20190609 - giacomo.jpg

oleh Hadri A Rahman

“Anda tidak akan membunuh ideal ini. Anak-anak saya akan berbangga dengan ayah mereka. Para pekerja akan memberkati mayat saya.” – Perkataan yang terakhir disebutkan oleh Giacomo Mateotti sebelum dibunuh.

Ketika sesi parlimen Itali pada 30 Mei 1924, Giacomo Matteotti, pemimpin Parti Sosialis Bersatu (Partito Socialista Unitario, PSU) di Dewan Perwakilan Itali berhujah mengecam kerajaan baru pimpinan Benito Mussolini pada masa itu. Beliau mengatakan bahawa keputusan pilihanraya yang diadakan pada tahun itu adalah sebuah penipuan, kerana keputusan pilihanraya yang berpihak pada Parti Fasis Nasional hanyalah dicapai melalui keganasan dan tingkah laku jenayah yang dilakukan oleh ahli-ahhli Parti Fasis, dan mendesak supaya keputusan pilihanraya tersebut dibatalkan.

Meskipun ucapannya diganggu berulang kali oleh ahli Parti Fasis, beliau berjaya menghabiskan ucapan tersebut, dan apabila beliau keluar dari Dewan Perwakilan, beliau memberitahu ahli-ahli parlimen yang mengucapkan tahniah atas keberaniannya, “Saya telah mengatakan hujah saya. Sekarang anda sediakan ucapan pengebumian saya”.

Pada tengah hari 10 Jun 1924, apabila Matteotti keluar dari rumahnya di Rom, pembunuhnya yang terdiri daripada ahli polis rahsia Ceka, sudah menunggu di dalam sebuah kereta Lancia Lambda di tambak Sungai Tiber. Beliau lantas dipukul sehingga hilang kesedaran sebelum dimasukkan ke dalam kereta tersebut yang menghala ke arah Ponte Milvio, dan mayatnya hanya ditemui pada 16 Ogos 1924 di dalam sebuah kubur yang digali 20 kilometer di luar Rom.

Jasad Matteotti dibawa ke tempat kelahirannya di Fratta Polesine menggunakan keretapi pada 20 Ogos 1924, dengan orang awam memberi penghormatan terakhir mereka di sepanjang perjalanan.

Pembunuhan Matteotti lantas memberi reaksi yang negatif kepada orang awam terhadap kerajaan fasis Mussolini, apatah lagi apabila identiti pembunuh-pembunuh tersebut (Amerigo Dumini, Albino Volpi, pemandu Augusto Malacria, Amleto Poveromo dan Giuseppe Viola) telah dikaitkan dengan Mussolini sendiri. Meskipun keganasan yang menimpa pilihanraya 1924 adalah pengetahuan umum, dunia dan masyarakat Itali menganggap bahawa Mussolini telah menyelamatkan Itali daripada sebuah revolusi sosialis, lantas mereka sanggup lepas pandang terhadap sebarang keganasan yang dilakukan oleh golongan fasis dengan harapan keganasan tersebut akan hilang apabila Mussolini menjadi pemimpin Itali.

Malahan, ianya bukanlah satu kebetulan Matteotti dibunuh pada 10 Jun 1924, kerana Parlimen Itali ketika itu akan berlangsung pada 11 Jun 1924 untuk membincangkan bajet, dan pada masa itu, Matteotti sedang mengumpul bukti untuk membuktikan korupsi antara kerajaan Mussolini dan sebuah syarikat petroleum Amerika, Sinclair Oil, untuk memberikan konsesi kepada syarikat tersebut.

Meskipun ianya kelihatan seperti rejim Mussolini akan runtuh, dengan tiga orang menteri daripada Parti Fasis dilucutkan jawatan, termasuklah Jeneral De Bono, Ketua Polis yang pada masa yang sama juga pemimpin Squadristi, iaitu sebuah badan separa tentera Parti Fasis.
Tindakan ini telah mengakibatkan reaksi yang negatif di kalangan ahli Parti Fasis, dengan 50 orang pegawai kanan Squadristi menyerbu pejabatnya di Rom dan mendesak Mussolini supaya memimpin sebagai seorang diktator atau mereka akan menggantikannya dengan pemimpin yang lebih autoritarian, namun begitu, sebaliknya pula berlaku.

150 ahli pembangkang yang terdiri daripada parti berhaluan kiri dan tengah telah keluar daripada Dewan Perwakilan untuk menunjukkan bantahan mereka terhadap kerajaan pimpinan Mussolini, dengan harapan Raja Itali, Victor Emmanuel III, akan meminta Mussolini untuk meletak jawatan dan mengumumkan pilihanraya baru. Namun begitu, beliau enggan mendesak Mussolini daripada meletak jawatan, tambahan pula dengan kekurangan pihak pembangkang di Parlimen, ini memudahkan Mussolini untuk untuk mengetatkan cengkamannya kepada kuasa yang sedia ada.

Maka, pada 3 Januari 1925, Mussolini, dalam sebuah ucapan dalam Dewan Perwakilan yang disampaikannya sebagai pemimpin Parti Fasis, mengambil tanggungjawab penuh terhadap pembunuhan Matteotti dan mencabar pihak pembangkang untuk mengemukakan bukti supaya dia boleh dihukum atas jenayah tersebut, sesuatu yang mustahil kerana pihak pembangkang pada masa tersebut masih berpecah-belah. Ucapan tersebut telah mendapat sokongan daripada Squadristi dan ianya adalah permulaan pemerintahan Mussolini kepada kerajaan diktator mutlak.

Pihak media antarabangsa juga telah diberitahu versi yang memihak kepada rejim tersebut, kerana Salvatore Cortesi, ketua biro Rom untuk Associated Press dan anaknya, Arnaldo yang melaporkan kepada New York Times dari Rom adalah warga Itali dan penyokong Parti Fasis. Mereka telah memberi gambaran bahawa rampasan kuasa Fasis yang dilancarkan pada tahun 1921 adalah sebuah kudeta yang aman, tanpa memberi sebarang gambaran terhadap keganasan yang berlaku.

Maka, apabila Cesare Rossi, salah seorang pembantu Mussolini yang juga pengarah Ceka yang mengarahkan pembunuhan tersebut lari ke Perancis, dia menawarkan dokumen yang membuktikan penglibatan Mussolini kepada New York Times, tetapi ditolak kerana dia mahukan ganjaran sebanyak $15,000, malahan, wartawan New York Times enggan mempercayai bahawa Mussolini akan mengarahkan pembunuhan pihak pembangkang.

Sebaliknya, Cesare Rossi membuat perjanjian dengan suratkhabar New York World, dan Arnaldo Cortesi lantas mengeluarkan sebuah rencana panjang di New York Times untuk mengalihkan tuduhan daripada Mussolini dan menolak tuduhan Rossi dengan rencana yang bertajuk: “Rossi ‘Revelations’ Fall Flat in Italy; Why Former Associate’s Charges Against Mussolini in the Matteotti Murder Failed. Premeditation Disproved.”

Matteotti bukanlah mangsa keganasan fasis yang pertama; pada tahun 1923, ahli-ahli Squadristi telah membunuh Don Giovanni Minzoni, seorang paderi Katolik dan aktivis anti-fasis. Pada tahun 1926, Piero Gobetti, seorang wartawan dan sosialis radikal meninggal dunia di Perancis pada usia 25 tahun akibat masalah kesihatan yang disebabkan oleh serangan dan pukulan yang dialami daripada pihak Squadristi. Pada tahun yang sama juga, ahli teori Marxis dan salah seorang pengasas Parti Komunis Itali, Antonio Gramsci, telah ditahan dan hanya dilepaskan pada tahun 1934, setelah terlalu sakit untuk memberi sebarang ancaman kepada rejim tersebut sebelum meninggal dunia di hospital 2 tahun kemudian.

Sesudah tamatnya Perang Dunia Kedua, anak-anak Matteotti dengan Giuseppe Saragat telah keluar daripada Parti Sosialis Itali kerana tidak bersetuju dengan dasar parti tersebut untuk bekerjasama dengan Parti Komunis Itali, lantas menubuhkan Parti Sosialis Pekeja Itali (Partito Socialista dei Lavoratori Italiani, PSLI) sebelum bergabung dengan PSU dan menukar nama kepada Parti Sosialis Demokratik Itali (Partito Socialista Democratico Italiano, PSDI).

Matteo Matteotti, anak Giacomo Matteotti, menjadi timbalan Dewan Perwakilan untuk PSDI selepas Perang Dunia Kedua sebelum bertugas sebagai Menteri Pelancongan dari tahun 1970 hingga 1972, kemudiannya bertugas sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dari tahun 1972 ke 1974. Malahan, filem mengenai kes pembunuhan Matteotti, Il delitto Matteotti (The Assassination of Matteotti) telah dikeluarkan pada tahun 1973 dan memenangi Hadiah Juri Khas di Festival Filem Antarabangsa Moscow ke-8.

Di sini haruslah diingatkan bahawa Mussolini, Matteotti dan Gramsci adalah bekas ahli Parti Sosialis Itali. Mussolini telah dibuang daripada PSI kerana semasa Perang Dunia Pertama, dia telah mengambil dasar pro-Perang ketika parti mengambil pendirian menentang perang tersebut atas dasar yang perang tersebut adalah perang borjuis, lantas berpaling tadah dari gerakan sosialis dan memeluk fahaman nasionalis.

Meskipun PSI menyokong Revolusi Bolshevik di Rusia, sayap kiri PSI telah keluar daripada parti selepas parti tersebut enggan membuang sayap reformis mereka seperti yang diminta oleh Comintern, dan mengasaskan Parti Komunis Itali pada 21 Januari 1921 dan Antonio Gramsci, pemimpin L’Ordine Nuovo (Orde Baru) dari Turin turut menyertai PCI. Ironinya, pemimpin sayap reformis PSI, Filippo Turatti dan Giacomo Matteotti pula dibuang daripada parti pada Oktober 1922, lantas menubuhkan Parti Sosialis Bersatu.

Sumber Maklumat:
https://www.marxists.org/history/etol/writers/garrett/1939/06/matteotti.htm

The Matteotti murder, 1924-2014

The Murder of Matteotti

https://libcom.org/news/10-may-1924-10062011

https://www.britannica.com/event/Aventine-secession

https://www.britannica.com/event/Matteotti-Crisis

New Book Explores America’s Flirt With Italian Fascism

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s