(tangkap layar daripada video MOF Malaysia / Youtube)

oleh Dr. Jeyakumar Devaraj

Parti Sosialis Malaysia (PSM) kecewa dengan Belanjawan 2027 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri pada 9 Oktober 2026. Walaupun terdapat beberapa langkah dalam Belanjawan 2027 yang menawarkan sedikit bantuan kepada rakyat biasa, termasuk peningkatan dalam gaji minimum kepada RM2,000 sebulan dan bantuan tambahan melalui STR dan SARA, belanjawan ini gagal dalam menangani isu-isu struktural yang telah mewujudkan dan mengekalkan masalah ekonomi Malaysia.

  • Penekanan gaji pekerja Malaysia kepada kira-kira 1/6 hingga 1/8 daripada gaji yang diterima oleh pekerja yang melakukan kerja-kerja yang serupa di California atau Jerman.
  • Perlumbaan ke bawah dalam cukai korporat dalam kalangan negara-negara ASEAN yang menyaksikan kadar cukai korporat negara itu menurun daripada 40% daripada keuntungan syarikat pada tahun 1988 kepada 24% pada masa ini.
  • Defisit belanjawan yang berterusan sepanjang 28 tahun yang lalu sehingga menyebabkan hutang negara yang terkumpul sebanyak RM1.3 trilion dan bayaran khidmat hutang yang diunjurkan kira-kira RM61 bilion pada tahun 2027.
  • Pengagihan pendapatan negara kasar (GNI) yang amat tidak seimbang, dengan 10% individu dan syarikat korporat yang terkaya menerima 56% daripada GNI sementara rakyat 90% terbawah hanya menerima 28% dan kerajaan pula menerima bahagian yang kecil, iaitu 16% daripada jumlah pendapatan negara.

Dalam ekonomi pasaran bebas, kekayaan cenderung untuk terkumpul dalam kalangan golongan terkaya. Adalah menjadi tanggungjawab bagi kerajaan untuk memperoleh hasil yang mencukupi supaya dapat melaksanakan program-program yang memastikan tiadanya sektor masyarakat yang tercicir. Memang benar isu-isu struktural yang disebut di atas tidak boleh diselesaikan dalam satu belanjawan sahaja. Namun, isu-isu ini harus dikenal pasti dan ditangani. Malangnya, ucapan belanjawan Perdana Menteri  tidak memberikan sebarang petunjuk bahawa isu-isu yang disenaraikan di atas telah dipertimbangkan oleh kerajaan. Ini amat membimbangkan kami.

Hakikatnya, Malaysia memerlukan perkhidmatan awam yang lebih kukuh, gaji kehidupan wajar yang membolehkan rakyat hidup secara bermaruah, dan dasar ekonomi yang mengutamakan kesejahteraan hidup majoriti rakyat. Akan tetapi, matlamat-matlamat dasar ini memerlukan peruntukan bahagian yang lebih besar daripada pendapatan negara yang disalurkan kepada kerajaan sebagai hasil. Tanpa menangani hakikat bahawa hasil kerajaan telah menurun secara relatif berbanding KDNK selama 40 tahun yang lalu, adalah sukar bagi mana-mana kerajaan untuk melaksanakan tanggungjawabnya terhadap rakyat.

Kesihatan awam memerlukan komitmen yang jauh lebih besar

Kementerian Kesihatan akan menerima peruntukan RM47.7 bilion pada tahun 2027, ketimbang RM46.52 bilion pada tahun 2026. Walaupun terdapat peningkatan sebanyak RM1.18 bilion secara nominal, ia bukan sesuatu yang boleh dibanggakan! Apabila mengambil kira anggaran inflasi berkaitan kesihatan sebanyak kira-kira 5% pada tahun 2026, peruntukan sebanyak RM47.7 bilion bagi tahun 2027 sebenarnya adalah lebih rendah dari segi nilai sebenar berbanding jumlah peruntukan bagi tahun 2026. (RM46.52 bilion X 1.05 = RM48.85 bilion). Dan ini berlaku dalam persekitaran ekonomi di mana kos bagi banyak komoditi telah meningkat secara mendadak kerana perang di Iran. Tambahan pula, semakin ramai rakyat Malaysia beralih kepada menggunakan hospital awam kerana kos sara hidup yang semakin meningkat. Ini termasuklah 340,000 orang individu yang telah menamatkan polisi insurans kesihatan mereka sejak bulan Januari 2024 kerana mereka tidak lagi mampu dalam menanggung kenaikan bayaran premium insurans.  

Kakitangan kesihatan awam kita sedang bekerja dengan sangat keras dalam keadaan yang sukar. Pada pandangan kami, kegagalan kerajaan MADANI dalam menyokong mereka dengan dana yang mencukupi adalah sangat tidak bertanggungjawab. PSM telah menggesa kerajaan agar memberi komitmen jelas untuk meningkatkan peruntukan kepada kesihatan awam kepada 5% daripada KDNK dalam tempoh lima tahun. Dalam cadangan belanjawan alternatif kami bagi tahun 2027, kami menyeru untuk peruntukan sebanyak RM61.6 bilion bagi tahun 2027, demi membina semula dan memperkukuhkan kesihatan awam. Ini adalah berasaskan peningkatan dalam peruntukan kesihatan daripada 2.2% daripada KDNK pada tahun 2026 kepada 2.75% daripada KDNK pada tahun 2027. Adalah amat mengecewakan apabila ia bukan menuju ke arah sasaran 5% daripada KDNK bagi kesihatan awam, sebaliknya negara kita telah mengurangkan peruntukan kesihatan kepada 1.95% daripada KDNK (dengan andaian KDNK sebanyak RM2.442 trilion). Sangat mengecewakan!

Pendanaan tambahan adalah amat diperlukan untuk mengekalkan tenaga kerja profesional kesihatan, mengembangkan hospital dan klinik, menyelenggara fasiliti, memastikan bekalan ubat-ubatan dan kelengkapan yang mencukupi, serta memperkukuhkan jagaan primer dan pencegahan. RM300 juta yang diperuntukkan untuk membeli perkhidmatan perubatan daripada sektor swasta hanyalah setitis air dalam baldi. Keperluan yang sebenar adalah jauh lebih banyak. Hanya sebahagian kecil daripada mereka yang memerlukan rawatan segera dapat dibantu melalui inisiatif penyumberan luar ini.

Kekurangan pendanaan yang berlarutan bagi sistem kesihatan awam merupakan punca utama kepada masalah-masalah utama dalam Kementerian Kesihatan. Malangnya, Belanjawan 2027 telah memburukkan lagi krisis yang dihadapi oleh Kementerian Kesihatan!

Gaji minimum RM2,000, dan itu pun bukan untuk semua pekerja!

Keputusan kerajaan untuk menaikkan gaji minimum kepada RM2,000 mulai bulan Jun 2027, sambil mengecualikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan hasil jualan tahunan di bawah RM50 juta, menyebabkan terlalu ramai pekerja terpaksa terus menunggu peningkatan yang bermakna dalam kesejahteraan hidup mereka.

Menurut Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong (dipetik dalam The Star 8/10/2026), statistik mengenai saiz syarikat dalam sektor swasta adalah seperti berikut:

Jualan tahunanBilangan syarikat
Lebih daripada RM100 juta5,578
RM20 juta – 100 juta14,567
RM5 juta – 25 juta51,710
RM3 juta – 5 juta25,503
Kurang daripada RM3 juta1,100,000

Ambang hasil jualan RM50 juta itu mengecualikan 100% daripada PMKS di negara ini dan syarikat-syarikat ini dianggarkan mengupah kira-kira 4 juta orang pekerja. Bukan semua daripada pekerja ini menerima gaji minimum pada masa ini. Anggaran kami ialah kira-kira 1/3 hingga 1/2 daripada pekerja ini menerima gaji minimum – sejumlah kira-kira 2 juta orang pekerja, dan mereka akan kekal menerima gaji RM1,700 sebulan kerana pengecualian ini.

Menurut anggaran PSM, kira-kira 700,000 orang pekerja yang menerima gaji minimum semasa mungkin diupah oleh kontraktor yang membekalkan perkhidmatan pembersihan dan kawalan keselamatan di bangunan sekolah kerajaan, hospital awam dan pejabat kerajaan yang lain. Kerajaan boleh melaraskan kontrak-kontrak ini melalui mekanisme pelarasan harga kontrak, supaya kontraktor yang memberi perkhidmatan kepada kementerian dan jabatan kerajaan menerima tambahan RM400 sebulan bagi setiap orang pekerja mulai bulan Julai 2027, dengan syarat mereka melaksanakan gaji minimum baharu RM2,000 sebulan. Berdasarkan anggaran ini, kos tambahan adalah RM1.68 bilion bagi bulan Julai hingga Disember 2027 (700,000 × RM400 × 6). Perbelanjaan ini akan diagihkan merentasi beberapa kementerian. Pada pandangan PSM, langkah ini boleh dilaksanakan, dan kami kecewa kerana langkah sedemikian tidak dimasukkan secara jelas dalam Belanjawan 2027.

Satu lagi kumpulan pekerja yang menerima gaji minimum semasa RM1,700 adalah diupah oleh kontraktor yang membekalkan perkhidmatan pembersihan, kawalan keselamatan dan perkhidmatan lain kepada syarikat yang lebih besar. Syarikat yang lebih besar ini, termasuk syarikat yang disenaraikan dalam Bursa Malaysia, harus diwajibkan untuk melaraskan kontrak perkhidmatan mereka masing-masing supaya memastikan kontraktor dapat membayar pekerja mereka dengan gaji minimum baharu.

Bagi pekerja yang menerima gaji RM1,700 di syarikat yang lebih kecil dan menghadapi masalah kekangan kewangan, PSM mencadangkan bantuan kerajaan bersasar sebanyak RM400 sebulan bagi setiap orang pekerja untuk PMKS yang layak, atau pelepasan cukai yang setara, berdasarkan kriteria kelayakan yang ditetapkan dengan jelas. Kerajaan harus melindungi perniagaan yang benar-benar terjejas tanpa membenarkan syarikat yang mencatatkan hasil jualan tahunan yang besar mengelak daripada membayar gaji yang wajar kepada pekerja.

Gaji RM2,000 sebulan sudah tentu bukannya gaji kehidupan wajar. Ia jauh lebih rendah daripada RM2,500 sebulan yang dicadangkan oleh PSM. Namun, menafikan kenaikan gaji yang sedikit ini kepada kira-kira 50% pekerja yang menerima gaji minimum adalah tidak boleh diterima langsung. Adalah diharapkan bahawa kerajaan akan melaksanakan segera cadangan-cadangan yang diperincikan di atas. Kita semua harus ingat bahawa kadar kenaikan gaji minimum dalam belanjawan ini (17.6%) adalah jauh lebih rendah berbanding kadar kenaikan di bawah pentadbiran Ismail Sabri terdahulu. Pada masa itu, iaitu tahun 2022, gaji minimum meningkat daripada RM1,100 kepada RM1,500, satu peningkatan sebanyak 36%.

Gaji rendah juga melemahkan kuasa beli domestik. Apabila pekerja mempunyai sedikit pendapatan selepas membayar untuk makanan, perumahan dan pengangkutan, mereka tidak dapat membelanja sebanyak yang sepatutnya di kedai dan perniagaan tempatan. Oleh itu, menekankan gaji pada kadar rendah dalam keseluruhan ekonomi boleh menjejaskan permintaan pengguna yang menjadi sandaran perniagaan yang lebih kecil untuk terus bertahan.

PSM menegaskan bahawa kerajaan harus beralih ke arah melaksanakan gaji minimum RM2,500 bagi semua pekerja, bersertakan pelepasan cukai atau bantuan secara langsung sebanyak RM400 sebulan bagi setiap pekerja kepada PMKS yang layak untuk membantu mereka dalam menampung kos upah yang lebih tinggi.

Perniagaan yang lebih kecil menghadapi kesulitan kewangan yang nyata

Jika perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sedang bergelut, kita harus meneliti tekanan yang dihadapi mereka. Adakah pekerja yang menuntut kehidupan bermaruah itu puncanya, atau syarikat yang lebih kecil dihimpit oleh pembeli yang dominan, rangkaian peruncitan yang berkuasa, persaingan agresif di bawah perjanjian perdagangan besar dan pemusatan pasaran yang semakin menjadi-jadi?

Dalam konteks ini, PSM menyokong peruntukan RM5 bilion oleh Bank Negara itu membantu PKS yang menghadapi masalah aliran tunai. Adalah diharapkan bahawa dana ini dapat disalurkan kepada PKS secara jelas (berasaskan kriteria) dan telus.

Usaha mengurangkan korupsi dan penyalahgunaan kewangan kerajaan harus melangkaui retorik

Perdana Menteri menggesa kakitangan awam untuk menjalankan tugas mereka secara jujur dan adil. Walau bagaimanapun, beliau tidak mengetengahkan peranan penting yang dimainkan oleh ahli-ahli politik kanan dalam mengekalkan amalan rasuah besar di negara kita. Begitu juga beliau tidak membangkitkan satu langkah penting yang harus diambil oleh Malaysia untuk mengurangkan kehilangan dana kerajaan akibat korupsi dan penyelewengan – sesetengah kajian menganggarkan kehilangan dana kerajaan yang mencecah RM30 bilion hingga RM40 bilion setahun.

Langkah penting tersebut ialah mewujudkan tembok pemisah antara cabang eksekutif kerajaan dengan agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang sepatutnya memainkan peranan semak dan imbang dalam tadbir urus negara. Ini termasuklah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pendakwa Raya, sistem kehakiman, Ketua Audit Negara dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM). Pemilihan ketua bagi institusi-institusi penting ini tidak seharusnya diserahkan kepada cabang eksekutif (Perdana Menteri dan Kabinetnya). Malaysia perlu menggubal undang-undang untuk menubuhkan sebuah badan khas yang dipertanggungjawabkan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai pencalonan individu yang sesuai bagi jawatan-jawatan yang disebut di atas.

Pertumbuhan ekonomi harus meningkatkan kehidupan rakyat pekerja

Kerajaan harus menilai kejayaan dasar ekonominya berdasarkan sama ada pekerja, petani dan peniaga kecil menerima bahagian yang lebih adil daripada kekayaan yang dihasilkan oleh mereka, sama ada keluarga mampu memenuhi keperluan asas, dan sama ada perkhidmatan awam itu boleh diharapkan dan mudah diakses.

Belanjawan 2027 mengandungi beberapa langkah yang bermanfaat, tetapi ia tidak cukup untuk menangani persoalan-persoalan ini. Malaysia memerlukan komitmen yang lebih kukuh dalam peruntukan awam bagi penyediaan perkhidmatan asas oleh sektor awam, gaji yang adil, percukaian progresif dan ekonomi yang menyokong permintaan domestik bukannya membebankan rakyat biasa dengan pelarasan terhadap kekangan kewangan luaran.

PSM menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan semula keutamaannya dan mengamalkan dasar yang mengurangkan ketidaksamarataan struktural. Bahagian pendapatan negara yang lebih besar harus disalurkan kepada kerajaan sebagai hasil, dan sumber awam harus digerakkan untuk memperbaiki kehidupan rakyat. Perniagaan yang mendapat manfaat daripada ekonomi Malaysia harus menunaikan tanggungjawab mereka terhadap pekerja dan masyarakat.

Sebuah belanjawan harus dinilai berdasarkan sejauh mana ia mewujudkan keterjaminan, maruah dan peluang bagi rakyat biasa. Rakyat pekerja Malaysia berhak menikmati sebuah ekonomi yang memberi manfaat kepada mereka, bukannya ekonomi yang sentiasa terus meminta mereka untuk menanggung kos akibat kelemahan ekonomi itu sendiri.  

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *