
oleh K. Kunasekaran
PSM Perak merujuk kepada pengumuman Nga Kor Ming selaku Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhubung kelulusan peruntukan khas RM30 juta oleh Perdana Menteri bagi penurapan semula 600 jalan di kawasan perumahan di seluruh negeri Perak.
Meskipun inisiatif membaik pulih infrastruktur asas ini dialu-alukan oleh seluruh penduduk Perak, pihak kami ingin mengemukakan empat (4) tuntutan utama demi memastikan peruntukan bernilai puluhan juta ini benar-benar memberi manfaat secara adil, saksama, dan telus kepada rakyat:
1. Jadual pelaksanaan perlu disegerakan, bukan menunggu musim pilihan raya
Kami mendesak agar keseluruhan jadual pelaksanaan projek penurapan jalan ini dipercepatkan dan disiapkan tanpa sebarang kelewatan birokrasi. Keadaan jalan perumahan yang berlubang dan rosak teruk adalah isu keselamatan harian rakyat yang mendesak. Kerja-kerja naik taraf ini mesti diselesaikan segera atas dasar kebajikan, bukannya sengaja dilambat-lambatkan untuk dijadikan bahan kempen apabila hampir dengan musim pilihan raya.
2. Terbitkan senarai penuh 600 jalan secara terbuka
Kerajaan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) digesa untuk menerbitkan senarai penuh 600 jalan yang bakal diturap secara terbuka kepada umum melalui portal rasmi KPKT dan PBT berkaitan. Ketelusan ini amat penting supaya penduduk dapat menyemak status jalan di kawasan perumahan mereka, di samping mengelakkan peruntukan ini ditumpukan secara tidak adil di kawasan-kawasan tertentu sahaja.
3. Utamakan jalan perumahan terpinggir dan kos rendah
Keutamaan penurapan mesti diberikan kepada jalan-jalan di kawasan perumahan awam kos rendah, Rancangan Perumahan Tersusun (RPT), kampung baru, serta kawasan pinggir bandar dan luar bandar yang sudah berpuluh tahun berlubang dan diabaikan tanpa penyelenggaraan berkala.
4. Kawalan kualiti yang ketat dan elak kerja “asal boleh”
KPKT dan PBT mesti memastikan kerja-kerja penurapan dipantau secara ketat mengikut spesifikasi teknikal dan ketebalan yang betul. Amalan penurapan secara “cincai” atau sekadar menampal permukaan yang menyebabkan jalan cepat rosak semula mesti dibendung agar dana penjimatan awam sebanyak RM30 juta ini tidak dibazirkan begitu sahaja.
Infrastruktur dan kemudahan jalan raya yang selamat serta selesa adalah hak asas setiap penduduk di Perak. Kami menggesa pihak kerajaan negeri dan KPKT untuk bertindak pantas, telus, dan adil dalam menyalurkan peruntukan ini demi keselamatan serta kesejahteraan seluruh rakyat Perak.
==========
K. Kunasekaran ialah Ahli Jawatankuasa Parti Sosialis Malaysia (PSM) Negeri Perak.
