
oleh Amanda Shweeta Louis
Pemuda Sosialis PSM mengecam sekeras-kerasnya kriminalisasi suara bantahan selepas tiga orang aktivis MANDIRI, Hamdin, Fakhrurazi (Peko) dan Ahsanul, ditahan dan direman tiga hari susulan aksi aman mereka di Wacana Ilmiah Perdana Bersama SPRM dan Asia e University di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 7 April 2026.
Pihak Polis telah menggunakan Seksyen 447 (pencerobohan jenayah), Seksyen 504 (sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan), dan Seksyen 186 (mengganggu penjawat awam) dalam Kanun Keseksaan, serta Seksyen 14 (tindakan tidak sopan) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil untuk mereman dan menyiasat mereka. Keputusan ini adalah satu bentuk penyelewengan undang-undang untuk membungkam bantahan rakyat.
Biar kami tegaskan dengan jelas:
- Tiga orang anak muda Malaysia ditahan hanya kerana memegang sepanduk dan berhimpun secara aman, satu hak yang termaktub dalam Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.
- Azam Baki, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang “memiliki” jutaan saham melalui akaun “adik” yang meragukan, dan melanggar peraturan SPRM, namun tidak pernah didakwa, malah terus bebas, terus berkuasa dan terus dilindungi oleh sistem yang sepatutnya membersihkan rasuah.
Oleh itu, Pemuda Sosialis menyeru pegawai penyiasat pihak polis dan Jabatan Peguam Negara untuk:
- Gugurkan semua pertuduhan terhadap Hamdin, Fakhrurazi dan Ahsanul.
- Bebaskan mereka dengan segera, bukan selepas tiga hari, tetapi sekarang.
- Hentikan siasatan yang membazirkan sumber awam ini yang menyasarkan golongan lemah dan melindungi golongan berkuasa.
Ancaman sebenar terhadap keamanan dan keselamatan Malaysia bukanlah tiga orang anak muda yang berani dengan memegang sepanduk. Ancaman sebenar ialah sistem korup yang mempertahankan golongan korup dan membungkam golongan yang bercakap benar.
Bebaskan aktivis MANDIRI dengan segera! Azam Baki wajib letak jawatan!
==========
Amanda Shweeta Louis ialah Pengerusi Pemuda Sosialis PSM.
