
oleh S. Arutchelvan
Saya mengikuti perbahasan Parlimen mengenai pindaan Perlembagaan Persekutuan yang dicadangkan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun, dan saya benar-benar yakin bahawa Rang Undang-Undang (RUU) ini akan mendapat sokongan padu daripada Ahli Parlimen di kedua-dua belah pihak. Ramai Ahli Parlimen pembangkang, semasa perbahasan, menyatakan sokongan kepada RUU ini secara prinsipnya, dan mereka hanya mempunyai satu atau dua bantahan khusus.
Maka berdasarkan ini, RUU ini sepatutnya melalui proses mudah, selain itu ia memang terdapat dalam janji manifesto Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2018 di mana Parti BERSATU (kini pembangkang) juga menyokongnya.
Dua bantahan utama telah dikemukakan pembangkang. Pertama, bahawa pindaan ini akan mengurangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong. Kebimbangan ini telah dijelaskan oleh ramai Ahli Parlimen, termasuk Perdana Menteri dan Menteri yang bertanggungjawab mengenai undang-undang. Kedua, bahawa perlu ada larangan perlembagaan terhadap Perdana Menteri memegang portfolio Menteri Kewangan secara serentak. Ironinya, ini juga merupakan janji manifesto PH yang asal — satu janji yang kini telah ditinggalkan mereka.
Walau bagaimanapun, bantahan ini tidak mewajarkan Rang Undang-Undang ini digugurkan hanya kerana gagal mencapai majoriti dua pertiga yang diperlukan untuk pindaan perlembagaan. Setiap Ahli Parlimen yang tidak hadir atau yang berkecuali daripada mengundi telah melakukan sesuatu yang teruk terhadap aspirasi demokrasi rakyat yang diwakili mereka. Ini adalah satu pengkhianatan.
Kerajaan mungkin terlalu yakin, menganggap pindaan ini boleh diluluskan dengan mudah, tanpa melibatkan diri dalam perundingan yang lebih mendalam dengan pihak berkepentingan utama. Pihak pembangkang pula boleh memilih untuk menumpukan tentangan mereka terhadap pindaan yang lebih kontroversi berkaitan pengasingan kuasa; dan menyokong RUU pindaan Perlembagaan mengenai had tempoh Perdana Menteri ini diluluskan tanpa tentangan.
Terdapat pengajaran untuk semua pihak. Tetapi kesimpulannya tetap sama: PSM amat kecewa kerana pembaharuan yang begitu bermakna telah dikalahkan dengan senang, membelakangkan prinsip mengenai isu ini.
===========
S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).
