Sebuah syarikat yang mendapat kontrak pembersihan untuk Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia mengupah pekerja dengan kontrak bulan ke bulan! Ini merupakan satu penghinaan terhadap pekerja dan eksploitasi pekerja pada tahap yang maksimum!
Dalam satu gambar yang tersebar di ruang media sosial tentang surat kontrak kerja yang dikeluarkan oleh syarikat Rotoplus Engineering Services Sdn. Bhd. kepada pekerja pembersihan yang ditugaskan untuk bekerja di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia, mendedahkan bahawa syarikat kontraktor tersebut hanya menawarkan kontrak bulan ke bulan untuk pekerja berkenaan. Ini bermaksud bahawa pekerja pembersihan yang bekerja di bawah kontrak ini akan diperbaharui kontrak setiap bulan!
Pekerja pembersihan yang ditawarkan kontrak bulan ke bulan ini hanya dibayar gaji minimum, iaitu RM1,100 sebulan, dengan elaun pengangkutan dan elaun kehadiran masing-masing RM100.
Persoalan di sini, adakah kerja pembersihan di Sasana Kijang atau Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia ini hanya diperlukan untuk satu bulan sahaja? Ataupun Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia hanya memerlukan perkhidmatan pembersihan untuk sebulan dan tidak memerlukannya untuk bulan seterusnya?
Berapa lama tempoh kontrak yang diberikan oleh Rotoplus Engineering Services Sdn. Bhd. untuk kerja pembersihan di Sasana Kijang? Adakah kontraktor itu berniat untuk menukar pekerja pembersihan yang diupah di bawahnya setiap bulan? Adakah Bank Negara yang memberikan kontrak pembersihan mengikut bulan ke bulan kepada kontraktor pembersihan ini?
Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2018 telah membongkarkan bahawa pekerja-pekerja Malaysia di Malaysia tidak dibayar secara adil. Yang ironinya, sekarang ini perkara yang sama berlaku di premis Bank Negara Malaysia sendiri! Pekerja pembersihan yang diupah oleh syarikat kontraktar yang dibayar oleh Bank Negara Malaysia bukan sahaja menerima kadar gaji yang terendah di sisi undang-undang, malah tidak mendapat apa-apa jaminan kerja dengan kontrak bulan ke bulan.
Sistem kontrak untuk kerja yang tetap seperti pembersihan di sesuatu premis, adalah penganiayaan terhadap pekerja. Selain gaji rendah, pekerja ini tidak akan mendapat kenaikan gaji walaupun betapa lamanya bekerja (kecuali kerajaan menaikkan gaji minimum) dan boleh diberhentikan kerja bila-bila masa apabila tempoh kontrak itu habis setiap bulan tanpa dibayar pampasan pemberhentian kerja mengikut tempoh perkhidmatan yang dikumpulnya. Dengan kontrak kerja yang langsung tiada jaminan kerja sebegini, pekerja sebenarnya dilayan seperti lampin pakai buang.
Tidakkah anda rasa terhina jika dilayan seperti lampin pakai buang?
Pekerja dibayar dengan gaji pada kadar gaji minimum tetapi dieksploitasi pada tahap maksimum, dengan langsung tiadanya jaminan pekerjaan. Adakah Bank Negara sedar tentang kontraktornya memeras pekerjanya dengan kaedah yang begitu keji ini? Jika Bank Negara sebagai sebuah badan berkanun atau institusi awam pun boleh membiarkan eksploitasi terhadap pekerja miskin di premisnya, bagaimana pula dengan pekerja-pekerja kontrak yang diupah oleh syarikat sektor swasta yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata?
Penyumberan luar (outsourcing) tenaga kerja untuk melakukan kerja dengan gaji yang rendah, merupakan satu trend sistem ekonomi kapitalis yang diperkenalkan untuk melindungi kepentingan kelas kapitalis tanpa menghiraukan nasib rakyat bawahan. Di dalam sektor swasta, penyumberan luar membolehkan syarikat gergasi dengan modal yang besar itu terus mengaut keuntungan yang lumayan tanpa perlu memikul tanggungjawab menjaga kebajikan pekerja yang diupah untuk kontraktor tetapi sebenarnya bekerja untuk menghasilkan keuntungan baginya.
Penyumberan luar turut ditiru dalam sektor awam, termasuk Kerajaan Malaysia, dengan alasan mengurangkan beban kewangan kerajaan. Jika sesebuah kerajaan menganggap jaminan kerja dan kebajikan untuk pekerja yang bekerja di premisnya itu satu “beban”, adakah kerajaan sebegini masih layak dipertanggungjawabkan untuk menjaga kesejahteraan rakyat?
Penyumberan luar untuk perkhidmatan sokongan di premis kerajaan, seperti kerja pembersihan dan kawalan keselamatan, telah memiskinkan lagi pekerja bawahan di negara kita, sementara mengkayakan segolongan kelas kontraktor yang hanya merupakan pencari sewa. Pekerja-pekerja yang diupah oleh kontraktor langsung tiada jaminan kerja di samping hanya mendapat gaji yang rendah. Penyumberan luar sudah menjadi salah satu penyumbang utama kepada pelebaran jurang antara yang kaya dengan yang miskin ataupun ketidakadilan sosial yang semakin serius. Oleh itu, kita perlu hapuskan sistem penyumberan luar, dan menjadikan semua pekerja yang melakukan kerja tetap itu diupah sebagai pekerja tetap.
Boleh ke surat amaran terakhir d keluarkan sdgkan Amaran pertama, kedua Dan surat rawatan tak d terima