
oleh Gandipan Nantha Gopalan
Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyambut baik keputusan Kementerian Pendidikan untuk menutup sekolah apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi paras 200. Langkah melindungi kanak-kanak daripada udara beracun memang wajar, namun sikap berdiam diri kerajaan terhadap pekerja menunjukkan kepincangan yang ketara dalam pengurusan kesihatan awam. Sekiranya IPU 200 dianggap berbahaya buat pelajar, persekitaran yang sama tetap berisiko tinggi untuk pekerja yang terpaksa berulang-alik dan berkhidmat dalam keadaan tersebut.
Kerajaan perlu menetapkan garis panduan tegas bahawa apabila IPU mencecah 200, semua pekerja yang boleh melaksanakan tugas dari rumah (WFH) wajib dibenarkan bekerja secara dalam talian tanpa pemotongan gaji atau tindakan disiplin. Lebih-lebih lagi bagi golongan pekerja khususnya pekerja OKU, individu yang mempunyai masalah pernafasan serta ibu mengandung, mereka tidak sepatutnya perlu menunggu IPU mencecah 200. Golongan ini sepatutnya sudah dibenarkan bekerja dari rumah dan mengurangkan pergerakan luar lebih awal sebaik sahaja kualiti udara mula merosot. Pekerja tidak sepatutnya merayu secara bersendirian kepada majikan sewaktu kualiti udara berada pada tahap berbahaya.
Dalam hal ini, Kementerian Sumber Manusia dilihat terlalu lambat bertindak. Walaupun wacana berkenaan aturan kerja fleksibel sering dilaungkan, kementerian masih gagal mengeluarkan protokol khas yang mengikat majikan sewaktu krisis jerebu. Kementerian Pendidikan telah membuktikan bahawa penetapan yang jelas boleh dilaksanakan dengan segera; para pekerja berhak mendapat ketegasan yang sama daripada pihak kementerian.
Pada masa sama, terdapat golongan yang tidak mempunyai pilihan untuk bekerja dari rumah (WFH). Pekerja p-hailing dan penghantar barang terpaksa berada di jalan raya berjam-jam mendepani kesesakan lalu lintas, cuaca panas dan pencemaran tebal. Kementerian Pengangkutan mesti masuk campur dan mendesak syarikat platform menyediakan sokongan wajar. Syarikat pengendali wajib membekalkan topeng muka N95 secara percuma serta menyalurkan elaun khas jerebu sepanjang tempoh kritikal ini. Pekerja gig tidak patut mengeluarkan belanja sendiri semata-mata untuk melindungi kesihatan diri ketika menjalankan tugas.
Isu jerebu merupakan isu hak pekerja, bukan sekadar masalah alam sekitar. Menutup sekolah sambil membiarkan pekerja terus terdedah membuktikan keutamaan masih diberikan kepada keuntungan perniagaan berbanding kesihatan rakyat. PSM mendesak kerajaan agar segera mewujudkan perlindungan undang-undang yang saksama buat seluruh tenaga kerja.
==========
Gandipan Nantha Gopalan ialah Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).
