Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengadakan sidang akhbar pada 2 Oktober 2026 untuk mengemukakan cadangan Belanjawan 2027.

Kerajaan MADANI akan mengumumkan Belanjawan 2027 minggu hadapan. Adalah dilaporkan bahawa belanjawan yang akan datang ini telah mengenal pasti 10 bidang tumpuan utama: subsidi dan kos sara hidup; memperkukuhkan perlindungan sosial; memperbaiki pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan asas; mengurangkan jurang pembangunan; perbelanjaan yang efisien; meningkatkan tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan awam; kebajikan pekerja; usahawan tempatan; insentif untuk pelaburan; dan keterjaminan tenaga, makanan dan siber. Terdapat banyak perbincangan dan spekulasi mengenai belanjawan reformasi tadbir urus Anwar Ibrahim. Adakah ia hanya belanjawan pilihan raya yang menawarkan konsesi kecil kepada pelbagai sektor dengan harapan ia akan membantu dalam meraih undi bagi Kerajaan MADANI” Ataupun adakah ia merupakan belanjawan yang akan menangani isu-isu asas dalam ekonomi negara kita?

Bagi PSM, 10 bidang tumpuan utama yang disenaraikan oleh kerajaan itu hanya akan membuahkan hasil yang sedikit jika kerajaan gagal dalam menangani isu-isu struktural asas yang membelenggu asas ekonomi negara kita. Perkara-perkara itu ialah:

  1. Hasil kerajaan telah menurun dari segi peratusan daripada KDNK sejak tahun 1980-an. Pada masa itu, ia adalah kira-kira 30% daripada KDNK; sekarang ini ia telah merosot kepada 16% daripada KDNK. Adakah kerajaan telah menganalisis punca-punca trend ini? Dan adakah langkah-langkah dikenal pasti untuk mengatasinya?
  2. Adalah dianggarkan bahawa korupsi mengakibatkan kehilangan dana kerajaan RM30 bilion hingga RM40 bilion setiap tahun. Adakah Belanjawan 2027 akan mengumumkan langkah-langkah yang boleh membendung kerugian yang berterusan ini?
  3. Ketua Audit Negara melaporkan secara rutin pembaziran dan ketirisan dalam perbelanjaan awam. Adakah Belanjawan 2027 akan mewujudkan sistem yang memastikan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan itu lebih bertanggungjawab?

Jika Belanjawan 2027 tidak menangani isu-isu asas ini, tetapi hanya memfokus pada inisiatif sekali gus yang menimbulkan rasa gembira, maka ia adalah sukar untuk menyimpulkan bahawa ini merupakan penggunaan yang bertanggungjawab terhadap kuasa besar yang dimiliki oleh kerajaan. Kami akan menghuraikan kebimbangan ini dalam bahagian-bahagian berikut.

Penurunan berterusan dalam hasil kerajaan sebagai peratusan daripada KDNK

Berdasarkan analisis PSM, persaingan untuk mengurangkan kadar cukai korporat dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN ialah punca utama kepada pengurangan berterusan dalam saiz hasil kerajaan berbanding KDNK di Asia Tenggara. Negara-negara anggota ASEAN sedang terlibat dalam persaingan sengit untuk menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI), dan mereka telah menurunkan kadar cukai korporat untuk mencapai matlamat ini. Kadar cukai korporat di negara kita adalah 40% daripada keuntungan syarikat pada tahun 1980-an. Namun, bermula dari tahun 1988, kadar cukai korporat di Malaysia telah dikurangkan secara drastik kepada 20% daripada keuntungan korporat kini. Kadar cukai korporat di Thailand dan Vietnam adalah 20% daripada keuntungan, sementara Singapura berada pada kadar 17%.

Penurunan dalam hasil kerajaan sebagai peratusan KDNK mendatangkan kesan-kesan negatif seperti berikut:

  1. Kerajaan mempunyai dana yang kurang untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat. Dalam “senarai hajat” kami, PSM menyeru supaya meningkatkan peruntukan untuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada 2.8% daripada KDNK (atau RM61.6 bilion) bagi tahun 2027, memperuntukkan RM12 bilion untuk melancarkan dana Pencen Warga Emas Sejagat bagi semua rakyat yang berumur lebih 65 tahun, dan beberapa inisiatif lain yang serupa (seperti yang diperincikan dalam Bahagian 2 kenyataan ini). Adalah sukar untuk melakukan mana-mana perkara ini jika hasil kerajaan tidak dipertingkatkan.
  2. Kerajaan Persekutuan terpaksa meminjam wang untuk menampung defisit belanjawan. Bagi tahun 2026, negara kita meminjam kira-kira RM75 bilion untuk menampung defisit dan tambahan RM105 bilion untuk memperbaharui bon kerajaan yang tempohnya matang pada tahun ini dan perlu dibayar balik. Bon kerajaan sejumlah RM180 bilion akan dijual dalam pasaran modal pada tahun 2026 untuk mengumpul jumlah wang ini, maka menjadikan jumlah hutang negara Malaysia mencecah RM1.34 trilion atau kira-kira 64% daripada KDNK. Pada kadar faedah kira-kira 4.2% setahun, kita perlu memperuntukkan RM56 bilion untuk membayar faedah bagi hutang negara kita tahun ini!
  3. Hasil kerajaan yang rendah akan menterjemah kepada perbelanjaan kerajaan yang lebih rendah. Ini membawa kesan buruk kepada permintaan agregat. Pertumbuhan dalam permintaan agregat yang sihat adalah diperlukan untuk menjana peluang perniagaan bagi lebih 1 juta buah perusahaan dan syarikat dalam ekonomi negara kita. Pelaburan yang berkurangan bermakna pekerjaan yang berkurangan bagi generasi muda kita.

Justeru, memandangkan kebimbangan yang disebut di atas, PSM bertanya sama ada kerajaan MADANI telah mengkaji masalah penurunan hasil kerajaan sebagai peratusan KDNK ini? Adakah anda telah membentangkan perkara ini untuk perbincangan di peringkat ASEAN dan Kumpulan 77 (G77) dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)? Jika tidak, mengapa enggan berbuat demikian? Adakah kerajaan takut bahawa inisiatif seperti ini akan mendatangkan nama “buruk” bagi kerajaan dalam kalangan komuniti perniagaan kerana dilabel sebagai “tidak mesra” kepada perniagaan?

Syarikat-syarikat memang mengalu-galukan sebarang peningkatan dalam peluang perniagaan yang terhasil daripada permintaan agregat yang mengembang. Namun, mereka lebih cenderung untuk membiarkan pihak lain yang memacu pertumbuhan permintaan agregat. Inilah di mana campur tangan kerajaan yang tegas dan adil diperlukan. Kerajaan negara kita, dengan kerjasama kerajaan-kerajaan di negara-negara ASEAN yang lain serta negara-negara di luar rantau ini, boleh meningkatkan permintaan agregat secara bersama dengan membalikkan trend penurunan hasil kerajaan sebagai sebahagian daripada KDNK. Peningkatan dana kerajaan yang dihasilkannya dan pertumbuhan KDNK yang menyusul akan memberi manfaat kepada kerajaan, warganegara kita dan juga perniagaan. Sudah tentu, semua ini memerlukan perbincangan dan perancangan. Persoalan kami adalah, adalah usaha ini telah dimulakan? Dan jika tidak, kenapa tidak?

Sekiranya perbincangan sebegini dimulakan, PSM ingin mencadangkan bahawa kadar cukai ke atas perusahaan kecil dan sederhana (PKS) patut lebih rendah berbanding kadar cukai untuk syarikat besar. Ini kerana jurang kuasa pasaran antara syarikat besar dan PKS mengakibatkan pemindahan lebihan yang ketara daripada PKS kepada syarikat besar. Margin keuntungan syarikat yang lebih kecil adalah lebih rendah secara ketara berbanding keuntungan syarikat besar. Realiti ini harus diambil kira apabila kerajaan bercadang untuk meningkatkan kadar cukai korporat.

Membendung kerugian akibat korupsi

Banyak NGO dan ahli akademik telah mengenal pasti dengan jelasnya bahawa langkah paling penting untuk membendung rasuah di Malaysia ialah pembentukan “tembok perlindungan api” (firewall) antara agensi-agensi yang memainkan peranan semak dan imbang dalam pentadbiran negara kita. Dalam erti kata lain, pemilihan dan pemecatan Pendakwa Raya, Ketua Audit, serta ketua-ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan badan kehakiman harus diserahkan kepada sebuah Majlis yang dianggotai oleh tokoh-tokoh terkemuka dan akan menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai pelantikan dan pemecatan ini. Perdana Menteri dan Kabinetnya sememangnya boleh mengemukakan cadangan mereka, tetapi keputusan akhir mengenai jawatan-jawatan ini harus dibuat oleh Majlis ini. Perundangan yang berasingan perlu dirangka untuk menubuhkan mekanisme yang baharu ini.

Peristiwa-peristiwa dalam tiga tahun kebelakangan ini menunjukkan kepada kita bahawa betapa tidak wajarnya untuk meletakkan kuasa yang menentukan jawatan-jawatan penting ini dalam tangan pihak eksekutif. Selain itu, terdapat kelewatan yang ketara dalam mendakwa pesalah jika mereka mempunyai hubungan politik dengan pihak eksekutif dan kerajaan, dengan mereka hanya didakwa apabila mereka berundur daripada jawatan mereka! Ini telah memperlekehkan usaha anti-korupsi di negara ini. Orang biasa yang tidak mempunyai sebarang pengaruh politik dikenakan tindakan undang-undang yang keras, sementara ikan besar sering mendapat DNAA (dilepaskan tanpa dibebaskan). Ini harus dihentikan.

Adakah Kerajaan MADANI akan mengumumkan langkah-langkah yang konkrit untuk melaksanakan tindakan ini dalam Belanjawan 2027? Kami berharap boleh mendapat kejutan yang positif? Jika tidak, penggerak-penggerak masyarakat, ahli-ahli akademik dan para wartawan perlu berganding bahu untuk membawa tuntutan ini  dalam satu kempen kuat di seluruh negara jika kita hendak membendung gejala “korupsi hebat” yang berada di tahap yang amat serius di negara ini.

Akauntabiliti jabatan dan agensi kerajaan

Setiap tahun, Laporan Ketua Audit Negara mengetengahkan salah pengurusan dan ketirisan. Bagaimana masalah ini ditangani? Adakah terdapat tatacara pengendalian piawai (SOP) yang mewajibkan setiap agensi untuk membuka siasatan terhadap penyalahgunaan kuasa yang mungkin berlaku? Adakah terdapat sistem yang memantaunya? Adakah laporan yang dihasilkan daripada siasatan ini dan dibentangkan kepada pihak berkuasa yang lebih tinggi? Adakah ia didedahkan kepada orang awam dan media? Adakah sesiapa dikenakan tindakan?

Adalah diharapkan bahawa Belanjawan 2027 akan menangani isu ini, dan juga meningkatkan peruntukan kepada Jabatan Audit supaya ia boleh menjalankan semakan yang lebih menyeluruh terhadap perbelanjaan kerajaan. Kerja Ketua Audit Negara tidak harus sekadar gimik pertunjukan semata-mata – ia harus menghasilkan perubahan konkrit yang meningkatkan tahap keprofesionalan dalam agensi kita.

Akhir sekali, PSM ingin mencadangkan beberapa langkah utama dan peruntukan belanjawan yang harus diberi perhatian oleh MADANI. Ini merupakan perkara yang penting bagi komuniti terpinggir yang perlu ditangani dan tidak boleh diabaikan apabila menangani isu-isu makro-ekonomi. Walaupun “senarai hajat” di bawah ini tidak merangkumi semua aspek cabaran rakyat, ia akan melengkapi isu-isu yang sudah dibangkitkan oleh sektor-sektor masyarakat yang lain.

Senarai hajat rakyat untuk Belanjawan 2027 – Cadangan daripada PSM

1. Kesihatan

i. Tingkatkan belanjawan untuk kesihatan awam kepada 2.75% KDNK

Ini akan memakan perbelanjaan RM60.88 bilion. Peruntukan tambahan harus digunakan langsung untuk membina semula dan memperkukuhkan sistem kesihatan awam Malaysia. Keutamaan harus diberikan kepada mengambil dan mengekalkan pekerja-pekerja kesihatan, menukar kakitangan kontrak yang layak kepada jawatan tetap, memperluaskan hospital awam dan klinik kesihatan, menaik taraf dan menyelenggara kemudahan yang semakin usang, di samping memastikan pembekalan ubat-ubatan, peralatan perubatan dan perkhidmatan ambulans yang mencukupi. Pelaburan yang lebih besar juga akan disalurkan kepada kesihatan primer dan pencegahan, kesihatan mental, pemulihan serta penjagaan berasaskan komuniti.

ii.  Bekukan kelulusan pembinaan hospital swasta baharu dan perluasan hospital swasta sedia ada

Kekurangan doktor pakar di hospital awam, dianggarkan sekitar 11,000 orang, yang terjadi akibat daripada penghijrahan doktor mahir ke sektor kesihatan swasta telah diketengahkan oleh beberapa buah organisasi masyarakat sivil dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA). Oleh itu, selagi kekurangan yang ketara ini belum diatasi, kerajaan perlu mengambil langkah yang tegas untuk menghentikan semua kelulusan baharu bagi kemudahan hospital swasta dalam tempoh 5 tahun akan datang supaya meningkatkan nisbah doktor pakar kepada pesakit dalam sistem kesihatan awam.

2. Perumahan

i. Tingkatkan belanjawan untuk penyelenggaraan rumah pangsa kos rendah

Dalam Belanjawan 2026, peruntukan sejumlah RM143 juta telah diberikan, merangkumi RM106.3 juta untuk penyelengaraan rumah pangsa kos rendah dan sederhana dan RM36.9 juta untuk penyelenggaraan dan penggantian lif di bawah Program Penyelenggaraan Perumahan Mampu Milik Berstrata.

Peruntukan ini bertujuan untuk membantu dalam penyelenggaraan hartanah berstrata, terutamanya rumah pangsa kos rendah, yang sering menghadapi masalah kadar pengutipan yuran penyelenggaraan yang rendah, sekali gus menyebabkan kekurangan dana untuk kerja-kerja penyelenggaraan umum hartanah berkenaan.  

Tambahan pula, memandangkan kebanyakan perumahan yang diperuntukkan kepada isi rumah berpendapatan rendah oleh kedua-dua pihak kerajaan dan pemaju swasta terdiri daripada bangunan bertingkat tinggi, adalah wajar untuk kerajaan menyediakan bantuan kewangan tambahan bagi mengatasi kekurangan dalam pengutipan yuran penyelenggaraan. Oleh itu, untuk memastikan belanjawan disalurkan secara berkesan kepada hartanah yang paling memerlukannya, Kerajaan Persekutuan perlu mengarahkan kerajaan-kerajaan negeri untuk mengadakan kajian menyeluruh melalui pihak berkuasa tempatan masing-masing supaya mengenal pasti rumah pangsa kos rendah yang uzur dan memerlukan pembaikan segera.

Peruntukan Belanjawan Persekutuan kemudiannya harus diagihkan kepada setiap negeri mengikut bilangan hartanah sedemikian dan bilangan unit perumahan yang akan mendapat manfaat daripada program ini. PSM mencadangkan bahawa peruntukan untuk Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia ditingkatkan kepada RM200 juta untuk menangani keperluan penyelenggaraan yang mendesak ini.

ii. Dana Perumahan Rakyat sebagai dana ganti

Kerajaan harus mengembalikan dasar terdahulu yang mewajibkan pemaju perumahan swasta untuk membuat sumbangan sebagai ganti kepada pengecualian unit perumahan kos rendah yang berharga di bawah RM100,000 dalam projek pembangunan perumahan. Sumbangan ini harus disalurkan kepada sebuah dana khas. Dasar sebegini pernah dilaksanakan, dengan sumbangan dibayar kepada Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) untuk membina rumah kos rendah.

Walau bagaimanapun, memandangkan jurang yang semakin melebar antara harga hartanah dalam pasaran dan keupayaan kewangan isi rumah berpendapatan rendah, terdapat keperluan mendesak untuk meningkatkan bekalan unit rumah kos rendah pada harga di bawah RM100,000. Oleh itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) perlu menguatkusakan dasar ini secara agresif dan melaksanakan pembinaan rumah berharga di bawah RM100,000 melalui SPNB dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lain yang berkenaan.

Selain itu, PSM mencadangkan bahawa dana ini juga boleh digunakan untuk menambahkan peruntukan kepada Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia, supaya membantu dalam perbelanjaan penyelenggaraan kritikal bagi rumah pangsa kos rendah yang uzur dan layak dibantu.  

3. Ringankan beban kos pendidikan tinggi bagi golongan berpendapatan rendah

Selain daripada belanjawan pendidikan kebangsaan yang sedia ada, kerajaan boleh memperuntukkan kira-kira RM352 juta untuk memperkukuhkan pendidikan tinggi awam dan meringankan beban hutang pendidikan bagi golongan berpendapatan rendah. Daripada jumlah ini, tambahan RM200 juta setahun boleh diperuntukkan untuk melunaskan sebahagian atau semua baki pinjaman PTPTN bagi graduan B40 daripada universiti awam, dengan menyasarkan tambahan 10,000 orang graduan setahun di bawah Biasiswa Anak eKasih PTPTN (BAeK PTPTN). Sementara itu, RM150 juta akan diperuntukkan untuk program biasiswa sarjana strategik yang memanfaatkan kira-kira 3,000 orang graduan, terutamanya dalam bidang yang menyokong pembangunan industri bernilai tinggi seperti tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor, automasi, teknologi bateri, bahan termaju dan teknologi industri. Selain itu, RM2 juta akan diperuntukkan sebagai dana satu tahun bagi membolehkan satu pasukan yang terdiri daripada 15 orang penyelidik untuk menjalankan  pengauditan kebolehaksesan secara menyeluruh di kesemua 20 buah universiti awam, untuk mengenal pasti halangan fizikal, pengangkutan, pembelajaran dan digital yang dihadapi oleh komuniti orang kurang upaya (OKU).

4. Tingkatkan gaji dan jamin perlindungan sosial bagi pekerja kontrak

i. Gaji minimum harus mencerminkan gaji kehidupan wajar

PSM menyeru Kerajaan MADANI supaya bersikap realistik apabila mengumumkan gaji minimum baharu. Seawal tahun 2018, Bank Negara Malaysia, melalui rencananya yang bertajuk “The Living Wage: Beyond Making Ends Meet”, berhujah untuk memperkenalkan gaji kehidupan wajar (living wage). Gaji kehidupan wajar ialah tahap pendapatan yang membolehkan seseorang itu menikmati taraf kehidupan minimum yang boleh diterima. Rencana itu menyatakan bahawa “gaji kehidupan wajar bukan sahaja bermakna kewujudan pendapatan tahap minimum, tetapi juga taraf kehidupan minimum yang boleh diterima”. Ia kemudian mencadangkan bahawa gaji kehidupan wajar bagi seorang dewasa bujang yang tinggal di Kuala Lumpur mestilah sekurang-kurangnya RM2,700 sebulan, berdasarkan anggaran kos tahun 2016. Sepuluh tahun sudah berlalu, gaji minimum kita sekarang sebanyak RM1,700 sebulan itu masih jauh ketinggalan berbanding angka ini.

Melalui kerja akar umbi PSM, kami telah menyaksikan banyak keluarga kelas pekerja bergelut untuk menampung kehidupan mereka. Mereka terpaksa meminta kerja lebih masa daripada majikan mereka untuk meningkatkan pendapatan yang dibawa pulang, melakukan kerja sambilan seperti menjadi pemandu Grab dan p-hailing, membuka gerai di tepi jalan atau di pasar malam, dan kadang-kadang malangnya, terpaksa meminjam daripada ah long demi menampung kos sara hidup mereka. Kemiskinan dan kesempitan hidup yang berlarutan ini harus dihentikan.

Oleh itu, PSM mencadangkan bahawa gaji minimum ditingkatkan kepada RM2,500 sebulan. Walau bagaimanapun, kami memahami kekangan kewangan yang dihadapi oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang turut perlu mengekalkan kos yang rendah untuk kekal berdaya saing dan mengekalkan penyertaan mereka dalam rangkaian nilai global.

Justeru, PSM mencadangkan bahawa kerajaan memberikan pelepasan cukai kepada PMKS atau bantuan langsung sebanyak RM400 sebulan bagi setiap orang pekerja kepada PKS yang berada di bawah ambang saiz tertentu untuk membantu mereka menangani peningkatan kos upah.

ii. Tamatkan penyumberan luar perkhidmatan pembersihan dan kawalan keselamatan di sekolah-sekolah kerajaan, serta serap pekerja sebagai kakitangan kerajaan tetap

Sebuah kajian yang dijalankan oleh Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) pada tahun 2023-2024, mendedahkan keadaan kerja yang daif bagi pekerja-pekerja kontrak di sekolah-sekolah kerajaan. Dapatan kajian itu menunjukkan bahawa 11.9% daripada mereka memperoleh pendapatan yang kurang daripada gaji minimum, sementara 97% tidak menerima sebarang kenaikan gaji tahunan atau bonus.  

Tambahan pula, pelanggaran Akta Kerja secara terang-terangan telah direkodkan, termasuk penafian cuti sakit dan cuti tahunan yang berbayar. Kira-kira 14% daripada pekerja-pekerja ini tidak menerima caruman mandatori KWSP dan PERKESO daripada majikan subkontraktor mereka. Pelanggaran hak dan pemiskinan pekerja yang bekerja di bangunan kerajaan ini harus dihentikan.

PSM mencadangkan bahawa pekerja-pekerja ini diserapkan segera ke dalam skim perkhidmatan kerajaan untuk memastikan mereka menikmati gaji yang wajar, perlindungan sosial dan keterjaminan kerja.

5. Kanak-kanak

i. Pangkalan data kemiskinan kanak-kanak

Kemiskinan kanak-kanak sering kali dikaburkan oleh angka dan indeks kemiskinan populasi secara keseluruhan. Data ini perlu dipecahkan kepada data yang berasingan untuk membolehkan pemantauan terhadap kemiskinan kanak-kanak. UNICEF melaporkan kadar kemiskinan yang lebih tinggi dalam kalangan isi rumah dengan kanak-kanak, di mana 47% daripada isi rumah B40 mempunyai kanak-kanak dan mereka berisiko terjerumus dalam kemiskinan.

Oleh itu, PSM mencadangkan untuk mewujudkan sebuah Pangkalan Data Kemiskinan Kanak-kanak sebagai sebahagian daripada pangkalan data kemiskinan kebangsaan. Kementerian Pendidikan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), yang terlibat dalam pendidikan prasekolah, kemudahan sokongan jagaan kanak-kanak, perkhidmatan kaunseling dan subsidi, harus mengorientasikan semula program-program mereka dan mengagihkan semula sumber berasaskan Pangkalan Data Kemiskinan Kanak-kanak yang dicadangkan ini untuk memastikan bahawa bantuan adalah disasarkan secara berkesan kepada kanak-kanak dan keluarga yang paling memerlukan bantuan.

ii. Membolehkan lebih ramai kanak-kanak mendapat manfaat daripada Rancangan Makanan Tambahan

Pada masa ini, sejumlah RM870 juta telah diperuntukkan untuk Rancangan Makanan Tambahan yang memberi makanan berkhasiat kepada kanak-kanak sekolah rendah. Namun demikian, program ini hanya memanfaatkan 870,000 orang kanak-kanak, bersamaan dengan kira-kira 32% daripada jumlah murid yang belajar di sekolah kebangsaan dan sekolah vernakular di Malaysia.

Wujudnya keperluan mendesak untuk meningkatkan peruntukan ini kepada RM1.5 bilion supaya memperluaskan bantuan ini kepada sekolah-sekolah di daerah-daerah yang mencatatkan kadar kemiskinan yang ketara, berdasarkan Pangkalan Data Kemiskinan Kanak-kanak. Data ini perlu dihimpunkan dan diselaraskan dengan data di peringkat negeri, daerah, majlis tempatan dan kampung untuk memastikan bahawa program ini benar-benar sampai kepada kanak-kanak daripada isi rumah miskin yang memerlukan bantuan nutrisi.

iii. Berikan tumpuan kepada nutrisi bayi 1000 hari pertama

PSM mencadangkan untuk menyemak semula dan merombak semula sistem penyampaian bagi perkhidmatan materniti dan awal kanak-kanak dengan memberi tumpuan kepada nutrisi dan sokongan jagaan bayi dalam tempoh 1000 hari pertama kerana ia boleh memberi impak yang mengubah kehidupan bagi masa hadapan kanak-kanak.  

6. Pemberdayaan wanita

Kerajaan harus memperuntukkan RM50 juta untuk memulakan projek perintis koperasi khusus untuk wanita di kawasan separa bandar atau luar bandar yang tertentu. Koperasi ini akan berfungsi untuk membasmi kemiskinan dalam kalangan ibu tunggal dan memperkasakan wanita supaya mereka tidak bergantung pada ahli-ahli keluarga yang lain untuk menampung keperluan asas mereka. Koperasi ini harus bekerjasama secara rapat dengan kerajaan dan menjadi sebahagian daripada program pembasmian kemiskinan kebangsaan.

Kerajaan harus memperuntukkan dana untuk meminda Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 untuk memasukkan pasangan intim yang tidak berkahwin. Dana tambahan ini akan digunakan untuk usaha pembinaan kapasiti dan kempen kesedaran awam bagi pelaksanaan yang berkesan.

7. Warga emas

i. Pencen asas sejagat

PSM mencadankan bahawa kerajaan harus memperkenalkan Skim Pencen Asas untuk memberikan RM500 sebulan kepada warga emas berumur 65 tahun dan ke atas yang tidak menerima apa-apa pencen kerajaan atau pencen PERKESO. Terdapat 2.79 juta orang warga emas berumur 65 tahun dan ke atas setakat tahun 2026, dan jika menganggarkan bahawa 75% daripada mereka tidak mempunyai pencen, jumlah belanjawan yang diperlukan untuk skim ini adalah RM12 bilion setahun.

ii. Tambahkan bilangan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE)

Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) merupakan sebuah institusi penting yang membolehkan warga emas untuk terus aktif setiap hari dalam komuniti mereka. Ia merupakan program pembangunan jangkauan bagi warga emas yang diselaraskan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bersama-sama organisasi masyarakat sivil di luar. Pada masa ini, hanya terdapat 225 buah pusat PAWE di seluruh negara, dengan geran tahunan sebanyak RM50,000. PSM menggesa kerajaan untuk menambahkan bilangan kemudahan PAWE berdasarkan kepadatan populasi warga emas. Memandangkan demografi Malaysia kini menuju sebuah masyarakat menua, perkhidmatan sokongan sebegini bagi warga emas haruslah mencukupi dan dilengkapi secara baik.

8. Tingkatkan elaun bagi orang kurang upaya yang bekerja

Dengan kos sara hidup semakin meningkat, orang kurang upaya (OKU) menghadapi cabaran yang lebih besar kerana mereka perlu menanggung kos tambahan untuk menguruskan keperluan berkaitan ketidakupayaan mereka. Malah bagi mereka yang mempunyai pekerjaan pun, menampung perbelanjaan harian juga satu pergelutan. Oleh itu, kadar semasa Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU) adalah tidak mencukupi.

PSM menyokong seruan kumpulan komuniti OKU untuk meningkatkan elaun daripada RM450 sekarang ini kepada RM800 sebulan. Komuniti OKU menegaskan bahawa peningkatan ini tidak akan menghalang mereka daripada mencari pekerjaan atau menjadikan mereka bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan. Sebaliknya, ia akan membantu mengurangkan beban kewangan mereka dalam memperoleh peralatan khusus dan kelengkapan sokongan yang diubah suai, yang penting untuk pergerakan dan kerja harian.

9. Lindungi hak tanah komuniti Orang Asli

Baru-baru ini, hak tanah adat komuniti Orang Asli telah dicabuli dengan teruk oleh agensi kerajaan dan pihak swasta yang berniat untuk merampas tanah. Dengan masalah kekurangan tanah semakin meruncing, hak tanah adat masyarakat Orang Asli telah diabaikan secara terang-terangan. Tanah adat Orang Asli telah diceroboh oleh pembalak, aktiviti perlombongan unsur nadir bumi dan sebagainya. Walaupun Perlembagaan Persekutuan dan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) mempertanggungjawabkan kerajaan untuk melindungi tanah mereka, agensi-agensi kerajaan negeri secara sengaja enggan mempercepatkan pewartaan tanah yang dituntut itu, lalu menyebabkan masyarakat Orang Asli terdedah kepada gangguan dan kehilangan punca rezeki.

Adalah dilaporkan bahawa tuntutan tanah adat oleh 363 buah kampung Orang Asli, dengan keluasan keseluruhan sebanyak 62,377 hektar, telah dikenal pasti, diukur dan diserahkan kepada pihak berkuasa negeri untuk pewartaan. Namun, kerajaan-kerajaan negeri telah berlengah-lengah dalam perkara ini kerana jika tanah tersebut diwartakan untuk Orang Asli, ia tidak dapat lagi menjana keuntungan melalui pelupusan tanah kepada syarikat-syarikat swasta untuk pembalakan, perlombongan dan perindustrian tani.

Oleh itu, PSM menggesa Kerajaan Persekutuan supaya mencampur tangan secara langsung untuk menyelesaikan masalah ini dan melindungi hak Orang Asli. Adalah dicadangkan agar Kerajaan Persekutuan memperuntukkan Belanjawan Persekutuan pada tahun 2027 untuk menggerakkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan jabatan-jabatan berkaitan secara langsung untuk membantu masyarakat Orang Asli dalam mengenal pasti, memetakan dan menyediakan dokumentasi bagi menuntut tanah adat mereka. Peruntukan belanjawan bagi “Projek Penandaan Sempadan Kawasan Penempatan Orang Asli ” ialah RM5 juta pada tahun 2021, RM10.5 juta pada tahun 2012 dan RM1.5 pada tahun 2019. Oleh itu, kerajaan harus mengumumkan peruntukan baharu sebanyak RM10 juta bagi program yang dipergiatkan untuk memetakan petempatan adat dan kawasan rizab demi kelangsungan kehidupan Orang Asli.

Inisiatif ini harus diterajui oleh Jawatankuasa Khas Kabinet. Mengenai Hak Tanah Orang Asal/Asli (JKKHTOA) yang telah pun ditubuhkan. JKKHTOA harus mengadakan perbincangan yang intensif dengan pihak berkuasa negeri jika terdapat pertindihan tuntutan antara Orang Asli dan kepentingan negeri. Kerajaan Persekutuan harus menggunakan belanjawan yang diperuntukkan untuk memberi pampasan kepada negeri jika terdapat sebarang kehilangan hasil, apabila tanah itu diwartakan untuk petempatan dan kawasan rizab Orang Asli.

10. Pengangkutan awam: Kembalikan My30

Pada masa ini, pas My50 mempunyai nilai operasi sebanyak RM150 sebulan; namun, warganegara Malaysia membayar hanya RM50, sementara kerajaan menanggung subsidi RM100 bagi setiap pas. Bagi tahun 2027, kerajaan boleh mengurangkan harga pas My50 kepada RM30 sebulan. Memandangkan nilai operasi pas adalah RM150, subsidi kerajaan akan meningkat daripada RM100 kepada RM120 bagi setiap pas. Dengan mengambil kira pertambahan jumlah penumpang hasil daripada harga yang lebih rendah, adalah dicadangkan supaya kerajaan memberikan peruntukan tahunan sebanyak RM450 juta bagi pas My30, bersamaan dengan kira-kira 3.75 juta pas setiap tahun pada kadar subsidi RM120 bagi setiap pas. Dengan menjadikan pengangkutan awam lebih mampu digunakan, kerajaan boleh menjadikan perjalanan yang menggunakan LRT, MRT, Monorel dan bas sebagai pilihan yang lebih menarik berbanding menggunakan kereta persendirian. Peningkatan dalam penggunaan pengangkutan awam berpotensi untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas, penggunaan bahan api dan pencemaran di kawasan bandar, sementara juga mengurangkan kos perjalanan harian bagi pekerja-pekerja yang bergantung pada pengangkutan awam.

11. Alam sekitar

i. Pusat data dan kedaulatan data

Projek-projek pusat data dan pengkomputeran awan, dengan pelaburan berjumlah RM95.8 bilion, menyumbang kepada hampir 44% daripada pelaburan yang diluluskan di Malaysia pada separuh pertama tahun lepas. Sejak tahun 2021, pelaburan pusat data yang diluluskan telah mencecah jumlah RM385.7 bilion. Apakah yang sebenarnya manfaat yang diperoleh rakyat Malaysia sebagai pulangan kepada penyediaan tanah, elektrik, air, infrastruktur dan insentif yang membolehkan pelaburan ini?

Bank Negara Malaysia (BNM) menganggarkan bahawa sebuah pusat data 50-megawatt boleh menggunakan elektrik yang setara dengan penggunaan oleh kira-kira 22,000 buah isi rumah dan air yang setara penggunaan harian bagi kira-kira 2,200 buah isi rumah. BNM juga memberi amaran bahawa perluasan yang tidak terkawal boleh memberi tekanan kepada grid elektrik, sumber air dan tanah, serta berpotensi menjejaskan aktiviti-aktiviti pembuatan, perumahan, kemudahan awam dan pertanian.

Tambahan pula, isu ini juga berkaitan dengan kedaulatan digital. Kedaulatan digital yang sebenar bukannya sekadar mengenai menempatkan pusat data di dalam lingkungan sempadan negara kita, tetapi mengenai memastikan bahawa orang awam mempunyai kawalan ke atas infrastruktur ini dan mendapat manfaat daripadanya.

Oleh itu, PSM menggesa kerajaan untuk menangani kebimbangan ini melalui Belanjawan Persekutuan dengan memperkenalkan langkah-langkah berikut:

  • Mendapat semula kedaulatan data dan digital kita: Menuntut perjanjian ekuiti awam dengan pengendali pusat data. Jadikan kelulusan selanjutnya tertakluk pada syarat-syarat seperti pemilikan saham tempatan, kuota pekerjaan berkemahiran tinggi bagi penduduk tempatan, dan keperluan pelaburan semula untuk memastikan rakyat Malaysia memperoleh manfaat ekonomi yang nyata daripada pelaburan ini.
  • Memperkukuhkan perlindungan data dan akauntabiliti: Mendanai sebuah unit penguatkuasaan perlindungan data yang khusus dan bebas, dengan kuasa sebenar untuk menyiasat dan mengenakan penalti. Mewajibkan pendedahan jenis data yang diproses oleh infrastruktur kecerdasan buatan (AI) milik asing di Malaysia dan ke mana data itu dipindahkan.  
  • Memperkenalkan levi impak sumber: Mengenakan cukai yang khusus ke atas penggunaan air dan elektrik oleh pusat data yang melebihi ambang tertentu, dengan hasilnya disalurkan kepada sebuah dana awam untuk memanfaatkan komuniti yang terkesan. Selain itu, memperkenalkan cukai keuntungan luar biasa ke atas keuntungan yang dijana daripada operasi pusat data dan AI untuk memastikan orang ramai menerima bahagian yang adil daripada manfaat ekonomi hasil pelaburan ini.

ii. Tangani jerebu rentas sempadan

PSM mencadangkan agar kerajaan mewujudkan sebuah dana khas dengan RM1 bilion untuk mencegah jerebu. Selaras dengan cadangan kerajaan Malaysia baru-baru ini untuk memulakan rangka kerja berpandukan sains, langkah-langkah konkrit harus diambil bersama Kerajaan Indonesia untuk:

  • Membina empangan takungan di sungai-sungai di Kalimantan untuk mengekalkan paras air pada tahap yang wajar semasa musim kemarau. Pengeringan tanah gambut yang melampau semasa musim kemarau merupakan salah satu punca utama kebakaran hutan di Kalimantan dan Sumatera Selatan.
  • Memulakan program di mana sebuah agensi membeli sisa bio-jisim daripada petani-petani kecil dan menggunakannya untuk menjana elektrik di loji-loji yang dibina dengan sempurna.

12. Pembasmian kemiskinan

i.Tubuhkan Jawatankuasa Antara Kementerian bagi Pembasmian Kemiskinan berasaskan Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI)

Kerajaan harus memastikan bahawa data terperinci daripada bancian Kemiskinan Pelbagai Dimensi yang dilakukan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) digunakan secara berkesan. Pada masa itu, data yang terperinci ini diringkaskan untuk menghasilkan Indeks MPI, untuk menentukan tahap keseriusan kemiskinan pelbagai dimensi di Malaysia berbanding dengan negara-negara berpendapatan menengah atas yang lain. Penggunaan profil kemiskinan pelbagai dimensi yang terperinci ini untuk menyalurkan bantuan yang diperlukan kepada isi rumah miskin masih terhad. Oleh itu, Kementerian Ekonomi perlu menubuhkan sebuah pasukan petugas peringkat tinggi yang bermesyuarat setiap dua bulan untuk menyemak semula data MPI yang terperinci mengikut negeri dan lokaliti. Ini adalah untuk memastikan intervensi bersasar dapat digerakkan secara berkesan daripada peringkat Kementerian sehingga ke peringkat pihak berkuasa tempatan dan ketua kampung.

ii. Hentikan kemiskinan antara generasi

Untuk membasmi kemiskinan di semua peringkat dan dalam semua bentuknya, PSM mencadangkan agar menubuhkan Unit Intervensi Sosial (SIU) yang terdiri daripada pakar perunding, kaunselor dan pembekal perkhidmatan untuk bertindak sebagai sebuah pasukan antara agensi. Untuk fasa pertama, memandangkan kekangan sumber yang sedia ada, SIU harus ditubuhkan di daerah pentadbiran sasaran dengan kadar kemiskinan yang tertinggi berdasarkan data kemiskinan mengikut kaedah oleh DOSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *