
oleh S. Arutchelvan
Setiap kali gaji minimum ditingkatkan, kita akan mendengar hujah-hujah serupa yang sudah biasa didendangkan. Yang pertama, pertubuhan majikan seperti Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) memberi amaran bahawa peningkatan gaji minimum akan membebankan majikan dan mungkin menyebabkan perniagaan berpindah ke negara lain. Yang kedua, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memberi amaran bahawa gaji yang lebih tinggi akan mengakibatkan banyak perniagaan kecil gulung tikar. Yang ketiga, Lim Guan Eng akan berhujah bahawa gaji minimum hanya patut dilaksanakan untuk pekerja tempatan sementara pekerja migran harus dikecualikan.
Hujah-hujah ini memerlukan respons yang serius.
Amaran tentang “perniagaan akan lingkup” telah diberikan berulang kali. Malaysia telah meningkatkan gaji minimum beberapa kali. Setiap kali hendak meningkatkan gaji minimum, kita dengar tentang ramalan bahawa perniagaan akan lingkup, PKS akan ditutup dan majikan akan meninggalkan negara ini. Namun, ramalan buruk ini telah berulang kali gagal menjelma ke dalam kenyataan pada skala seperti yang diuar-uarkan.
Sudah tentu, perniagaan menghadapi cabaran nyata apabila kos buruh meningkat. Tetapi pekerja-pekerja juga menghadapi cabaran nyata apabila kos sara hidup naik. Makanan, perumahan, pengangkutan, kesihatan dan pendidikan, semuanya memerlukan wang. Kita tidak boleh mengharapkan pekerja-pekerja itu menanggung setiap kenaikan kos sara hidup sementara golongan majikan berkeras bahawa gaji harus kekal rendah.
Berapa banyak kali pekerja-pekerja perlu mendengar tentang perniagaan akan lingkup setiap kali gaji mereka dinaikkan? Ini telah menjadi satu lagi contoh “menjerit serigala” untuk menakut-takutkan orang. Ekonomi tidak boleh dibina berdasarkan anggapan bahawa pekerja-pekerja harus kekal murah supaya perniagaan boleh terus bertahan.
Mengecualikan pekerja migran akan mewujudkan perlumbaan ke bawah. Seruan Lim Guan Eng yang berterusan untuk layanan gaji yang berbeza berasaskan kewarganegaraan juga sangat bermasalah. Jika pekerja migran dikecualikan daripada gaji minimum, atau dibenarkan untuk dibayar upah yang lebih rendah bagi kerja yang sama, pihak majikan akan mempunyai insentif yang jelas untuk mengupah buruh yang lebih murah. Ini amat berbahaya apabila kumpulan-kumpulan peniaga pada masa yang sama menggesa untuk akses kepada pekerja migran yang lebih besar.
Kesannya boleh menjadi perlumbaan ke bawah, di mana pekerja Malaysia dan pekerja migran dipaksa untuk bersaing sesama mereka untuk menerima gaji pada paras terendah. Ini tidak melindungi pekerja Malaysia. Ia melemahkan kuasa tawat-menawar bagi semua pekerja. Pekerja-pekerja tidak harus dipecahkan mengikut kewarganegaraan, dan kemudiannya dipaksa untuk bersaing sesama sendiri untuk gaji rendah.
PSM sentiasa perjuangkan gaji kehidupan wajar
PSM secara konsistennya berhujah bahawa pekerja-pekerja tidak harus menerima sekadar gaji minimum yang ditetapkan oleh undang-undang. Pekerja-pekerja berhak untuk menerima gaji kehidupan wajar, iaitu gaji yang membolehkan mereka dan keluarga mereka untuk hidup dengan bermaruah. Pada masa yang sama, kami mengakui bahawa sesetengah sektor penting dan perniagaan yang benar-benar terdedah mungkin menghadapi kesukaran dalam menyesuaikan diri dengan gaji minimum yang lebih tinggi.
Namun, terdapat penyelesaiannya. Jawapan bukanlah membiarkan pekerja-pekerja terus miskin supaya perniagaan boleh mengekalkan kos buruh yang rendah. Jika sesebuah sektor penting benar-benar tidak mampu untuk membayar kadar gaji yang baharu, kerajaan patut memberikan bantuan bersasar untuk membantu sektor tersebut dalam melakukan peralihan.
Kerajaan boleh membantu golongan majikan tanpa menekankan gaji pada paras yang rendah. Kerajaan sudah menunjukkan bahawa ia boleh memberikan bantuan kewangan kepada syarikat-syarikat yang bersetuju untuk meningkatkan gaji pekerja melalui Dasar Gaji Progresif. Prinsip yang sama juga boleh diaplikasi untuk pelaksanaan gaji minimum yang lebih tinggi.
Tingkatkanlah gaji minimum. Bantulah sektor-sektor yang benar-benar terdedah untuk menyesuaikan diri. Sediakan bantuan bersasar apabila perlu. Dan yang penting, pastikan wang awam digunakan untuk menyokong gaji pekerja yang lebih baik bukannya mensubsidi majikan yang terus membayar gaji kemiskinan kepada pekerjanya. Tiada sebab kenapa beban penyesuaian itu harus ditanggung sepenuhnya oleh pekerja. Pekerja tidak harus kekal sebagai komponen paling murah dalam ekonomi.
Selama beberapa dekad yang lalu, Malaysia sangat bergantung pada buruh yang murah secara relatif. Seorang pekerja yang bekerja sepenuh masa tidak harus kekal miskin hanya kerana majikan berkata bahawa dia tidak mampu membayar gaji yang wajar. Pekerja bukannya kos yang boleh diminimumkan. Mereka ialah manusia yang tenaga buruhnya mencipta kekayaan negara.
Oleh itu, perbahasan mengenai gaji minimum tidak seharusnya dihadkan kepada sekadar sama ada pihak majikan mampu bayar lebih atau tidak.
Pekerja berhak untuk menerima gaji kehidupan wajar. Dan apabila sektor yang benar-benar penting memerlukan bantuan untuk melaksanakan gaji yang lebih tinggi, kerajaan harus menyediakan bantuan bersasar, bukannya meminta pekerja untuk terus mensubsidi perniagaan melalui gaji kemiskinan.
Janganlah menakut-takutkan orang setiap kali pekerja menuntut gaji yang lebih baik. Malaysia perlukan sebuah ekonomi yang turut berfungsi untuk kesejahteraan pekerja.
==========
S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).
