
oleh K. Kunasekaran
Parti Sosialis Malaysia (PSM) Parlimen Batu Gajah mendesak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) supaya mengambil tindakan segera terhadap isu lori sampah yang membawa muatan secara terbuka serta dipercayai membocorkan air larut lesap sisa sampah (leachate) ke atas Jalan Ipoh-Lumut ketika dalam perjalanan menuju ke Tapak Pelupusan Lahat-Papan.
Pada 19 Ogos 2026, kira-kira jam 2.30 petang, wakil PSM telah menyaksikan sendiri dan merakam sebuah lori sampah yang membawa muatan sampah tanpa litupan kanvas yang sempurna dalam perjalanannya menuju ke Tapak Pelupusan Lahat-Papan.
Air sisa sampah yang berbau busuk dipercayai menitis dan melimpah ke atas jalan raya, sekali gus mencemarkan laluan awam dan boleh membahayakan pengguna jalan raya, khususnya penunggang motosikal. Penduduk di kawasan sekitar turut mengadu bahawa keadaan seperti ini telah berlaku sejak sekian lama secara berterusan, namun menurut mereka, tindakan yang berkesan masih belum diambil.
Pada 24 Ogos 2026, PSM Parlimen Batu Gajah telah menyerahkan sebuah surat aduan rasmi kepada Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari bin Hanipah, dan mendesak MBI supaya menjalankan siasatan segera terhadap kejadian tersebut. PSM meminta MBI untuk mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab, mengambil tindakan sewajarnya, memastikan semua lori sampah menggunakan penutup yang sempurna, mempunyai sistem kawalan atau takungan air larut lesap yang tidak bocor, serta membersihkan kawasan jalan yang telah tercemar.
Dalam surat yang sama, PSM turut membangkitkan surat kelulusan bersyarat daripada Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) bertarikh 22 Jun 2012, rujukan LPTA/P&P/026/760, berkaitan Tapak Pelupusan Sisa Pepejal di Lahat. Antara syarat yang dibangkitkan ialah keperluan pemantauan jangka panjang sehingga 300 tahun (institutional control) serta kawalan aktiviti dalam kawasan lingkungan 1.7 kilometer. PSM ingin mengetahui sejauh mana syarat-syarat tersebut telah dan sedang dipatuhi serta apakah status semasa Jabatan Khas atau mekanisme yang ditetapkan bagi tujuan pemantauan tapak pelupusan tersebut.
PSM tidak mendakwa bahawa kejadian lori sampah terbuka dan kebocoran air larut lesap merupakan pelanggaran syarat AELB. Namun, PSM membangkitkan persoalan sama ada amalan pengangkutan dan pengurusan sisa pepejal yang berlaku pada masa ini benar-benar menepati prinsip keselamatan, kawalan pencemaran dan pemantauan yang selaras dengan semangat syarat-syarat AELB.
Oleh itu, PSM meminta MBI supaya menyiasat kejadian ini secara serius dan memberikan penjelasan yang sewajarnya kepada orang awam. PSM juga bersedia untuk menyerahkan gambar dan bahan bukti yang dirakam bagi membantu siasatan pihak MBI. Masalah yang telah berlarutan sekian lama tidak boleh terus dibiarkan. Keselamatan pengguna jalan raya, kebersihan awam, perlindungan alam sekitar serta pematuhan terhadap prinsip keselamatan dan pemantauan mesti diberi keutamaan.
==========
K.Kunasekaran ialah Setiausaha PSM Cawangan Menglembu merangkap Penyelaras PSM Parlimen Batu Gajah.
