
oleh Tinagaran Subramaniam
Parti Sosialis Malaysia (PSM) Negeri Sembilan memandang serius pengumuman Menteri Kesihatan berhubung pembinaan sebuah hospital baharu di Bandar Baru Enstek ketika negeri ini sedang menghampiri Pilihan Raya Negeri (PRN).
PSM tidak menentang pembinaan hospital tersebut. Malah, kami telah lama menegaskan bahawa kemudahan kesihatan awam di Negeri Sembilan perlu dipertingkatkan sejajar dengan pertumbuhan penduduk yang pesat.
Namun, persoalan yang timbul adalah mengapa pengumuman sebesar ini dibuat ketika rakyat sedang bersiap sedia untuk memilih kerajaan negeri yang baharu?
Rakyat tidak boleh dipersalahkan jika mereka melihat pengumuman ini sebagai satu lagi contoh politik pembangunan yang sering diamalkan oleh parti-parti pemerintah menjelang pilihan raya. Amalan mengumumkan projek-projek besar menggunakan dana awam pada musim pilihan raya memberi kelebihan politik kepada pihak yang memegang kuasa dan bercanggah dengan semangat persaingan demokrasi yang adil.
Hakikatnya, hospital ini akan dibiayai oleh wang rakyat, bukannya wang mana-mana parti politik. Oleh itu, kerajaan tidak seharusnya menggunakan pengumuman projek awam untuk mendapatkan keuntungan politik atau mempengaruhi kecenderungan pengundi.
PSM berpendapat bahawa pembangunan awam mesti dirancang berdasarkan keperluan rakyat, dan bukannya berdasarkan kalendar pilihan raya. Jika projek ini benar-benar telah dirancang lebih awal, kerajaan perlu menjelaskan mengapa pengumumannya dibuat ketika suasana politik sedang memuncak.
Kami juga menggesa pihak kerajaan mendedahkan secara terbuka semua dokumen berkaitan projek ini, termasuk status kelulusan, kos pembinaan, sumber pembiayaan, garis masa pelaksanaan dan sasaran tarikh siap. Ketelusan adalah penting bagi memastikan rakyat tidak sekadar disajikan dengan janji atau pengumuman yang belum tentu diterjemahkan kepada pelaksanaan sebenar.
PSM ingin mengingatkan bahawa rakyat Negeri Sembilan semakin matang dalam membuat penilaian politik. Apa yang mereka mahukan bukanlah pengumuman bermusim menjelang pilihan raya, tetapi dasar yang konsisten, perancangan yang telus dan komitmen yang berterusan terhadap kesejahteraan rakyat.
Hospital awam adalah hak rakyat. Ia bukan hadiah pilihan raya. Ia bukan alat kempen. Ia bukan modal politik.
PSM akan terus memperjuangkan sistem kesihatan awam yang lebih kukuh, akses kesihatan yang lebih saksama dan tadbir urus yang lebih telus demi kepentingan seluruh rakyat Negeri Sembilan.
Kemudahan awam untuk rakyat, bukan untuk meraih undi.
==========
Tinagaran Subramaniam ialah Setiausaha Parti Sosialis Malaysia (PSM) Negeri Sembilan.
