
Parti Sosialis Malaysia (PSM) kawasan DUN Rahang mengemukakan lima teras manifesto yang dibangunkan berdasarkan keperluan sebenar penduduk Rahang. Manifesto ini lahir daripada pelbagai sesi pertemuan, tinjauan lapangan dan aduan yang diterima daripada rakyat setempat.
Rahang merupakan kawasan yang pesat membangun, namun ramai penduduk masih berhadapan dengan pelbagai masalah asas yang memerlukan penyelesaian segera dan berkesan.
Antara isu pokok yang dikenal pasti adalah kebajikan warga emas dan infrastruktur Majlis Bandaraya yang memerlukan campur tangan segera.
Oleh itu, kami daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengemukakan lima komitmen utama berikut:

1. Menangani banjir kilat dan menaik taraf sistem saliran
Banjir kilat semakin kerap berlaku di beberapa kawasan di Rahang akibat sistem saliran yang tidak mampu menampung pembangunan pesat. Walaupun Kerajaan Negeri mempunyai perancangan, ketidakpastian pelaksanaan mewujudkan kerunsingan dalam kalangan rakyat Rahang.
Oleh itu, kami berkomitmen untuk:
- Melaksanakan audit menyeluruh terhadap sistem perparitan dan saliran.
- Mewujudkan sebuah pelan tindakan hotspot banjir dan memastikan projek ini diselenggarakan dengan baik.
- Akan mengemukakan laporan awam berkala mengenai kerja pembersihan longkang dan sungai.

2. Memperkasakan warga emas dan orang kurang upaya (OKU)
Golongan warga emas dan OKU berhak menikmati kehidupan yang bermaruah dan selesa. Ini merupakan antara kumpulan sasaran yang amat kritikal yang memerlukan pembelaan serta-merta.
Oleh itu, kami berkomitmen untuk:
- Memperjuangkan dan merealisasikan kempen skim pencen warga emas yang dibentangkan oleh PSM kepada Parlimen. Di peringkat negeri pula, kekayaan harus digunakan untuk melaksanakan skim sedemikian yang memberikan bantuan kewangan bulanan kepada warga emas yang berusia 65 tahun ke atas.
- Menubuhkan sebuah pusat aktiviti komuniti untuk warga emas di mana ia dikendalikan dan dilaksanakan secara sukarela oleh warga emas untuk mereka terus aktif.
- Mengaudit akses OKU di kawasan awam.

3. Belia dan pekerjaan
Golongan muda serta kaum pekerja merupakan aset penting kepada masa depan Rahang.
Oleh itu, kami berkomitmen untuk:
- Mewujudkan One Stop Center (OSC) untuk pekerja mendapat nasihat dan perkhidmatan.
- Mempromosi Sistem Aduan Pekerja (SiAP) untuk memberi nasihat dalam talian kepada pekerja secara percuma dan mewakili pekerja di Mahkamah Buruh dan Mahkamah Perusahaan.
- Mewujudkan kemudahan sukan dan rekreasi yang lebih baik.
- Menubuhkan Pusat Pelajar Marhean (PPM) di mana golongan B40 diberi pendidikan alternatif secara percuma dan dikendalikan oleh sukarelawan.
- Menjadi suara kepada belia dalam isu pekerjaan, perumahan dan kos sara hidup.

4. Akauntabiliti kerajaan tempatan
Penduduk berhak untuk mengambil tahu serta mengawasi dalam segala keputusan yang dibuat oleh kerajaan tempatan.
Oleh itu, kami berkomitmen untuk:
- Menubuhkan Majlis Perundingan Rakyat (MPR) untuk memantau kerja-kerja PBT di mana sebuah jawatankuasa diwujudkan di setiap taman perumahan dan kampung untuk menjadi pasukan pemantau yang membuat aduan isu-isu berkaitan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
- Berusaha untuk memansuhkan Cukai Perkhidmatan (SST) 6% bagi bayaran parkir.
- Memastikan kemudahan pejalan kaki disediakan.
- Menaik taraf jalan raya dan memastikan infrastruktur diuruskan secara teratur.

5. Alam sekitar dan pengangkutan awam yang lebih baik
Pembangunan tidak boleh mengorbankan alam sekitar dan kualiti hidup rakyat.
Oleh itu, kami berkomitmen untuk:
- Penambahbaikan sistem pengangkutan dan menyelesaikan kesesakan jalan raya.
- Menambahkan kekerapan bas.
- Menghijaukan Rahang.
Manifesto ini bukan sekadar janji pilihan raya. Ia merupakan komitmen untuk membina Rahang yang lebih adil, selamat, lestari dan mesra rakyat. Kami percaya bahawa pembangunan mesti memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat, bukan hanya segelintir pihak.
PSM kawasan DUN Rahang akan terus bersama rakyat dalam memperjuangkan penyelesaian kepada masalah harian yang dihadapi oleh penduduk serta memastikan suara rakyat sentiasa didengari.
Rahang untuk rakyat, pembangunan untuk semua!
Yang lomah dibelo, yang susah dibantu!
