oleh Bawani KS

Parti Sosialis Malaysia (PSM) Negeri Perak melancarkan kempen yang bertema “Sabtu Milik Rakyat, Ahad Untuk Ilmu: Reformasi Sistem Parkir dan 6 Tuntutan Rakyat Perak” pada hari ini di Pasar Pagi Menglembu.

Pelancaran ini dibuat selepas lapan bulan rakyat menanti tanpa sebarang tindakan konkrit sejak penyerahan tuntutan asal pada 24 Julai 2025. Kami ingin menegaskan bahawa pihak kerajaan telah pun memberikan surat maklum balas rasmi bertarikh 14 Ogos 2025 melalui Pejabat Menteri Besar Perak, yang menyatakan bahawa tuntutan kami telah dikemukakan kepada Setiausaha Bahagian (SUB) Kerajaan Tempatan untuk penelitian lanjut. Namun, sehingga hari ini, tiada sebarang hasil atau dasar nyata yang diumumkan.

Kami menegaskan bahawa sudah tiba masanya Kerajaan Negeri Perak menterjemahkan peruntukan jutaan ringgit yang diterima daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kepada dasar nyata yang memihak kepada rakyat Perak. Sekiranya dana sedia ada tidak mencukupi, Kerajaan Negeri bertanggungjawab sepenuhnya untuk berusaha mendapatkan peruntukan tambahan demi menjamin kebajikan rakyat.

Enam tuntutan utama rakyat Perak:

1. Parkir percuma untuk warga emas (60 tahun ke atas) 

Berdasarkan data Jabatan Perangkaan, sebanyak 11% penduduk Perak kini berumur 65 tahun ke atas. PSM menuntut pengecualian bayaran parkir bagi golongan warga emas sebagai bentuk pengiktirafan dan penghormatan terhadap sumbangan mereka kepada pembangunan negeri.

  • Sistem pelekat khas PBT: Tuntutan ini boleh direalisasikan secara sistematik melalui pengeluaran pelekat khas oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memudahkan penguatkuasaan.
  • Tanggungjawab PBT: Kami menegaskan bahawa adalah menjadi kewajipan PBT untuk mencari dan melaksanakan kaedah teknikal yang paling sesuai (seperti integrasi aplikasi atau pelekat fizikal) bagi memastikan inisiatif ini dapat dijalankan.
  • Meringankan beban harian: Inisiatif ini bukan sahaja satu pengiktirafan, malah langkah praktikal untuk meringankan beban kos sara hidup harian warga emas yang masih aktif dalam komuniti.

2. Batalkan caj parkir pada hari Sabtu (SABTU MILIK RAKYAT)

Hari Sabtu merupakan hari utama untuk aktiviti keluarga dan ekonomi setempat. Berdasarkan analisis Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Negeri Perak 2023 [LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA 3/2024 PERAK OKTOBER 2024], hasil kutipan parkir hanya menyumbang peratusan kecil kepada pendapatan PBT:

  • Majlis Bandaraya Ipoh (MBI): RM6.98 juta daripada RM236.48 juta (2.95%).
  • Majlis Perbandaran Manjung (MPM): RM2.26 juta daripada RM113.67 juta (1.99%).
  • Majlis Perbandaran Taiping (MPT): RM2.8 juta daripada RM90.7 juta (3.1%).

PSM menegaskan bahawa penghapusan caj pada hari Sabtu, pemberian parkir percuma kepada warga emas, serta pengehadan waktu parkir berbayar (9.00 pagi hingga 5.00 petang) dianggarkan hanya memberi kesan pengurangan hasil kurang daripada 0.5% daripada jumlah keseluruhan pendapatan tahunan PBT.

Oleh itu, alasan “kehilangan hasil” adalah tidak munasabah berbanding manfaat ekonomi kepada rakyat. Reformasi ini terbukti tidak membebankan kewangan PBT, malah langkah ini akan merangsang ekonomi peniaga kecil di pusat bandar kerana rakyat akan lebih cenderung untuk meluangkan masa dan berbelanja tanpa rasa terbeban atau tergesa-gesa akibat ketakutan disaman.

3. Hadkan waktu parkir berbayar (9.00 pagi – 5.00 petang)

Waktu kutipan sedia ada bermula terlalu awal iaitu dari jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang. Kami menuntut ia dihadkan kepada 9.00 pagi hingga 5.00 petang. Perubahan ini lebih munasabah bagi membantu rutin harian warga emas, urusan pasar pagi, dan ibu bapa agar mereka dapat menjalankan aktiviti harian tanpa tekanan saman di awal pagi menurut aspirasi dan keselesaan rakyat.

4. Pancuran air minuman percuma di taman rekreasi sedia ada dan baharu 

PSM menuntut penyediaan pancuran air minuman percuma di kawasan riadah utama seperti Padang Ipoh, Polo Ground dan Taman Dr. Seenivasagam. Tuntutan ini merujuk kepada laporan Sinar Harian (6 Disember 2025) mengenai peruntukan RM85.6 juta kepada Jabatan Landskap Negara bagi inisiatif 1,000 buah Taman Rekreasi MADANI. Memandangkan sebanyak 216 buah taman telah disiapkan dan Perak merupakan antara penerima tertinggi dengan 34 buah taman (termasuk di Taman Tanjak, Batu Gajah), kemudahan air minuman ini wajib disediakan sebagai standard kemudahan awam bagi menyokong gaya hidup sihat serta mengurangkan penggunaan botol plastik.

5. Perkasa budaya membaca (AHAD UNTUK ILMU) 

PSM mendesak agar Perpustakaan Perbadanan Awam Negeri Perak dan Perpustakaan Tun Razak dibuka semula kepada orang awam pada hari Ahad.

  • Kembali kepada amalan asal: Kerajaan Negeri hendaklah kembali kepada waktu operasi sebelum ini di mana perpustakaan dibuka pada hari Ahad untuk memberi ruang kepada keluarga dan pelajar.
  • Akses ilmu hari cuti: Hari Ahad adalah masa utama bagi ibu bapa membawa anak-anak ke perpustakaan. Penutupan pada hari tersebut adalah satu langkah ke belakang yang menyekat akses rakyat kepada ilmu.
  • Tangani isu sosial: Dengan membuka semula pintu perpustakaan dan mempergiatkan Perpustakaan Bergerak ke kawasan perumahan dan kampung, kita dapat menyediakan alternatif sihat bagi menyelamatkan anak muda daripada terjerumus dalam ketagihan media sosial dan peranti-peranti mudah alih.

6. Reformasi PBT: Hak suara dan akauntabiliti

PSM berdiri tegas untuk menuntut pengembalian Pilihan Raya Kerajaan Tempatan. Namun, sementara menanti ia dipulihkan, Kerajaan Negeri tidak harus membiarkan rakyat terus dipinggirkan. PSM mendesak reformasi segera berikut:

  • Pejabat Zon Ahli Majlis: Setiap Ahli Majlis wajib mempunyai pejabat yang dibuka setiap hari pada waktu bekerja bagi memudahkan urusan rakyat berhubung terus mengenai masalah perbandaran.
  • Wajibkan rundingan awam: Sebarang tindakan PBT seperti penguatkuasaan terhadap penjaja, kenaikan cukai taksiran, perubahan waktu kutipan sampah, atau pembangunan setempat MESTILAH dirundingkan dengan penduduk terlebih dahulu.
  • Pelantikan telus: Mengikut Seksyen 10(2) Akta Kerajaan Tempatan 1976, calon mesti kompeten dan bermastautin di kawasan tersebut. Pelantikan wajib melalui pencalonan terbuka dan sesi townhall supaya rakyat tahu siapa wakil mereka.

Tuntutan ini adalah keperluan asas demi kesejahteraan rakyat Perak. Kerajaan Negeri mempunyai tanggungjawab moral untuk memastikan peruntukan jutaan ringgit yang telah diagihkan diterjemahkan kepada dasar mesra kebajikan. Rakyat sedang menunggu tindakan nyata, bukan sekadar janji-janji kosong.

Utamakan suara rakyat! Laksanakan dasar mesra kebajikan!

==========

Bawani KS ialah Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Pengerusi PSM Negeri Perak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *