
SUNGAI SIPUT, PERAK – 22 JULAI 2026: Kira-kira 150 orang penduduk dari 7 buah kawasan kampung dan taman perumahan di Sungai Siput (U), Perak, berprotes di hadapan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Sungai Siput pada hari ini untuk mendesak pihak berkuasa tanah supaya menyelesaikan masalah tanah di 7 buah kawasan itu.
Kawasan-kawasan itu ialah Kampung Bengali, Kampung Jalan Lintang, Kampung Perak Hydro, Kampung Pokok Api, Kampung Sungai Buloh, Kampung Veerasamy dan Taman Dovenby Fasa 2. Penduduk-penduduk di kawasan-kawasan itu berorganisasi untuk memperjuangkan hak mereka dengan bantuan daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) Cawangan Sungai Siput.
Walaupun pihak penduduk dari 7 buah kawasan itu telah memaklumkan kehadiran mereka 10 hari lebih awal, pihak PDT telah menutup pintu masuk utama dan pihak polis pula menghalang para penduduk daripada memasuki perkarangan PDT Sungai Siput. Pihak PDT pada awalnya hanya bercadang untuk menerima memorandum daripada pihak penduduk Sungai Siput di luar pintu pagar, tetapi pihak penduduk menegaskan bahawa mereka memerlukan penjelasan daripada pihak PDT Sungai Siput melalui mesyuarat di dalam pejabat. Malah, penduduk-penduduk Sungai Siput yang berprotes itu bersedia untuk bermalam di hadapan PDT Sungai Siput sekiranya mereka tidak mendengar jawapan daripada pihak berwajib. Selepas rundingan, 16 orang wakil penduduk dan PSM Sungai Siput dibenarkan untuk masuk ke PDT untuk berjumpa dengan Khaizurul Ezwan Bin Baharuddin, Ketua Penolong Pegawai Daerah (CADO) Sungai Siput.
Turut hadir bersama dengan penduduk-penduduk Sungai Siput semasa protes hari ini ialah Dr. Jeyakumar Devaraj selaku Pengerusi Nasional PSM yang juga merupakan mantan Ahli Parlimen Sungai Siput dan R. Karthiges selaku Ahli Jawatankuasa Pusat PSM yang juga merupakan Penyelaras Gabungan Marhaen.
“Penduduk-penduduk di kawasan kampung peneroka bandar ini tidak mempunyai hak milik terhadap tapak tanah di mana rumah mereka berada, walaupun keluarga-keluarga ini telah menetap di kawasan kampung berkenaan antara 40 hingga 70 tahun,” kata R. Karthiges. “Pengambilan tanah dan skim perumahan alternatif untuk penduduk-penduduk Taman Dovenby Fasa 2 yang merupakan mangsa pelepasan habuk dan gegaran daripada aktiviti kuari yang berdekatan sepatutnya dilaksanakan, tetapi ia telah dibatalkan. Para penduduk telah mengemukakan tuntutan mereka kepada Kerajaan Negeri Perak melalui PDT Sungai Siput. Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan Pejabat Menteri Besar Perak sejak 15 tahun dahulu tetapi mereka masih tidak menerima maklum balas yang sewajarnya sehingga hari ini.”

Sejak tahun 2010, penduduk-penduduk di Kampung Jalan Lintang, Kampung Sungai Buloh dan Kampung Veerasamy telah memohon geran hak milik tanah untuk tapak rumah yang sedang didiami mereka. Kira-kira 25 orang pemohon dari Kampung Veerasamy diberikan geran tanah untuk tapak rumah yang sedia ada, tetapi permohonan yang lain di kawasan kampung yang sama pula tidak berjaya atau tidak diketahui statusnya sehingga kini. Sementara itu, penduduk-penduduk di Kampung Perak Hydro, Kampung Pokok Api dan Kampung Bengali pula memohon lot perumahan di kawasan Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT), tetapi juga tidak menerima apa-apa maklum balas yang positif sepanjang 15 tahun yang lalu.
“Kerajaan harus memahami bahawa mereka ini ialah warga Malaysia daripada lapisan B40 (40% penduduk berpendapatan terendah),” ulas Karthiges. “Tenaga buruh yang disumbangkan oleh golongan B40 telah memainkan peranan penting dalam membangunkan bandar Sungai Siput dan ekonomi negara Malaysia. Namun, kebanyakan daripada mereka ini masih berpendapatan rendah dan oleh itu mereka tidak mampu membeli rumah di taman-taman perumahan yang rata-rata dijual pada harga lebih RM200,000. Inilah sebabnya mereka telah memohon untuk lot perumahan atau skim perumahan di RPT atau pemberian geran hak milik untuk tapak tanah yang sedang diduduki mereka.”
Dalam perjumpaan dengan Khaizurul Ezwan Bin Baharuddin selaku CADO Sungai Siput, pihak PDT Sungai Siput bersetuju untuk mengambil keputusan berikut:
- Pengesyoran hak milik di tanah rumah sendiri untuk penduduk-penduduk di Kampung Bengali, Kampung Sungai Buloh dan Kampung Veerasamy.
- Cadangan projek sudah diluluskan untuk para peneroka di Kampung Jalan Lintang dan perkara itu akan dikendalikan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP). Mereka akan mendapat hak milik tanah bagi tapak rumah yang sedang diduduki mereka sekarang.
- Penduduk-penduduk Kampung Perak Hydro dan Kampung Pokok Api disuruh untuk memohon semula tanah RPT dan pihak PDT Sungai Siput akan memberikan pengesyoran.
- Projek pengambilan semula tanah Taman Dovenby Fasa 2 akan disyorkan balik kepada Kerajaan Negeri Perak melalui PTG.
Jawatankuasa Hak Tanah Sungai Siput yang memperjuangkan hak bagi 7 buah kampung yang terlibat itu mengalu-alukan keputusan yang dicapai dalam pertemuan dengan CADO Sungai Siput pada hari ini.
“Ini merupakan satu kemenangan penting bagi penduduk-penduduk Sungai Siput ini selepas mereka berjuang untuk hak tanah selama 15 tahun,” kata Karthiges. “PSM akan terus bersama memimpin untuk merealisasikan semua keputusan ini sehingga ke akhir perjuangan.”






