
Pada 21 Februari 2026, bekas pekerja Ladang Kamiri dan Ladang Changkat Salak di Sungai Siput (U), Perak, mengadakan satu majlis untuk meraikan kemenangan mereka dalam usaha mendapatkan lot tanah percuma sebagai pampasan pemberhentian kerja lebih dua dekad lalu. Kemenangan ini bukannya sesuatu yang dicapai dengan mudah, tetapi melalui liku-liku perjuangan yang penuh cabaran, dari diheret ke mahkamah hingga berhadapan dengan pelbagai rintangan birokrasi…
Pada bulan Disember 1999, kira-kira 200 orang pekerja yang menoreh getah di Ladang Kamiri dan Ladang Changkat Salak diberhentikan kerja oleh majikan mereka, iaitu syarikat Guthrie. Pihak majikan hanya menawarkan pampasan yang sangat rendah mengikut Akta Kerja 1955, iaitu paling maksimum dibayar pampasan bersamaan gaji 20 hari untuk setiap tahun perkhidmatan di ladang. Oleh itu, pekerja-pekerja ladang yang dibuang kerja ini hanya mendapat pampasan pemberhentian kerja daripada yang maksimum kira-kira RM9,000 hingga yang paling rendah dalam ratusan ringgit sahaja.

Antara pekerja-pekerja dari dua buah ladang yang diberhentikan kerja ini, sebanyak 34 orang tidak menerima tawaran wang pampasan daripada pihak majikan, walaupun ia dikatakan mematuhi Akta Kerja 1955, atas sebab berikut:
- Kebanyakan pekerja ini merupakan generasi ketiga yang tinggal di ladang. Datuk nenek pekerja inilah yang menebang hutan di kawasan ini untuk mewujudkan ladang-ladang yang mengeluarkan hasil yang menjadi keuntungan syarikat perladangan;
- Pekerja-pekerja ini telah bekerja selama tiga generasi dengan gaji yang sangat rendah, sedangkan syarikat perladangan mencatat keuntungan yang lumayan pada masa yang sama;
- Kadar pampasan yang ditawarkan kepada pekerja itu adalah dikira berdasarkan gaji pokok yang sangat rendah, iaitu hanya RM15 sehari. Seorang yang berkhidmat dengan majikan yang sama selama 30 tahun pun hanya ditawarkan pampasan pemberhentian kerja sebanyak RM9,000. Ini merupakan satu kadar pampasan yang terlalu rendah bagi pekerja-pekerja yang sudah mengorbankan begitu banyak masa dan tenaga untuk berkhidmat dengan syarikat perladangan.
Oleh yang demikian, 34 orang pekerja ladang bersepakat untuk tidak menerima tawaran pampasan yang tidak munasabah daripada syarikat Guthrie, sebaliknya mereka meminta bayaran ganti rugi yang lebih setimpal ataupun skim/lot perumahan gantian. Pekerja-pekerja ini telah tinggal di rumah kawasan ladang selama tiga generasi, mereka juga kehilangan rumah kediaman mereka apabila diberhentikan kerja. Jadi, mereka menyatakan bahawa mereka tidak akan mengosongkan rumah ladang yang dihuni mereka sehingga tuntutan mereka ditunaikan.
Akan tetapi, pihak syarikat Guthrie enggan berunding dengan pihak pekerja ladang, sebaliknya mengheret para pekerja ke Mahkamah Tinggi pada bulan Ogos 2002. Oleh sebab undang-undang yang tidak berpihak pada pekerja, para bekas pekerja ladang ini kalah di mahkamah, walaupun mereka merayu sehingga peringkat Mahkamah Persekutuan. Pihak syarikat telah membelanja lebih RM1 juta untuk kos guaman.

Selepas syarikat Guthrie dirombak semula dan digabungkan ke dalam syarikat Sime Darby pada tahun 2007 untuk menjadi syarikat perladangan terbesar di dunia pada masa itu, pihak Sime Darby menghubungi para bekas pekerja untuk mencari satu penyelesaian yang munasabah dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Pihak bekas pekerja ladang menyatakan bahawa mereka sedia berunding untuk mendapatkan satu penyelesaian yang adil dan berpatutan.
Cadangan daripada pihak bekas pekerja di Ladang Kamiri dan Ladang Changkat Salak untuk menyelesaikan masalah ini adalah: Kerajaan Negeri Perak menggunakan kuasa yang diperuntukkan kepadanya di bawah Akta Pengambilan Tanah untuk mengambil tanah seluas 5 ekar di kawasan Ladang Kamiri, supaya dibahagikan kepada keluarga pekerja yang terlibat dalam isu ini. Pihak bekas pekerja mengenal pasti sebuah kawasan tanah seluas 2 ekar yang telah disimpan oleh pihak pengurusan ladang tanpa ditanam tanaman selama 50 tahun untuk kegunaan tanah perkuburan. Mereka mengesyorkan bahawa 2 ekar tanah ini dan sebuah lot tanah seluas 3 ekar lagi diambil oleh Kerajaan Negeri Perak supaya dapat mengagihkan kepada para bekas pekerja sebagai lot perumahan bagi menyelesaikan masalah mereka.
Untuk merealisasikan cadangan ini, para pekerja telah meminjam wang dan membayar wang deposit sebanyak RM245,000 dan fi permohonan sebanyak RM10,000 kepada Pejabat Daerah dan Tanah Sungai Siput pada bulan November 2010. Namun, usaha yang dimulakan oleh pihak bekas pekerja ini telah ditolak oleh Kerajaan Negeri Perak dengan alasan adanya kubur lama di kawasan yang dikenal pasti dan terdapat campur tangan daripada pihak luar.
Pada 25 Januari 2012, Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Perak meluluskan untuk memberikan tanah lot kepada 24 orang bekas pekerja berkenaan di kawasan Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) yang terletak di belakang Pasar Raya TF Value-Mart Sungai Siput. Keputusan ini dibuat selepas pihak syarikat Sime Darby berjanji untuk membayar RM340,000 (RM10,000 seorang bekas pekerja) bagi tujuan kerja-kerja pembinaan infrastruktur, termasuk sebuah jambatan di kawasan tapak.

Sepanjang tahun 2013-2015, pelbagai surat-menyurat daripada pihak bekas pekerja telah ditujukan kepada pihak berwajib, tetapi tiada maklum balas. Beberapa kontraktor yang sepatutnya dilantik untuk menjalankan kerja juga menghilangkan diri.
Pada 24 November 2016, para bekas pekerja menyerahkan sepucuk surat kepada Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Perak untuk meminta penjelasan tentang perkembangan isu lot tanah perumahan bagi pekerja kerana tiada sebarang maklum balas berkaitan pemberian tanah yang sudah diluluskan oleh Kerajaan Negeri Perak.
Pada 25 Oktober 2017, Jawatankuasa Bekas Pekerja Ladang Kamiri dan Ladang Changkat Salak menyerahkan sepucuk surat kepada Penolong Pegawai Daerah Sungai Siput untuk meminta penjelasan tentang perkembangan isu lot perumahan pekerja.
Pada 9 Oktober 2018, Jawatankuasa Bekas Pekerja menyerahkan sepucuk lagi surat kepada Pejabat Daerah dan Tanah Sungai Siput untuk bertanya, “Bilakah kerja-kerja pembinaan infrastruktur akan siap?” Pejabat Daerah dan Tanah Sungai Siput membalas surat itu pada 10 November 2018, dengan menyatakan bahawa pihak Sime Darby sudah menyerahkan senarai nama 34 orang pekerja yang terlibat, tetapi belum menerima apa-apa keputusan susulan daripada Pihak Berkuasa Negeri. Surat itu juga menyatakan bahawa infrastruktur tanah sudah siap.
Pada bulan Januari 2019, Jawatankuasa Bekas Pekerja menyerahkan surat kepada Menteri Besar Perak. Pejabat Menteri Besar Perak mengirimkan sepucuk surat bertarikh 16 Januari 2019 yang menyatakan bahawa surat daripada bekas pekerja itu telah dipanjangkan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Sungai Siput dan UPEN Perak.
Oleh sebab skim perumahan yang dijanjikan oleh Kerajaan Negeri Perak itu dilambat-lambatkan, Jawatankuasa Bekas Pekerja menyerahkan sebuah memorandum bersama surat akuan setiap orang bekas pekerja kepada Loh Sze Yee selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Jalong, untuk menyatakan bahawa para bekas pekerja menolak cadangan skim perumahan, dan meminta kepada kerajaan supaya hanya perlu menyerahkan lot tanah perumahan kepada bekas pekerja berkenaan.
Pihak Pejabat Daerah dan Tanah Sungai Siput menyatakan dalam sepucuk surat bertarikh 22 Februari 2019 bahawa kertas cadangan penyelesaian isu penempatan semula bekas pekerja Ladang Kamiri telah diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak pada 15 Ogos 2017 (iaitu 18 bulan lalu) tetapi masih belum mendapat jawapan.
Pada 4 Disember 2019, Jawatankuasa Bekas Pekerja menyerahkan sebuah memorandum kepada Ahmad Munir bin Ishak selaku Pegawai Daerah Kuala Kangsar pada masa itu untuk memohon geran bagi tanah yang sudah siap dibina infrastruktur. Salinan memorandum juga diserahkan kepada Ahli Parlimen kawasan Sungai Siput dan ADUN Jalong. Sepucuk lagi surat diserahkan pada 23 Disember 2019 untuk meminta tarikh perjumpaan dengan Pegawai Daerah Kuala Kangsar bagi membincangkan tuntutan bekas pekerja ini.
Pada 23 Disember 2019, Jawatankuasa Bekas Pekerja meminta tarikh untuk berjumpa Pegawai Daerah Kuala Kangsar. Pada 17 Januari 2020, satu perbincangan diadakan dengan Ahmad Munir bin Ishak, Pegawai Daerah Kuala Kangsar pada masa itu, dan turut dihadiri oleh Ahli Parlimen kawasan Sungai Siput serta ADUN kawasan Jalong.
Selepas itu, Jawatankuasa Bekas Pekerja menghantar surat kepada Pegawai Daerah Kuala Kangsar pada 14 Julai 2020 dan 11 Ogos 2020 untuk meminta penjelasan tentang perkembangan usaha pemberian lot tanah perumahan kepada para bekas pekerja.
Jawatankuasa Bekas Pekerja juga menghantar surat kepada Pengarah PTG Perak pada 1 Disember 2020. Dalam surat yang bertarikh 16 Jun 2022 daripada Ketua Penolong Pengarah PTG Perak menyatakan bahawa isu berkenaan lot perumahan bagi bekas pekerja sudah dibawa kepada perhatian MMK Negeri Perak. Dalam sepucuk surat bertarikh 14 Disember 2022, Pejabat Menteri Besar Perak merujuk perkara ini kepada Pegawai Daerah Kuala Kangsar.
Pada 3 Januari 2023, Jawatankuasa Bekas Pekerja menyerahkan surat kepada Pejabat Menteri Besar Perak, dengan tuntutan supaya menyelesaikan segera isu pemberian lot tanah perumahan kepada bekas pekerja Ladang Kamiri dan Ladang Changkat Salak yang sudah berlarutan lebih 12 tahun.
Pada 2 Mac 2023, Jawatankuasa Bekas Pekerja juga menyerahkan memorandum kepada ADUN kawasan Lintang dan ADUN Jalong. Pada 2 Mei 2023, Jawatankuasa Bekas Pekerja menyerahkan memorandum kepada Mohammad Nizar Jamaluddin dan Sandrea Ng yang kedua-duanya merupakan Ahli MMK Negeri Perak. Mohamad Nizar memanjangkan surat daripada Jawatankuasa Bekas Pekerja kepada A. Sivanesan, seorang lagi Ahli MMK Negeri Perak untuk pertimbangan selanjutnya.
Pada 20 Jun 2023, Jawatankuasa Bekas Pekerja menyerahkan satu lagi memorandum kepada Pejabat Menteri Besar Perak untuk meminta satu keputusan rasmi berkenaan status lot tanah bagi pekerja.
Sebuah memorandum diserahkan kepada Penolong Pegawai Daerah Sungai Siput pada 30 Jun 2023, untuk membangkitkan persoalan tentang perubahan dalam keputusan mengenai isu tanah Ladang Kamiri dan Ladang Changkat Salak.
Pada 6 Julai 2023, satu mesyuarat diadakan dengan Loh Sze Yee selaku ADUN Jalong di Pejabat Setiausaha Kerajaan Perak, yang turut dihadiri oleh Dr. Jeyakumar Devaraj (Pengerusi Nasional PSM), Letchumanan (pemimpin PSM Sungai Siput dan wakil bekas pekerja) dan Munusamy (wakil bekas pekerja).
Pada 7 Julai 2023, Jawatankuasa Bekas Pekerja menyerahkan memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri.

Pada 10 Julai 2023, Bekas pekerja ladang dari Ladang Kamiri dan Ladang Changkat Salak mengadakan aksi protes di hadapan Pejabat Menteri Besar Perak pada hari ini untuk menggesa Kerajaan Negeri Perak supaya menyelesaikan masalah pemberian lot tanah perumahan yang sudah tertangguh lama ini. Bekas pekerja ladang yang memperjuangkan hak perumahan mereka ini bertegas bahawa mereka akan terus mengadakan aksi duduk bantah di hadapan Pejabat Menteri Besar Perak sehingga satu penyelesaian yang adil tercapai. Kepimpinan PSM telah hadir bersolidariti bersama para bekas pekerja Ladang Kamiri dan Ladang Changkat Salak.
Oleh sebab tekanan daripada aksi protes duduk bantah oleh bekas pekerja ladang di hadapan Pejabat Menteri Besar Perak, Pengarah PTG Negeri Perak berjanji untuk mengatur satu mesyuarat penyelarasan bagi tujuan penyelesaian isu ini.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Dato’ Mohamad Fariz Bin Mohamad Hanip selaku Pengarah PTG Perak diadakan pada 14 Julai 2023, dan menyampaikan beberapa keputusan yang diambil selepas berbincang dengan pihak MMK Perak. Kerajaan Negeri Perak telah bersetuju dengan tuntutan bekas pekerja Ladang Kamiri dan Changkat Salak untuk mengekalkan keputusan kelulusan MMK Negeri Perak pada tahun 2012, iaitu kesemua 34 orang bekas pekerja ladang berkenaan akan diberikan lot tanah percuma di kawasan RPT Batu 1, Sungai Siput, dan keputusan untuk skim perumahan yang dibantah oleh bekas pekerja itu telah dibatalkan.
Majlis penawaran lot tanah kepada bekas pekerja Ladang Kamiri dan Ladang Changkat Salak telah diadakan di PTG Perak pada 8 November 2023.
Borang 5A untuk tawaran pemberimilikan telah diberikan pada 17 September 2025, dan bayaran Borang 5A dibuat oleh pihak syarikat Sime Darby di Pejabat Daerah dan Tanah Sungai Siput dengan kehadiran para bekas pekerja atau waris mereka.
Pada 27 Januari 2026, satu majlis penyerahan geran hak milik tanah diadakan di Pejabat Daerah dan Tanah Sungai Siput.







Pada 21 Februari 2026, para bekas pekerja yang akhirnya mendapat geran tanah menganjurkan majlis keramaian untuk meraikan kejayaan mereka bersama Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Jawatankuada Sokongan Masyarakat Ladang (JSML) yang sentiasa bersama mereka dalam perjuangan untuk lot perumahan ini. Turut hadir dalam majlis sambut kemenangan perjuangan ini ialah Dr. Jeyakumar Devaraj (Pengerusi Nasional PSM yang sentiasa bersama dalam perjuangan ini sejak awal lagi), S. Arutchelvan (Timbalan Pengerusi Nasional PSM), Dr. Nasir Hashim (mantan Pengerusi Nasional PSM), M. Sarasvathy (mantan Timbalan Pengerusi Nasional PSM) dan Bawani KS (Timbalan Setiausaha Agung PSM merangkap Pengerusi PSM Negeri Perak).
Daripada 34 orang bekas pekerja yang tegas memperjuangkan hak mereka, 13 orang telah meninggal dunia, namun waris mereka dapat menikmati hasil perjuangan yang penuh bermakna ini.
“Kemenangan bekas pekerja Ladang Kamiri dan Changkat Salak merupakan hasil juang yang berterusan,” kata R. Karthiges, Penyelaras JSML. “Mereka terpaksa melawan hampir semua kuasa, termasuk tuan tanah, kerajaan pusat, kerajaan negeri, parti politik kerajaan, parti politik pembangkang, pejabat tanah, majlis perbandaran, polis, FRU, samseng politik, kontraktor tanah dan sebagainya. Bekas pekerja ini tekal dan sedia melawan semua arus dan akhirnya berjaya. Tiada apa yang boleh melawan kuasa rakyat yang bersatu.”
Perjuangan bekas pekerja Ladang Kamiri dan Ladang Changkat Salak yang menguji kesabaran dan penuh cabaran ini akhirnya mencapai kejayaan. 34 orang bekas pekerja Ladang Kamiri dan Ladang Changkat Salak akhirnya mendapat lot tanah perumahan percuma sebagai pampasan pemberhentian kerja mereka yang tertangguh lebih dua dekad. Kejayaan bekas pekerja Ladang Kamiri dan Ladang Changkat Salak adalah hasil ketegasan para pekerja dalam perjuangan ini, dan kepercayaan mereka pada kuasa rakyat seperti yang sentiasa diusahakan oleh PSM.

