oleh Jawatankuasa Kempen Selamatkan Sistem Perkhidmatan Awam

Sempena Hari Kesihatan Sedunia 2026, Parti Sosialis Malaysia (PSM) ingin menegaskan bahawa sistem kesihatan awam negara kita sedang berada di persimpangan kritikal. Dasar-dasar semasa yang diperkenalkan di bawah strategi “RESET” Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berisiko untuk mempercepatkan pengkomersialan perkhidmatan kesihatan dan menjejaskan prinsip keadilan akses yang selama ini menjadi asas sistem kesihatan awam kita.

Malaysia telah lama membina sebuah sistem kesihatan awam yang berfungsi sebagai benteng utama kepada majoriti rakyat. Namun hari ini, sistem ini semakin tertekan akibat kekurangan dana, penghijrahan doktor ke sektor swasta, dan pengenalan dasar yang membuka ruang kepada logik pasaran dalam hospital kerajaan.

Salah satu kebimbangan utama adalah pelaksanaan Skim Rakan KKM. Walaupun ia dikemukakan sebagai langkah untuk mengekalkan pakar dan menjana pendapatan tambahan, skim ini berpotensi mewujudkan sistem dua darjat dalam hospital awam di mana pesakit yang mampu membayar mendapat layanan lebih cepat, manakala majoriti rakyat terpaksa menunggu lebih lama. Dalam keadaan kekurangan pakar yang sedia ada, pengagihan masa dan tenaga kepada pesakit berbayar akan memburukkan lagi ketidaksamaan akses.

Pada masa ini, sekitar 75% pesakit dalam negara bergantung kepada hospital awam, tetapi hanya kira-kira 25% doktor pakar berpengalaman berkhidmat dalam sektor ini. Ketidakseimbangan ini telah menyebabkan masa menunggu yang panjang bagi pelbagai prosedur penting, termasuk pembedahan katarak, rawatan batu karang dan pembedahan jantung. Sebarang dasar yang mengalihkan sumber pakar kepada pesakit berbayar hanya akan menambah tekanan kepada sistem yang sudah sedia terbeban.

Pada masa yang sama, pertumbuhan pesat hospital swasta telah mempercepatkan penghijrahan doktor pakar keluar dari sektor awam. Tawaran imbuhan yang jauh lebih tinggi oleh hospital swasta tidak dapat ditandingi oleh skim tambahan seperti Rakan KKM. Tanpa campur tangan dasar yang tegas, sektor awam akan terus kehilangan tenaga pakar yang kritikal untuk memenuhi keperluan rakyat.

PSM juga ingin menegaskan bahawa masalah asas sistem kesihatan awam adalah kekurangan pembiayaan yang kronik. Peruntukan kesihatan Malaysia kekal sekitar 2% hingga 2.3% daripada KDNK, jauh lebih rendah berbanding banyak negara lain, termasuk negara-negara jiran. Kekangan kewangan ini menjejaskan keupayaan kerajaan untuk menambah tenaga kerja, menaik taraf kemudahan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan.

Dalam konteks ini, cadangan untuk bergantung kepada mekanisme seperti insurans kesihatan asas atau kutipan daripada pesakit berbayar bukanlah penyelesaian yang mampan. Sistem kesihatan awam harus dibiayai melalui komitmen fiskal yang kukuh dan progresif, bukan melalui pemindahan beban kepada rakyat.

Hari Kesihatan Sedunia seharusnya menjadi peringatan bahawa kesihatan ialah hak, bukan komoditi. Negara kita mesti memilih sama ada untuk memperkukuhkan sistem berasaskan solidariti sosial, atau membenarkan sistem dua lapis yang meminggirkan golongan majoriti.

Sempena tema Hari Kesihatan Sedunia tahun 2026, iaitu, “Bersama-sama untuk Kesihatan. Berdasarkan Sains” (Together for health. Stand with science), PSM menyeru semua pihak, termasuk Ahli Parlimen, masyarakat sivil dan rakyat Malaysia, untuk bersama-sama mempertahankan sistem kesihatan awam negara daripada arus pengkomersialan yang semakin meruncing. Marilah kita selamatkan Sistem Kesihatan Awam negara kita.

Kempen ini mengemukakan 4 tuntutan utama:

  1. Hentikan Skim Rakan KKM;
  2. Moratorium terhadap hospital swasta baharu untuk lima tahun akan datang;
  3. Peningkatan peruntukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada 5% KDNK;
  4. Wujudkan siling untuk caj-caj hospital swasta.

==========

Kempen Selamatkan Sistem Perkhidmatan Awam ialah sebuah inisiatif Parti Sosialis Malaysia (PSM). Tandatangani petisyen dalam talian untuk kempen “Selamatkan Sistem Kesihatan Awam” di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *