Merespons kepada kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang mengenai isu pengusiran penduduk rumah PPR Taman Manggis

oleh Choo Chon Kai

1. Syarat had pendapatan yang ditetapkan untuk sewa rumah PPR, iaitu RM1,700 seisi sekeluarga – baru tukar kerana laman sesawang Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) pada bulan Jun 2026 masih menunjukkan RM1,500 seisi sekeluarga, masih jauh ketinggalan zaman dan jauh kurang daripada had yang ditetapkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), iaitu RM3,000 seisi sekeluarga. Lagipun, Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Malaysia semasa ialah RM2,705.

2. Konsep Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang menganggap PPR sebagai “rumah transit” dan “mengharapkan” penduduk PPR untuk meningkatkan pendapatan sendiri supaya dapat berpindah keluar merupakan sikap yang melepaskan tangan dan tidak bertanggungjawab. Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu mempunyai rancangan untuk menyediakan penyelesaian kekal kepada isu perumahan bagi warga berpendapatan rendah.

3.Kerajaan Negeri perlu menyediakan lebih banyak skim rumah sewa beli di lokasi yang bersesuaian (bukannya mengkehendaki penduduk di sebelah Pulau berpindah ke Seberang Perai, atau sebaliknya) sebagai alternatif kekal untuk penduduk PPR yang dikatakan “hilang kelayakan” kerana pendapatannya telah melebihi had yang ditetapkan.

4.Keadaan wujudnya pemohon yang layak rumah PPR yang telah menunggu bertahun-tahun lamanya adalah kerana stok rumah PPR yang tidak mencukupi. Jadi, penyelesaiannya ialah membina lebih banyak unit PPR, bukannya cuba mengusir penduduk PPR yang sedia ada tanpa alternatif kekal. Jika mengusir keluar semua penduduk PPR yang sedia ada pun, tidak akan mencukupi untuk menempatkan semua orang miskin yang memerlukan tempat tinggal.

5.PSM Pulau Pinang juga menggesa Kerajaan Negeri supaya mengambil pendekatan yang lebih berperikemanusiaan dalam menangani isu perumahan PPR. Sila adakan perundingan dengan penduduk unit PPR yang dikatakan “hilang kelayakan” tetapi tidak mampu menyewa rumah di luar untuk mencari penyelesaian yang wajar.

==========

Choo Chon Kai ialah Ahli Jawatankuasa Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Jurucakap PSM Pulau Pinang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *