(foto: Elias Douw/ Papua60detik)

Ribuan orang warga Papua berdemonstrasi di jalanan Nabire, ibu kota Provinsi Papua Tengah, pada 17 Julai 2025 untuk membantah rancangan perlombongan emas Blok Wabu di Intan Jaya.

Aksi demonstrasi pada 17 Julai 2025 dianjurkan oleh Fron Solidaritas Mahasiswa dan Rakyat Papua (SMRP), dengan tema yang berbunyi “Blok Wabu itu saya, nyawa saya, hidup saya dan juga paru-paru dunia”. Pihak polis cuba menghalang kemaraan golongan demonstran tetapi mereka dapat menembusi sekatan polis kerana jumlah demonstran yang besar.

Golongan demonstran berhimpun di hadapan bangunan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Papua Tengah untuk menyatakan kekecewaan mereka terhadap DPR Papua Tengah yang mengabaikan nasib masyarakat orang asal Papua di Intan Jaya yang menjadi pelarian dalaman kerana konflik bersenjata. Golongan demonstran menyerahkan petisyen mereka kepada Meki Nawipa, Gabenor Papua Tengah. Petisyen mereka mengemukakan empat tuntutan, iaitu:

  • Menolak dengan tegas segala bentuk usaha perlombongan di Blok Wabu;
  • Menggesa kerajaan untuk mendedahkan maklumat mengenai rancangan perlombongan Blok Wabu kepada pengetahuan orang awam;
  • Menggesa untuk mengadakan siasatan menyeluruh terhadap laporan mengenai situasi hak asasi manusia dan aktiviti perlombongan emas di Intan Jaya seperti yang dinyatakan dalam laporan Amnesty International;
  • Mendukung laporan Koalisi Bersihkan Indonesia mengenai “Kajian Ekonomi Politik Penempatan Tentera di Papua (khususnya Intan Jaya)”, serta menggesa supaya pelaksanaan semua cadangan dalam laporan itu.
(foto: Elias Douw/ Papua60detik)

Blok Wabu yang terletak di Kabupaten Intan Jaya, Provinsi Papua Tengah, merupakan salah sebuah kawasan deposit bijih emas yang terbesar di dunia. Dianggarkan terdapat lebih 8.1 juta auns emas yang disimpan di dalam tanah di Blok Wabu. Ribuan orang asal yang tinggal di kawasan Blok Wabu telah menjadi pelarian dalaman kerana konflik bersenjata di Kabupaten Intan Jaya. Pihak berkuasa Indonesia telah meningkatkan penempatan tentera di kawasan itu sejak tahun 2019, dengan semakin kerap berlakunya pembunuhan menyalahi undang-undang yang dilakukan oleh pasukan keselamatan Indonesia. Masyarakat orang asal Papua di situ pula semakin disekat kebebasan mereka untuk bergerak di dalam kawasan itu, di samping sering berhadapan dengan penangkapan dan pemukulan sewenang-wenangnya. Ratusan orang Papua telah dibunuh kerana kezaliman pihak berkuasa Indonesia di Kabupaten Intan Jaya.

Sejak tahun 2020, kerajaan Indonesia merancang untuk membangunkan aktiviti perlombongan di Blok Wabu, dengan kawasan perlombongan meliputi keluasan sebesar 69,118 hektar, iaitu hampir sama dengan saiz Jakarta, ibu negara Indonesia. Tidak jauh dari Blok Wabu, sudah adanya lombong Grasberg yang terletak di Kabupaten Mimika, Papua Tengah, salah sebuah lombong emas dan tembaga terbesar di dunia. Kawasan Lombong Emas Blok Wabu dimiliki oleh syarikat PT Freeport Indonesia sebelum ini telah diserahkan semula kerajaan Indonesia dan sekarang diuruskan oleh PT Aneka Tambang Tbk (ANTAM), sebuah syarikat milik negara Indonesia.

Rakyat Papua membantah perlombongan di Blok Wabu, kerana aktiviti pengekstrakan sumber alam itu yang hanya menguntungkan syarikat korporat besar itu bakal menghancurkan kelangsungan hidup masyarakat setempat, dengan pencemaran air dan kehancuran punca rezeki masyarakat orang asal. Masyarakat orang asal Papua di situ menuntut hak ke atas tanah adat, hak untuk hidup dalam persekitaran yang lestari, hak untuk menentukan secara sendiri bagaimana menguruskan sumber asli di kawasan mereka dan hak untuk menentukan nasib sendiri. Masyarakat orang asal Papua tidak dapat melupakan trauma masa lalu di mana pengekstrakan sumber alam hanya mengundang kemiskinan dan penderitaan kepada penduduk setempat. Lebih-lebih lagi, bayangan keganasan pihak tentera Indonesia terhadap masyarakat orang asal Papua masih begitu ketara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *