oleh Arveent Kathirtchelvan
Saudara Rafizi baru-baru ini menyatakan bahawa Malaysia negara miskin dan perlukan pelaburan asing. Corak pemikirannya jelas lapuk ketinggalan zaman. Tiada pelabur akan datang ke sebuah negara miskin untuk mengembangkan pelaburannya. Penjajah Portugis, Belanda dan British yang datang ke Tanah Melayu pada suatu zaman dahulu pun inginkan kekayaan yang ada di sini. Pada zaman itu, kekayaannya adalah sumber asli seperti bijih timah, getah dan lada hitam. Pada zaman ini, kekayaannya adalah tenaga buruh murah.
Rafizi yang terhegeh-hegeh ingin menarik pelaburan asing melihat pelaburan ini sebagai sesuatu keperluan untuk negara kita. Sebaliknya, pelaburlah yang memerlukan negara seperti Malaysia. Mereka terpaksa mencari tenaga buruh murah di luar negara sendiri supaya keuntungan mereka terjamin. Dalam era teknologi berkembang pesat, kadar keuntungan makin kurang, lebih-lebih lagi di negara kaya dengan kadar gaji yang tinggi. Oleh itu, pelabur dari negara ini terpaksa mencari jalan untuk menjana keuntungan daripada penindasan pekerja di negara dunia ketiga.
Idea Rafizi ini adalah apa yang dipanggil sebagai fahaman liberal. Bukan liberal yang sering digunakan oleh PAS untuk melabel pihak lawannya, tetapi liberal dari segi ekonomi. Golongan liberal ini terikat kepada sistem kapitalisme dan tidak berupaya berfikir tentang sistem lain. Mereka sangat gembira menjual rakyat negara sendiri untuk mendapatkan pelaburan. Mereka tidak berfikir bahawa pelaburan ini datang dengan beberapa kaveat.
Pelabur asing menggunakan ancaman mengalihkan pelaburan mereka ke negara lain untuk memastikan tenaga kerja tempatan terus dibayar gaji rendah. Acap kali kita disajikan dengan alasan bahawa gaji minimum tidak dapat ditingkatkan oleh sebab ancaman ini. Begitu juga dengan faedah kerja lain. Malah Rafizi sendiri terpaksa memperkenalkan suatu Dasar Gaji Progresif yang hanya sekadar saranan untuk memastikan pelabur-pelabur ini kekal.
Fikiran ala Rafizi inilah yang menyebabkan penswastaan berlaku. “Malaysia negara miskin, kita perlukan pelabur asing. Oleh itu, kita perlu kurangkan cukai korporat. Kita perlu kurangkan campur tangan kerajaan dalam pasaran. Kita perlu swastakan banyak perkhidmatan awam. Kita perlu liberalisasikan sektor tenaga.” Ini adalah disebabkan oleh tekanan daripada pihak kapitalis yang ingin menjana keuntungan daripada sektor-sektor baharu. Malah fikiran sebegini juga menyebabkan undang-undang yang melarang solidariti pekerja serta mogok wujud. Akhirnya, yang mengaut keuntungan adalah pihak kapitalis sementara pekerja kita yang sengsara.
Daripada penswastaan pesat sejak era Mahathir 1.0, apakah yang kita capai kalau bukan peningkatan kekayaan golongan kaya sementara kaum pekerja kekal miskin? Apakah maknanya jika pelaburan asing ini hanya membuka ruang untuk hasil keringat pekerja kita diambil pihak lain? Apa gunanya ada CEO tempatan bergaji berjuta-juta ringgit tetapi pekerjanya tidak mampu menyara kehidupan dirinya?
Malaysia tidak perlukan lebih banyak pelabur asing. Kita perlukan sistem di mana kekayaan yang dijana kekal dalam tangan rakyat biasa. Rancangan Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk mewujudkan sistem ekonomi sebegini adalah sebuah Skim Jaminan Kerja daripada kerajaan pusat dalam sektor tertentu seperti pertanian makanan, penjagaan (care economy) dan penyelidikan. Ini dapat bersaing dengan pihak swasta untuk meningkatkan gaji serta faedah kerja rakyat biasa.
Bagi tujuan pendanaan skim sebegini, pemusatan keuntungan bersih daripada semua GLC perlu dilaksanakan. Syarikat milik kerajaan bukan bertujuan mengumpul wang untuk dividen pemegang saham, tetapi memacukan ekonomi untuk meningkatkan mutu hidup rakyat Malaysia.
Pendanaan sebeginilah pelaburan yang nyata. Mengapakah negara kita masih mengimport makanan ruji yang begitu banyak? Kerajaan sepatutnya meningkatkan keluaran hasil pertanian tempatan. Akan tetapi, kerajaan MADANI di Perak mengusir petani sayur-sayuran untuk pelabur asing membina kilang mereka. Adakah ini pelaburan yang diingini Rafizi? Bukankah kita patut fokus kepada mengurangkan perbelanjaan mengimport makanan?
Kementerian Ekonomi di bawah Rafizi juga menerbitkan Laporan Peralihan Tenaga Nasional yang mengandungi saranan kerajaan untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam. Dari manakah kita akan dapat kereta api dan bas baharu? Daripada mengimportnya juga, bukankah lebih baik untuk menghasilkan kenderaan awam kita sendiri? Kita boleh menggunakan infrastruktur pengeluaran kenderaan swasta melalui Proton dan Perodua. Dengan peningkatan penggunaan pengangkutan awam, kita dapat juga mengurangkan pengeluaran kenderaan persendirianjuga tanpa impak negatif besar.
Hasil daripada pelaburan ini dapat direalisasikan di tempat lain. Sebagai contoh, suatu sistem pekerja sosial dapat membendung penularan gejala sosial seperti gangsterisme dengan penyediaan bantuan kaunseling serta kegiatan kemasyarakatan di sesuatu tempat. Inisecara langsungdapat mengurangkan kos menangani kesan negatif akibat penularan masalah tersebut. Nilai pelaburan kerajaan boleh direalisasi melalui penjimatan kos sebegini.
Kebergantungan kepada orang luar, sama ada pelabur atau rakan perdagangan, perlu dikawal supaya keperluan asas rakyat Malaysia terjamin dan terletak dalam tangan rakyat kita sendiri. Beberapa perjanjian perdagangan bebas perlu dikemas kini supaya barangan import tidak menjejaskan kapasiti pengeluaran tempatan. Memang tidak dinafikan bahawa perdagangan itu diperlukan, tetapi biarlah Malaysia mempunyai kuasa rundingan yang lebih, bukannya lemah dengan keperluan asas pun tidak mencukupi.
Semua langkah ini adalah berpaksi pada membebaskan diri daripada kemelut kapitalisme sedunia yang juga dipanggil imperialisme. Imperialisme ini tersusun untuk memindahkan kekayaan dari dunia ketiga kepada negara maju, seakan-akan penjajahan baharu. Propaganda Amerika Syarikat, Britain dan sekutunya memang akan mempromosikan sistem sebegini kerana merekalah yang akan mengaut keuntungan daripadanya, sepertimana yang dilakukan oleh mereka apabila mereka menjajah negara lain tidak lama dahulu.
Adalah menjadi tanggungjawab setiap pemimpin negara dunia ketiga, sama ada sosialis atau tidak, untuk melawan sistem sebegini. Jika tidak, pekerja serta ekonomi tempatan akan kekal mundur. Kadar keuntungan pula akan menurun juga. Pada suatu hari nanti, mungkin pelabur negara kaya berpindah ke negara lebih miskin, seperti di benua Afrika. Adakah kita pada masa itu akan menurunkan lagi cukai korporat, gaji minimum dan faedah kerja untuk kekal “berdaya saing”? Dengan tiadanya perkembangan sektor penting seperti pertanian, adakah kita terpaksa bergantung kepada derma negara lain?
Lawanlah sistem yang memperhambakan anda, bukannya percaya kepada janji manis penciptanya.
===========
Arveent Kathirtchelvan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).