
oleh Amanda Shweeta Louis
Dalam satu keputusan terbaru oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kesihatan (KKM), penjualan makanan dan minuman ringan telah diharamkan secara rasmi di sekolah. Tidak dapat dinafikan bahawa makanan ringan membawa kemudaratan. Namun, Pemuda Sosialis berpendapat bahawa larangan ini adalah langkah tersasar dan bersifat paternalistik yang menghukum kanak-kanak atas kegagalan kerajaan sendiri dalam menjamin hak keperluan asas mereka seperti makanan berkhasiat.
Pemuda Sosialis menegaskan bahawa isu pokok dalam situasi ini adalah ketiadaan akses serta harga yang mahal untuk memperoleh makanan yang sihat dan seimbang. Dalam keadaan ekonomi di mana gaji rakyat tidak sepadan dengan kos sara hidup, makanan segar dan berkhasiat merupakan satu bentuk kemewahan yang tidak mampu dinikmati oleh ramai orang. Larangan ini hanya meninggalkan kanak-kanak dalam keadaan lapar kerana kerajaan memilih untuk menyingkirkan pilihan yang menepati perbelanjaan ibu bapa mereka tanpa menyediakan penyelesaian sebenar.
Populasi Malaysia kini menghadapi malnutrisi berganda (double burden malnutrition), di mana masalah kekurangan zat dan obesiti kanak-kanak wujud serentak. Kedua-duanya berasal daripada punca yang sama, iaitu masalah kemiskinan dan ketidakjaminan makanan. Kadar pertumbuhan terbantut (stunting) dalam kalangan kanak-kanak di bawah 5 tahun meningkat secara mengejut daripada 17.7% pada tahun 2015 kepada 21.2% pada tahun 2022. Pada masa yang sama, kadar obesiti dalam kalangan kanak-kanak di bawah 5 tahun meningkat kepada 6.0%, manakala seorang daripada tiga orang murid sekolah kini berlebihan berat badan atau obes.
Pada bulan Mei tahun ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menyatakan bahawa tekanan kewangan mendorong kanak-kanak untuk berhenti belajar di sekolah dan masuk ke dalam tenaga kerja untuk membantu keluarga. Sebuah program makanan percuma sejagat di sekolah boleh dijadikan insentif kepada ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke sekolah. Ini dapat memastikan kanak-kanak memperoleh nutrisi yang mencukupi dan bersedia untuk belajar, di samping meringankan beban kewangan keluarga yang sedang bergelut. Ibu bapa tidak seharusnya dipaksa untuk menanggung beban masalah yang wujud akibat kegagalan sistemik.
Pemuda Sosialis menuntut Kementerian Pendidikan untuk melaksanakan semula Program Sarapan Percuma (PSP) dan menyediakan sarapan yang sihat untuk semua kanak-kanak.
==========
Amanda Shweeta Louis ialah Pengerusi Pemuda Sosialis PSM.