
oleh Cecilia Anthonysamy
Rakyat dikejutkan dengan video tentang bangunan baharu Hospital Seberang Jaya mengalami kebocoran siling yang teruk. Kejadian itu berlaku pada waktu malam 7 November 2026. Dalam video berkenaan, dapat dilihat air naik beberapa inci sehingga banjir di koridor dan kakitangan terpaksa berpayung sambil menolak troli ubat.
Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr. Zulhizzam Abdullah, berkata bahawa kebocoran siling bangunan baharu Hospital Seberang Jaya adalah kejadian luar jangka yang disebabkan hujan lebat yang berterusan, angin kencang dan aliran air yang terlalu banyak. (Berita Harian, 8 November 2026)
Sekiranya punca kejadian adalah disebabkan hujan terlalu lebat, kenapa tiada laporan tentang rumah atau bangunan tinggi lain di kawasan yang sama juga bocor pada masa yang sama?
Bangunan baharu tidak dijangka bocor
Bangunan baharu Hospital Seberang Jaya yang dibina dengan kos RM371 juta merupakan blok klinikal tambahan setinggi 9 tingkat yang mula beroperasi secara berperingkat sejak 5 Mei 2025 dan dirasmikan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 24 Januari 2026. (BERNAMA, 24 Januari 2026)
Perancangan dan pembinaan bangunan baharu ini sangat membantu dalam melegakan kesesakan dan memantapkan perkhidmatan. Pembangunan fasiliti kesihatan seperti ini amat dihargai.
Namun, bagaimana bangunan baharu boleh mengalami kebocoran siling dalam tempoh masa yang singkat selepas siap dibina? Adakah kita harus menyalahkan hujan? Pihak berkuasa seharusnya tidak sewenang-wenangnya memberi gambaran bahawa ini sesuatu yang boleh diterima.
Apakah punca sebenar?
Bagaimana dengan ketahanan bumbung, siling dan saliran air bangunan baharu, serta mutu pemasangan kalis air bangunan baharu ini?
Adakah kontraktor pembinaan bangunan hospital dipertanggungjawabkan supaya melakukan pembinaan yang berkualiti memandangkan ini bukannya insiden pertama di mana siling bangunan hospital bocor.
Parti Sosialis Malaysia (PSM) menuntut supaya:
- Penyiasatan yang telus dilakukan ke atas kualiti pembinaan bangunan baharu.
- Audit kualiti struktur kalis air dilakukan oleh penyiasat bebas.
- Kualiti pembinaan hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dipertingkatkan.
- Laporan penyiasatan punca kebocoran didedahkan secara telus.
- Tindakan diambil ke atas pihak yang cuai dan bertanggungjawab terhadap kejadian ini.
==========
Cecilia Anthonysamy ialah Ahli Jawatankuasa Kempen Selamatkan Sistem Kesihatan Awam PSM.
Kempen Selamatkan Sistem Perkhidmatan Awam ialah sebuah inisiatif Parti Sosialis Malaysia (PSM). Tandatangani petisyen dalam talian untuk kempen “Selamatkan Sistem Kesihatan Awam” di sini.
