
KUALA LUMPUR: Pelbagai organisasi mahasiswa menegaskan pendirian mereka untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dalam satu aksi protes yang diadakan di hadapan Bangunan Parlimen pada 9 Februari 2026.
Kira-kira 100 orang anak muda dan mahasiswa daripada pelbagai institusi pengajian tinggi menyertai aksi Himpunan Aman Mansuh AUKU yang dianjurkan oleh Sekretariat Mansuh AUKU. Sekretariat Mansuh AUKU dianggotai oleh 34 buah organisasi mahasiswa termasuk Liga Mahasiswa Malaysia, Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (HARAM), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Angkatan Kesatuan Siswa Sosialis (AKSI) Malaysia, Ikatan Mahasiswa Demokratik Malaysia (MDM) dan sebagainya. Ia merupakan usaha untuk menyatukan kekuatan mahasiswa dalam menuntut autonomi mahasiswa dan kebebasan akademik secara total tanpa entiti kawalan.
Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang digubal untuk mengatur penubuhan, pentadbiran dan fungsi universiti awam serta hak dan tanggungjawab pelajar, telah mewujudkan sekatan terhadap autonomi mahasiswa dan kebebasan akademik di dalam kampus institusi pengajian tinggi awam. Walaupun AUKU telah dipinda untuk memberi kelonggaran kepada kebebasan mahasiswa, masih wujudnya banyak sekatan terhadap autonomi mahasiswa dan kebebasan akademik.
Tuntutan utama yang dikemukakan dalam memorandum daripada Sekretariat Mansuh AUKU yang mendapat sokongan daripada 74 buah organisasi ialah:
- Memansuhkan AUKU sepenuhnya bagi memulihkan maruah mahasiswa, memperkukuh kebebasan akademik serta membolehkan universiti awam berfungsi sebagai nurani masyarakat yang berintegriti dan berakauntabiliti;
- Menggubal Rang Undang-undang (RUU) Pendidikan Tinggi dengan kerangka yang menjamin kebebasan akademik dan kebebasan bersuara pelajar serta pensyarah, memberi autonomi penuh kepada kesatuan pelajar, serta mewujudkan mekanisme perlindungan hak mahasiswa dan standard tatatertib yang adil;
- Menubuhkan Jawatankuasa Khas Akta Pasca AUKU yang dianggotai sepenuhnya oleh mahasiswa.
RUU Pendidikan Tinggi yang dicadangkan dalam memorandum ini juga wajar digunakan untuk menggantikan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (Akta 555) dan Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) (Akta 174), supaya prinsip kebebasan akademik, autonomi institusi dan perlindungan hak pelajar terpakai secara seragam kepada semua institusi pengajian tinggi di Malaysia.
Memorandum daripada Sekretariat Mansuh AUKU telah diterima oleh Adam Adli selaku Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi yang juga pernah merupakan seorang aktivis mahasiswa semasa zaman mudanya. Anak-anak muda yang menyertai protes mengangkat kad merah untuk menyampaikan kekecewaan mereka terhadap Timbalan Menteri itu kerana prestasinya yang tidak memuaskan dalam memajukan kebebasan dan autonomi mahasiswa. Para peserta aksi juga sangat kecewa dengan kegagalan Menteri Pendidikan Tinggi hadir menerima memorandum itu sendiri.
Aksi Himpunan Aman Mansuh AUKU pada 9 Februari 2026 menunjukkan bahawa golongan anak muda dan mahasiswa di negara kita tidak berhenti dalam memperjuangkan kebebasan mereka untuk berfikir, bersuara dan berorganisasi.
