oleh R Saratbabu Raman
Syabas kepada pekerja-pekerja Hotel Sheraton yang berprotes menyuarakan hak mereka untuk meningkatkan gaji. Inilah semangat kaum pekerja yang kita perlukan. Inilah kenapa pentingnya untuk kewujudan kesatuan sekerja. Parti Sosialis Malaysia (PSM) bersolidariti bersama-sama dalam perjuangan pekerja-pekerja Hotel Sheraton di Kuala Lumpur.
Baru-baru ini, Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata bahawa pindaan dalam Akta Kesatuan Sekerja akan menggalakkan lebih ramai pekerja untuk menyertai kesatuan sekerja di Malaysia. Apa yang terlantar dalam fikiran kita, bagaimana ia boleh berlaku dalam realiti di mana sistem pendaftaran kesatuan sekerja adalah berdasarkan industri masing-masing? Setiap kesatuan sekerja harus diiktiraf oleh majikan, pemimpin kesatuan sentiasa menjadi sasaran untuk dimangsakan, dan proses mahkamah digunakan untuk melambat-lambatkan isu pekerja-majikan, sehingga terpaksa menunggu bertahun-tahun untuk keputusan mahkamah. Adakah pindaan dalam Akta Kesatuan Sekerja akan mengatasi masalah-masalah ini?
Walau bagaimanapun, jika kesatuan sekerja yang wujud itu lantang bersuara untuk hak pekerja, ia boleh membangkitkan semangat pekerja-pekerja lain sepertimana yang ditunjukkan oleh pekerja-pekerja Hotel Sheraton daripada Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Hotel, Bar dan Restoran Semenanjung Malaysia (NUHBRW) yang turun berpiket. Ini memberi rangsangan kepada pekerja-pekerja lain di negara kita untuk menyertai kesatuan sekerja.
Pertikaian perusahaan wujud apabila rundingan antara kesatuan sekerja dan majikan menemui jalan buntu dan tidak dapat mencapai kata sepakat, maka kesatuan sekerja boleh mengambil tindakan perusahaan (seperti berpiket) terhadap majikan. Keputusan NUHBRW untuk memperjuangkan hak mereka melalui aksi piket memberi nafas baharu kepada kaum pekerja di negara kita.
Kesedaran berkesatuan dalam kalangan pekerja Malaysia adalah sangat rendah. Kini, masih ada pekerja yang tidak tahu apa itu “kesatuan sekerja”! Negara kita mempunyai sejarah yang kaya dengan perjuangan pekerja sejak tahun 1940-an. Persekutuan Kesatuan Sekerja Se-Malaya (Pan-Malayan Federation of Trade Unions – PMFTU) dan Kesatuan Buruh Umum (General Labor Union – GLU) bukan sahaja memperjuangkan isu-isu tempat kerja seperti gaji, faedah dan hak asasi pekerja dengan begitu berani, malah juga mengetengahkan isu-isu yang lebih besar yang mengakibatkan kemiskinan dan kesusahan hidup, seperti isu-isu yang berkaitan dengan tempat tinggal, bekalan air, elektrik dan kemudahan-kemudahan asas lain untuk terus hidup.
Kita tidak harus lupa tentang sejarah perjuangan pekerja. Seramai 50,000 orang pekerja pernah turun berdemonstasi untuk menyambut Hari Buruh pada tahun 1 Mei 1947 dan hampir 70% pekerja menyertai kesatuan pekerja pada masa itu. Pada tahun 1960-an pula, Kesatuan Pekerja-pekerja Keretapi Tanah Melayu begitu berani berjuang untuk menentang “Sistem Kontrak” dalam industri mereka dan menuntut supaya menjadikan mereka pekerja tetap ataupun pekerja kerajaan. Ini membawa kepada satu mogok besar yang melibatkan 14,000 orang pekerja Keretapi Tanah Melayu yang pernah menggegarkan negara kita satu ketika dahulu.
Perjuangan-perjuangan seperti ini menjadi inspirasi kepada pekerja-pekerja lain untuk menubuhkan kesatuan sekerja. Sesuatu aksi piket atau protes pekerja yang kadang kala berlaku sepertimana pekerja-pekerja Hotel Sheraton sekarang, dapat menyedarkan pekerja-pekerja lain, membangkitkan semangat perjuangan, dan menjadi percikan api kepada perjuangan pekerja pada masa akan datang.
Syabas kepada NUHBRW! Hidup pekerja! Hidup perjuangan! Bersatulah pekerja!
==========
R Saratbabu Raman ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan merangkap Ketua Biro Pekerja PSM.