani-petani yang mengusahakan tanah berkenaan sejak zaman sebelum Perang Dunia II.
- Menteri Besar Perak juga membayangkan bahawa PSM mempergunakan isu ini untuk menonjolkan dirinya sebagai jaguh pembela masyarakat miskin, sedangkan kepentingan penghuni asal tanah telah pun diambil kira dan dijaga oleh Kerajaan Negeri.
- Malangnya, setakat inilah bantuan yang kami dapat berikan kepada kebanyakan kumpulan petani. Kami hanya berjaya menghalang pengusiran serta-merta dengan mengemukakan rayuan dan membawa masalah ini ke mahkamah. Di beberapa buah kawasan, pihak pemaju telah bersetuju untuk membayar sejumlah pampasan kewangan untuk mempercepatkan proses pengambilan tanah. Dalam kes yang lain, seperti kes “pemain bola sepak” ini, kami mendapat tawaran tanah alternatif. Namun, daripada 20 buah kawasan pertanian sayur yang kami perjuangkan dalam tempoh 6 tahun yang lalu, tiadanya satu pun yang berjaya mempertahankan tanah mereka untuk pengeluaran makanan jangka panjang. Oleh itu, dari segi mempertahankan keterjaminan makanan negara kita, usaha kita boleh dikatakan telah mengalami kegagalan besar.
