
TANJUNG BUNGAH, PULAU PINANG: Penduduk-penduduk Tanjung Bungah menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menepati janjinya dalam memelihara kawasan Sore Thumb dan pantai awam di Tanjung Bungah serta menerima cadangan taman semula jadi awam yang dikemukakan oleh penduduk tempatan berkenaan pembangunan di atas tanah Lot 4658. Seruan tersebut dikemukakan dalam satu sidang akhbar yang diadakan di Tanjung Bungah pada 7 September 2026.
Kawasan pantai yang digelar oleh penduduk tempatan sebagai Sore Thumb, ialah sebuah tanjung kecil yang berbukit di pesisir pantai Tanjung Bungah. Ia terbentuk daripada pelupusan sisa lebih 20 tahun dahulu dan pada awalnya menjadi pemandangan yang “menyakitkan mata” (eye sore) orang ramai, maka ia diberi nama oleh penduduk tempatan sebagai Sore Thumb (Ibu Jari Sakit). Walau bagaimanapun, oleh sebab pengambilalihan alam semula jadi melalui hujan dan sinaran matahari, Sore Thumb telah bertumbuh menjadi sebuah paru-paru hijau di bahagian utara Pulau Pinang. Sejak itu, Sore Thumb bukan sahaja menjadi tempat kemunculan habitat hidupan liar, ia juga menjadi tempat beriadah bagi penduduk tempatan. Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mewartakan Sore Thumb sebagai paru-paru hijau pada tahun 2023, dan pemaju dikehendaki untuk membina sebuah taman awam sebelum melaksanakan apa-apa pembangunan di situ.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang pernah berjanji kepada penduduk-penduduk tempatan di Tanjung Bungah pada tahun 2022 bahawa Sore Thumb akan dikekalkan sebagai paru-paru hijau jika pembangunan dibenarkan di atas tanah kosong Lot 4658 yang bersebelahan dengannya. Namun, kerajaan meluluskan untuk memberikan kebenaran perancangan untuk Lot 4658 kepada pemaju pada bulan Mac 2025, tanpa memaklumkan penduduk-penduduk yang tinggal bersebelahan. Penduduk-penduduk tempatan tidak diberikan peluang untuk mengemukakan maklum balas dan cadangan sebelum kelulusan kebenaran perancangan itu.
Selepas mendapati kerja-kerja pembersihan tanah, termasuk penebangan pokok-pokok, di kawasan Sore Thumb dan pantai awam, penduduk-penduduk Tanjung Bungah menyerahkan surat kepada Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang pada 24 Oktober 2025, untuk menuntut penggantungan kerja di kawasan berkenaan. Dalam sebuah mesyuarat dengan Ketua Menteri Chow Kon Yeow pada 6 November 2026, adalah dipersetujui bahawa pihak pemaju akan berhenti daripada menebang pokok dan aktiviti yang merosakkan kawasan semula jadi di Sore Thumb, perbincangan akan diadakan bersama wakil penduduk berkenaan rancangan landskap taman awam, dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan memastikan khazanah semula jadi di Sore Thumb dan pesisir pantainya terpelihara.
Penduduk-penduduk Tanjung Bungah mengemukakan cadangan konsep mereka mengenai taman semula jadi awam di Sore Thumb pada 6 Disember 2025. Mereka meminta supaya mewujudkan sebuah proses kerjasama yang melibatkan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan, wakil masyarakat tempatan dan pemegang taruh yang lain. Penduduk-penduduk Tanjung Bungah bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan untuk membangunkan taman awam di Sore Thumb. Mereka mengemukakan kertas cadangan yang terperinci mengenai taman awam kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 10 Februari 2026. Cadangan yang terperinci ini merangkumi usaha memelihara ciri semula jadi yang sedia ada di tapak Sore Thumb. Cadangan ini turut disokong oleh organisasi-organisasi masyarakat sivil seperti Sahabat Alam Malaysia (SAM), Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Persatuan Penduduk Tanjung Bungah (TBRA) dan Penang Forum. Namun begitu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang masih belum memberi maklum balas tentang cadangan yang dikemukakan oleh penduduk tempatan selepas 7 bulan.

“Syarat yang dikenakan ke atas pihak pemaju ialah mereka perlu membina sebuah taman awam terlebih dahulu sebelum dibenarkan untuk membina sebuah ‘pusat kesejahteraan’ (wellness centre). Namun, jika hendak membina sebuah taman awam, mengapakah ia bermula dengan menebang pokok-pokok?” kata Oo Huei Ying, seorang penduduk di Tanjung Bungah yang berucap dalam sidang akhbar. “Sebab pemaju menebang pokok-pokok itu kerana hendak meratakan kawasan bukit di Sore Thumb dan menambak kawasan pantai bersebelahan untuk membina tembok penahan ombak di situ. Dengan itu, ia bukan lagi taman semula jadi, tetapi taman konkrit!”
“Nampaknya niat mereka bukan untuk kepentingan awam, tetapi untuk mendukung ‘pusat kesejahteraan’ yang bermotifkan keuntungan. Di manakah kesejahteraan bagi rakyat apabila pokok ditebang, pantai dirampas dan sebuah tembok konkrit besar dibina?” ulas Oo Huei Ying. “Ini ialah taman awam, bukannya taman pemaju! Reka bentuk taman awam ini harus melibatkan orang awam. Jika taman awam ini adalah untuk orang awam, maka orang awam harus terlibat dalam proses reka bentuknya.”
“Jangan membunuh alam semula jadi dan ruang habitat yang cantik ini atas nama taman awam,” tambah Oo Huei Ying. “Jika ia adalah untuk orang awam, maka berikanlah kita orang awam untuk menyuarakan pandangan kita.”

Tuntutan yang dikemukakan oleh penduduk-penduduk Tanjung Bungah kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang ialah:
- Memelihara Sore Thumb dan pantai awam sebagai taman pesisir pantai semula jadi,
- Melibatkan orang awam dalam reka bentuk taman awam;
- Memberikan maklum balas bertulis mengenai cadangan taman awam semula jadi yang dikemukakan oleh penduduk-penduduk Tanjung Bungah.
“Kerajaan harus menepati janjinya dan menerima cadangan taman semula jadi yang dikemukakan oleh penduduk tempatan,” kata Zulfikar Abdul Aziz, Presiden Persatuan Penduduk Tanjung Bungah (TBRA). “Ini adalah tentang Tanjung Bungah yang bagaimana kita mahu tinggalkan untuk generasi akan datang. Apabila pokok-pokok ditebang dan habitat dimusnahkan, semuanya tidak boleh dipulihkan sekelip mata, dan akibatnya mungkin berlarutan selama berdekad-dekad. Peliharalah khazanah semula jadi untuk generasi kini dan akan datang.”
