oleh S. Arutchelvan
Dr. Jeyakumar Devaraj membentang kertasnya dalam salah satu sesi Forum Sosialisme 2024 yang dianjurkan oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM). Turut berkongsi pandangan dalam sesi yang sama dengan tema “Madani untuk siapa?” itu ialah Charles Santiago, mantan Ahli Parlimen Klang daripada DAP-Pakatan Harapan (PH). Pembentangan oleh Dr Jeyakumar tersebut mendapat sambutan baik. Setelah kertas pembentangan ini disebarkan kepada ramai pemerhati politik, termasuk penyokong-penyokong PH dan Kerajaan Madani, saya sedikit terharu apabila ramai penyokong parti pemerintah yang mengatakan bahawa tulisan Dr. Jeyakumar ini adalah komprehesif, matang dan berisi. Ada juga yang memaklumkan bahawa mereka akan memanjangkan tulisan ini kepada Perdana Menteri. Ada yang berpendapat bahawa pakar-pakar yang menasihati PMX itu terlalu dipengaruhi oleh pemikiran neoliberal Barat.
Jadi, saya berasa agak pelik dengan tulisan oleh Rusdi Omar, “Retorik antineoliberal PSM tidak realistik”, yang diterbitkan dalam laman sesawang Malaysiakini pada 3 Disember 2024
Dalam tulisannya, Rusdi mendakwa bahawa “Dr. Jeyakumar menyerang dasar dan pelaksanaan agenda kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dengan tuduhan bahawa pendekatan kerajaan gagal menangani isu ekonomi, keadilan sosial dan penjajahan ekonomi era moden”.
Tulisan Dr. Jeyakumar adalah disokong dengan data dan statistik, berbanding dengan ulasan daripada Rusdi yang hanya berhujah dengan menggunakan label, slogan dan retorik tanpa sebarang bukti, nota kaki mahupun sumber. Dr Jeyakumar bahawa mengatakan masalah ekonomi yang dihadapi oleh orang ramai – iaitu golongan B40 dan M40 – tidak berkurangan dalam tempoh dua tahun yang lalu. Pandangan ini memang disokong oleh pelbagai tinjauan pendapat yang dikeluarkan selama ini. Rusdi mungkin berada dalam sindrom penafian. Dalam perdebatan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden dan Kamala Harris mengatakan bahawa ekonomi negara itu telah pulih di bawah pemerintahan kerajaan mereka, tetapi rakyat yang merasakan kesakitan kerana inflasi, maka pengundi-pengundi Amerika Syarikat telah menghukum parti pemerintah dengan mengundi Trump. Oleh itu, kritikan Dr. Jeyakumar harus dilihat dengan lebih teliti sebagai satu amaran, bukan mengambilnya secara peribadi.
Dalam forum yang sama, Charles Santiago, seorang ahli DAP, mengatakan bahawa peningkatan kos gaji kerana peningkatan kadar gaji minimum kepada RM 1700 hanyalah peningkatan 1.5% bagi majikan, dan beliau berpandangan bahawa gaji minimum patut ditingkatkan kepada kadar yang lebih tinggi lagi. Malah, PSM sendiri sebelum ini, dengan menggunakan formula kerajaan dalam pengiraan gaji minimum dan statistik daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, telah mengatakan bahawa gaji minimum sepatutnya adalah RM2,444. Malah, kertas pembentangan Dr. Jeyakumar mengatakan bahawa Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) telah meningkat 24 kali ganda dalam nilai sebenar antara tahun 1970 hingga 2020, sementara gaji median pekerja hanya meningkat 2 kali ganda. Pada masa yang sama, jumlah hasil kerajaan turun daripada 30% KDNK pada tahun 1980-an kepada 15% KDNK sekarang.
Oleh itu, hujah Rusdi bahawa antara inisiatif kerajaan Madani adalah peningkatan gaji minimum itu adalah tidak cukup, peluasan perlindungan sosial itu sebenarnya tidak ada, manakala pelaburan strategik dalam pendidikan serta kemudahan kesihatan lebih cenderung untuk membebankan rakyat dan lebih kepada mencari keuntungan dalam sektor-sektor ini.
Rusdi mengatakan bahawa tulisan Dr Jeyakumar hanya menuding jari dan mencerminkan pendekatan berat sebelah adalah tidak tepat, kerana Dr. Jeyakumar telah berkata bahawa trend yang sama juga berlaku di negara-negara jiran di mana mereka mengurangkan kadar cukai korporat lebih banyak berbanding Malaysia.
Dr. Jeyakumar meminta pada kerajaan Malaysia supaya jangan terlalu asyik menumpu pada usaha menarik lebih banyak pelaburan asing (FDI) hanya kerana ini adalah satu norma yang biasa di dunia. Beliau menyarankan pada kerajaan Malaysia dan ASEAN untuk membina kekuatan serantau kerana ASEAN mempunyai populasi yang besar dan tidak perlu bersedekah pada Eropah dan Dunia Pertama untuk FDI. Ini adalah pandangan jauh dan mungkin juga di luar minda pengkritik yang sudah lama taksub dengan sistem kapitalisme neoliberal yang pernah disifatkan sebelum ini sebagai “TINA” (There is no alternative). Namun pada hari ini, pelbagai usaha di Amerika Selatan dan juga beberapa idea daripada BRICS yang baru disertai oleh Malaysia juga adalah bertujuan untuk mengurangkan dominasi negara-negara maju dan kebergantungan kita pada negara-negara itu.
Rusdi cuba berhujah bahawa cadangan Dr. Jeyakumar untuk “melawan penjajahan ekonomi” dengan mengabaikan FDI dan mengutamakan pendekatan proteksionisme akan meminggirkan Malaysia daripada arus perdana ekonomi global, sekali gus merugikan rakyat. Namun pada hari ini, ramai yang lebih takut bahawa retorik PMX dalam isu Gaza lebih membawa padah kepada hubungan Malaysia dengan negara Barat. PSM menyokong pendirian PMX dalam isu Palestin dan apa yang dititikberatkan dalam kertas pembentangan Dr jeyakumar adalah Malaysia harus lebih mengutamakan pemerkasaan ASEAN untuk kesejahteraan rakyat, dan bukannya ekonomi global yang berat sebelah.
Yang amat melucukan dalam kritikan Rusdi itu adalah, apabila dia berkata bahawa Dr. Jeyakumar tidak menyediakan alternatif yang konkrit dan boleh dilaksanakan. Jika dibaca dengan hati yang terbuka, sudah pastinya akan mendapati tulisan tersebut penuh dengan cadangan.
Semua statistik dan peningkatan gaji minimum sebelum ini telah membuktikan bahawa peningkatan gaji minimum tidak pernah memberi kesan kepada sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) seperti yang sering kali digertak oleh sesetengah pihak. PSM sebelum ini telah meminta pada kerajaan untuk memberikan insentif kepada PKS yang penting supaya membolehkan mereka membayar gaji minimum. Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Malaysia sendiri terlibat dalam 40% ekonomi dan PMX sudah pun menyeru mereka untuk membayar gaji lebih tinggi daripada kadar gaji minimum. Mungkin Rusdi belum lagi membaca bahawa gaji progresif yang diuar-uarkan oleh PMX dan Menteri Ekonomi langsung tidak mendapat sambutan. Setelah enam bulan dilancarkan, hanya 5 daripada 236 syarikat yang ditinjau telah memohon untuk program perintis ini.
Cadangan “Bandung Kedua” adalah berlandaskan semangat yang dibawa dalam Persidangan Bandung 1955 untuk membebaskan negara-negara Dunia Ketiga daripada cengkaman ekonomi Barat. PSM meminta pada kerajaan untuk mempertimbangkan pendekatan ini, tetapi Rusdi berkata bahawa gagasan ini adalah terlalu utopia tanpa mekanisme praktikal serta mengenepikan usaha-usaha kerjasama yang telah dilakukan oleh pemimpin ASEAN selama ini. Aduhai! Jika benar-benar membaca kertas kerja Dr. Jeyakumar, maka kita akan memahami bahawa usahanya adalah untuk membina kekuatan ASEAN. Yang utopia hanyalah minda Rusdi yang terperangkap dalam sindrom penafian dan cuba mengampu dasar Kerajaan Madani tanpa fakta dan bahan.
Rusdi juga tidak boleh terima hujah bahawa Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) merupakan alat Dunia Pertama untuk memperhambakan Dunia Ketiga dengan hutang. Dr. Jeyakumar dalam kertasnya memberikan banyak contoh kegagalan Bank Dunia dan IMF. Mungkin Rusdi lupa bahawa semasa krisis kewangan dahulu, negara kita lebih cepat pulih berbanding dengan negara-negara lain di Asia kerana kita berdikari dan tidak mengikut telunjuk IMF pada masa itu. Mungkin Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan pada masa itu akan faham posisi yang diambil oleh Mahathir pada masa itu untuk menyelamatkan negara kita.
Rusdi berkata bahawa Kerajaan Madani membelanjakan RM20 bilion hingga RM22 bilion setahun untuk program dan inisiatif bagi membasmi kemiskinan. Program-program seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), inisiatif perumahan mampu milik dan pengembangan akses kepada pendidikan dan kesihatan berkualiti adalah bukti komitmen kerajaan terhadap rakyat biasa. PSM tidak pernah mengkritik sebarang cadangan ini, malah PSM berkata bahawa sumbangan berbentuk handout yang populis harus digantikan dengan program yang lebih jitu, seperti pencen warga emas, peningkatan gaji minimum, PERKESO yang memberi perlindungan lebih menyeluruh dan sebagainya.
Rusdi berkata bahawa retorik anti-neoliberal perlu diseimbangkan dengan kesedaran tentang realiti globalisasi. Beliau setuju bahawa bukan mudah untuk keluar daripada sistem ekonomi global yang telah mengakar. Oleh itu, apa yang disarankan oleh PSM bukannya polisi-polisi radikal seperti pemiliknegaraan dan pemusatan kuasa. Polisi yang dilontarkan oleh PSM sekarang lebih bersifat membentuk negara kebajikan untuk memastikan pengagihan kekayaan negara yang lebih saksama. Untuk pengetahuan Rusdi, Malaysia antara negara yang mempunyai jurang pendapatan yang paling besar di Asia Tenggara. PSM mahukan negara kita berdikari bersama negara-negara ASEAN yang lain. Kita tidak perlu mengampu pada kuasa Barat, seperti cuba membina kekuatan kita sendiri.
Jika kritikan Rusdi terhadap tulisan Dr. Jeyakumar adalah kerana ia serangan melulu, maka beliau harus melihat kepada tulisannya sendiri yang langsung tidak memberikan sebarang bukti untuk menyokong pendiriannya, tetapi hanya sekadar mengulangi karangan-karangan yang dibuat oleh pelajar sekolah menengah apabila menulis rencana dengan menampal hujah-hujah daripada carian Google. Mungkin Rusdi tidak buat kajian dan tidak mengetahui bahawa semasa Dr. Jeyakumar menjadi Ahli Parlimen, beliau dipuji oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat sebagai Ahli parlimen yang selalunya membuat penyelidikan dan memberikan pandangan yang mantap serta matang. Mungkin itulah yang menyebabkan kadang kala pengkritiknya tidak memahami kandungannya yang berisi itu.
==========
S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).