
Sejak awal tahun 2024, PSM telah membantu sekumpulan pekerja migran dari Bangladesh yang dibawa masuk ke Malaysia oleh sindiket yang terlibat dalam skandal penipuan kuota pekerja migran dengan menyalahgunakan sistem pengambilan rasmi. Mangsa-mangsa pemerdagangan manusia yang dibantu oleh PSM ini telah menandatangani kontrak pekerjaan dengan salah satu daripada dua buah syarikat – Beaks Construction Sdn Bhd dan Suria Harmoni Resources Sdn Bhd (kedua-duanya mempunyai CEO yang sama). Kontrak tersebut menjamin kerja dengan gaji bulanan RM1,500, tetapi 7 bulan selepas tiba di Malaysia, mereka masih dibiar tanpa pekerjaan dan gaji. Ramai daripada mereka telah meminjam wang dan menjual harta untuk membayar yuran pengambilan pekerja yang tinggi, iaitu RM20,000 ke atas. Pasport pekerja juga ditahan oleh majikan mereka.
Pada awal bulan Januari 2024, PSM telah membawa isu ini kepada perhatian Kementerian Sumber Manusia (KSM). Kami telah mencadangkan supaya KSM menangani krisis penipuan ini dengan mewujudkan SOP baharu dan menggunakan agensinya, seperti Jabatan Tenaga Kerja (JTK), di seluruh negara untuk mengkoordinasi satu proses pembelaan yang berkesan dan melindungi pekerja yang membuat aduan. Tetapi KSM enggan berbuat demikian, dan menasihati kami untuk mengikut saluran sedia ada. Berasaskan nasihat KSM dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), PSM telah membantu pekerja-pekerja ini membuat aduan polis untuk mendapat balik pasport, dan membuat tuntutan gaji yang belum dibayar di JTK Subang Jaya, dan seterusnya di JTK Kuala Lumpur.
Tindakan-tindakan ini telah mencetuskan tindak balas yang agresif daripada Beaks dan Suria Harmoni terhadap pekerja migran yang terlibat dalam tindakan-tindakan ini, dan mereka telah dimangsakan. Pada 23 Mac 2024, tiga orang pekerja ditangkap oleh polis di Dang Wangi, direman selama 4 hari, dan dihalau keluar dari asrama pekerja selepas dibebaskan. Pada hari yang sama, Malaysiakini telah menyiarkan satu rencana bertajuk “Pekerja asing terkandas ditahan lepas adukan majikan ke polis”. Pada 24 Mac 2024, Sivaranjani (kini Setiausaha Agung PSM) telah membuat satu hantaran Facebook yang bertajuk “Released Bangladeshi Workers Seek Protection and Reveal Serious Attempts to Their Safety”.
Pada 27 Mac 2024, Beaks dan Suria Harmoni telah memulakan kes saman fitnah ke atas portal berita Malaysiakini, Sivaranjani dan PSM kerana “memburukkan nama baik Plaintif-Plaintif secara berterusan di mana Plaintif-Plaintif telah mengalami kerugian”.
Pada 19 April 2024, Mahkamah menarik balik perintah larangan bersuara terhadap PSM. Injunksi oleh Beaks dan Suria Harmoni ditolak oleh Mahkamah dan memberi perintah seperti berikut:
- Injunksi ex parte yang diperoleh oleh Beaks dan Suria Harmoni pada 2 April 2024, yang antara lain melarang Sivaranjani dan PSM daripada membincangkan, menulis atau menerbitkan apa-apa mengenai Beaks dan Suria Harmoni kepada mana-mana pihak dan pihak ketiga sehingga kes ini selesai, telah dibatalkan.
- Beaks dan Suria Harmoni diarahkan untuk membayar ganti rugi kepada Sivaranjani dan PSM berhubung dengan injunksi ex parte yang diperoleh pada 2 April 2024.
Dalam alasan penghakiman ringkasnya, Yang Arif Hakim menyatakan bahawa beliau bersetuju dengan hujahan kedua-dua peguam bagi pihak PSM seperti berikut:
- Beaks dan Suria Harmoni telah gagal memberikan pendedahan yang penuh dan terus terang mengenai fakta-fakta khusus yang berlaku antara pihak-pihak sebelum permohonan injunksi ex parte dibuat, sebagaimana yang dikehendaki di bawah Aturan 29 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012;
- Injunksi interim tidak sepatutnya diberikan sekiranya Defendan mempunyai asas untuk mempertahankan kenyataan yang didakwa memfitnah tersebut semasa perbicaraan;
- Berdasarkan keseluruhan fakta yang dinyatakan dalam afidavit-afidavit, artikel yang diterbitkan dan hantaran di Facebook tersebut tidak jelas menunjukkan bahawa ia tidak benar. Oleh itu, Beaks dan Suria Harmoni gagal meyakinkan Mahkamah bahawa pembelaan pihak Defendan berkemungkinan besar akan gagal.
Ini adalah kemenangan pertama bagi PSM yang memperjuangkan hak pekerja migran yang ditindas oleh Beaks dan Suria Harmoni.
Kes ini akan dibicarakan sepenuhnya di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 6 Oktober hingga 8 Oktober 2026.
Peguam-peguam bagi pihak PSM untuk kes ini adalah Edmund Bon, Soo Siew Mei, Chan Yen Hui, Lee Yee Woei dan Xu Yin.
