oleh K. Kunasekaran

Parti Sosialis Malaysia (PSM) Negeri Perak merujuk kepada kenyataan Nga Kor Ming, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, yang dilaporkan dalam Sunday Star pada 7 September 2025 dengan rencana yang bertajuk Without URA, turning empty offices into homes faces hurdles. Beliau menyatakan bahawa menukar pejabat kosong kepada kediaman adalah idea baik tetapi sukar tanpa Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) kerana melibatkan isu pengambilan tanah dan pengusiran. Beliau turut merujuk Seksyen 57 Akta Hakmilik Strata 1985 yang mensyaratkan 100% persetujuan pemilik, dengan contoh “jika ada 900 unit, 899 setuju tetapi seorang tidak, maka tiada apa-apa boleh dilakukan”. 

Kenyataan ini perlu diperjelaskan. Seksyen 57 Akta Hakmilik Strata 1985 (Akta 318) hanya terpakai apabila skim strata hendak ditamatkan sepenuhnya (termination of subdivision), contohnya untuk merobohkan bangunan. Ia tidak terpakai bagi penukaran kegunaan (conversion of use) pejabat kosong kepada kediaman.

Kedudukan undang-undang sedia ada

1. Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) – Seksyen 32 dan 70 memberi kuasa kepada Perbadanan Pengurusan untuk meluluskan ketetapan khas atau sebulat suara, serta menggubal undang-undang kecil tambahan bagi mengawal selia penggunaan petak, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa tempatan.

2. Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) – Seksyen 21(1) dibaca bersama Seksyen 2(1) menetapkan bahawa sebarang “pembangunan” termasuk “perubahan material dalam penggunaan tanah atau bangunan” memerlukan kebenaran merancang. Maka, penukaran pejabat kepada kediaman sudah pun diperuntukkan oleh undang-undang, tertakluk kepada proses kebenaran merancang.

3. Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) dan Undang-undang Kecil Bangunan Seraham 1984 (UBBL 1984) – Menetapkan piawaian teknikal seperti keselamatan struktur, kebakaran dan parkir yang wajib dipatuhi sebelum sesuatu penukaran guna diluluskan.

Ketiga-tiga undang-undang ini sudah menyediakan laluan jelas untuk menukar pejabat kosong menjadi kediaman tanpa perlu menamatkan pecah bahagi strata dan tanpa memerlukan URA.

Isu URA

Mengaitkan URA dengan isu penukaran pejabat kosong adalah tidak tepat. URA bertujuan memudahkan pembangunan semula berskala besar dan pengambilan paksa termasuk kemungkinan menurunkan ambang persetujuan pemilik. Kuasa sebegini menimbulkan implikasi serius di bawah Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak harta dan melarang perampasan sewenang-wenangnya.

Lebih membimbangkan, URA berpotensi menjadikan kepentingan pemaju lebih utama daripada kepentingan rakyat. Sedangkan isu sebenar yang harus diutamakan ialah bagaimana ruang kosong dapat digunakan untuk memenuhi keperluan rumah mampu milik dan kesejahteraan rakyat.

PSM Perak menegaskan bahawa penukaran pejabat kosong kepada kediaman sudah boleh dilaksanakan di bawah undang-undang sedia ada. Apa yang lebih diperlukan ialah:

  • mempercepatkan proses kelulusan pihak berkuasa tempatan,
  • memperkemas garis panduan teknikal,
  • memastikan penguatkuasaan undang-undang kecil berjalan dengan konsisten dan
  • meletakkan kebajikan rakyat di hadapan bukan keuntungan pemaju.

Kerajaan tidak perlu menggubal undang-undang baharu seperti URA yang berisiko menjejaskan hak pemilik harta. Sebaliknya, kerajaan harus memastikan ruang kosong digunakan secara adil, mampan dan memberi manfaat kepada rakyat biasa.

==========

K. Kunasekaran ialah Ahli Jawatankuasa Parti Sosialis Malaysia (PSM) Negeri Perak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *