KUALA LUMPUR – 16 DISEMBER 2024: Jurugambar aktivis yang diganggu secara seksual oleh anggota polis yang menunjukkan isyarat tangan lucah padanya semasa aksi protes solidariti bersama Palestin pada 13 Disember 2024, membuat aduan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada hari ini.
Intan, seorang aktivis GEGAR yang mengambil gambar semasa aksi protes membantah genosid imperialis di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) pada 13 Disember 2024 mendapati seorang anggota polis yang bertugas di situ menunjukkan isyarat tangan lucah yang menjijikkan padanya. Tindakan anggota polis yang mengganggunya dengan isyarat tangan lucah itu dirakamkan dalam kamera jurugambar berkenaan.
Anggota polis tersebut berpakaian uniform yang tertera nama “Faris” di atas bajunya. Perbuatannya ini jelas merupakan gangguan seksual, lebih-lebih lagi dilakukan oleh seorang anggota pasukan keselamatan terhadap orang awam. Pada masa itu, adanya seorang lagi anggota polis yang berdiri di sebelahnya dan menyaksikan tindakan jijiknya itu, tetapi tidak berbuat apa-apa, malah hanya ketawa begitu sahaja.
Selepas Intan berkongsi tentang gangguan seksual yang dialaminya di media sosial, beliau mendapat maklumat daripada orang awam tentang anggota polis yang sama itu, Lans Koperal Muhammad Faris, pernah melakukan gangguan seksual terhadap sekurang-kurangnya 3 orang mangsa yang lain.
Setelah membuat aduan polis di IPD Dang Wangi, Intan memberi keterangan saksi kepada pegawai penyiasat dari IPD Wangsa Maju dan pegawai Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur. Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, pihak polis sudah mengenal pasti anggota polis berkenaan dan siasatan sudah dimulakan.
“Tindakan memalukan ini mencerminkan budaya patriarki dan keganasan misoginis yang berakar dalam sistem kepolisan Malaysia,” begitu katanya kenyataan yang dikeluarkan oleh GEGAR, penganjur aksi protes pada 13 Disember 2024. GEGAR ialah sebuah gerakan anak muda anti-imperialis dan anti-Zionis yang memperjuangkan kemerdekaan Dunia Selatan daripada imperialisme Barat, dengan kini memfokus pada isu Palestin.
Aksi protes pada 13 Disember 2024 diadakan di hadapan Kedutaan Jerman dan kemudiannya berdekatan Kedutaan AS di Kuala Lumpur, untuk menggesa pada kedua-dua kerajaan Jerman dan AS supaya menghentikan sokongan mereka kepada rejim Zionis Israel yang masih melakukan jenayah genosid terhadap rakyat Palestin dan terus mencetuskan bencana peperangan yang lebih meluas di rantau Timur Tengah.
“Polis harus bertanggungjawab atas keganasan berasaskan gender, penindasan dan pembulian terhadap peserta protes,” kata GEGAR dalam satu kiriman di x.com. “Kami mengecam intimidasi dan gangguan yang memalukan ini terhadap aktivis-aktivis pro-Palestin dan anti-imperialis. Kami akan terus menuntut keadilan untuk semua mangsa penindasan negara dan keganasan berasaskan gender.”
Turut hadir bersolidariti bersama Intan semasa membuat aduan polis pada hari ini ialah aktivis-aktivis daripada GEGAR, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (HARAM), serta individu-individu yang prihatin seperti Fahmi Reza.