oleh Kesavan Parwathy
Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengecam sekeras-kerasnya cadangan Ketua Polis Kelantan, Yusoff Mamat, yang mahu mangsa perempuan dalam kes rogol statutori turut dikenakan pertuduhan. Cadangan ini jelas bercanggah dengan undang-undang, prinsip keadilan dan perlindungan kanak-kanak.
Undang-undang telah menyatakan dengan sangat jelas bahawa kanak-kanak di bawah umur 16 tahun tidak boleh memberikan persetujuan kepada hubungan seks. Walaupun mereka berkata “ya”, undang-undang tetap menganggap ia “tidak”. Peruntukan ini diwujudkan untuk mencegah orang dewasa daripada mengambil kesempatan ke atas kanak-kanak yang mudah terpengaruh, mudah dipujuk melalui pengantunan seksual (child grooming) dan ketidakseimbangan kuasa (power imbalance) yang wujud.
Jika cadangan untuk mendakwa kanak-kanak atau remaja dilaksanakan, ia akan menyebabkan mangsa takut untuk melaporkan kes. Orang dewasa boleh mengugut bahawa mangsa juga akan didakwa sekiranya mereka membuat laporan. Jadi, pelaku dewasa boleh terlepas daripada tindakan undang-undang dan kita akan gagal untuk melindungi kanak-kanak (mangsa).
Rogol statutori adalah jelas, hubungan seks dengan kanak-kanak adalah jenayah, tanpa perlu mempertikaikan sama ada kanak-kanak itu bersetuju atau tidak. Perkara ini terpakai bukan sahaja kepada kanak-kanak perempuan, tetapi juga kepada kanak-kanak lelaki.
Cadangan pihak Yusoff Mamat adalah bentuk “victim blaming” (menyalahkan mangsa) yang membahayakan, kerana ia mengabaikan kewujudan “Child Grooming” dan “Power Imbalance” antara orang dewasa dan kanak-kanak. Kanak-kanak bukan sahaja tidak setara dari segi umur dan fizikal, malah mudah dipengaruhi secara psikologi.
Kami menegaskan bahawa mangsa wajib dilindungi, bukan dihukum. Fokus penguatkuasaan harus kekal terhadap pelaku dewasa, bukannya mengalihkan beban kepada mangsa. Malaysia sebagai pihak yang meratifikasi Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC), mempunyai tanggungjawab untuk melindungi semua kanak-kanak daripada eksploitasi seksual.
Sekiranya Yusoff Mamat benar-benar mahu memahami isu ini, PSM bersedia untuk mengadakan kelas kesedaran mengenai konsep “child grooming” dan “power imbalance” supaya pihak polis lebih peka serta tidak lagi mengeluarkan cadangan yang membahayakan kanak-kanak (mangsa).
==========
Kesavan Parwathy ialah seorang aktivis pendidikan dan ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM).