20190510- merdeka_sunmerdeka-16-may13-1.jpg13 Mei 1969 ialah titik hitam dalam sejarah negara kita. Pada 50 tahun dahulu, selepas Parti Perikatan yang diterajui oleh UMNO gagal memperoleh majoriti 2/3 dalam Dewan Rakyat berikutan Pilihanraya Umum ke-3 pada 10 Mei 1969, tercetusnya satu rusuhan kaum yang meragut nyawa ramai orang pada 13 Mei 1969 dan Darurat diisytihar. Peristiwa tersebut telah membawa impak yang besar kepada hubungan antara etnik dan mewujudkan fasa baru untuk perkembangan politik perkauman yang menghantui negara kita selepas itu.

Selepas Peristiwa 13 Mei, golongan elit kelas kapitalis Melayu yang mula berkembang pada masa itu telah mengambilalih kuasa daripada golongan elit bangsawan lama yang didukung oleh kuasa penjajah sejak sebelum Merdeka. Dasar Ekonomi Baru telah diperkenalkan sebagai dasar tindakan afirmatif yang berasaskan kaum, walaupun pada luarannya nampak bertujuan untuk meningkatkan taraf ekonomi masyarakat Melayu yang merupakan kumpulan etnik majoriti di negara kita, tetapi sebenarnya memainkan peranan untuk membangunkan kelas kapitalis Melayu yang baru dengan sokongan jentera negara. Sejak itu, hubungan antara kaum sentiasa dimanipulasi untuk kepentingan politik parti yang berunsur perkauman, sama ada oleh parti politik pemerintah untuk mengekalkan kuasa pemerintahan ataupun oleh sesetengah parti pembangkang untuk meraih sokongan daripada kumpulan etnik tertentu.

Perubahan kuasa pentadbiran di peringkat Persekutuan dalam PRU-14, mungkin memberi sedikit harapan kepada pemecahan politik perkauman ini, tetapi pada hakikatnya politik perkauman masih belum lagi dihapuskan, malah diapi-apikan lagi oleh puak berhaluan kanan yang ingin merampas semula kuasa pemerintahan di peringkat Persekutuan.

Naratif yang berbeza tentang Peristiwa 13 Mei 1969

Naratif pemerintahan UMNO sebelum ini tentang Peristiwa 13 Mei adalah rusuhan kaum disebabkan oleh ketegangan kaum yang ditimbulkan oleh parti-parti pembangkang yang majoritinya bukan Melayu semasa Pilihanraya Umum 1969. Versi cerita yang paling kerap kita disajikan oleh kerajaan UMNO-BN sebelum ini adalah sambutan kemenangan oleh penyokong pembangkang yang kebanyakannnya orang cina dengan mengadakan perarakan di jalanan telah memprovokasi ketegangan kaum sehingga mencetuskan rusuhan. Malah, ada tuduhan tidak berasas bahawa parti komunis turut terlibat dalam provokasi perkauman.

Peristiwa 13 Mei telah membawa kepada Darurat, penggantungan Parlimen dan penubuhan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang mengambilalih kuasa pentadbiran untuk tempoh 2 tahun sebelum Parlimen dipulihkan pada tahun 1971. Selepas peristiwa tersebut, Rukun Negara yang dikatakan sebagai ideologi negara untuk mewujudkan perpaduan rakyat dan meningkatkan kefahaman rakyat tentang perlembagaan negara telah dibentuk. Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan atas nama membasmi kemiskinan tegar khususnya di kalangan masyarakat Melayu dan menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi.

Namun, “13 Mei: Dokumen-dokumen Deklasifikasi tentang Rusuhan 1969 Malaysia” yang ditulis oleh Dr. Kua Kia Soong, telah menyangkal naratif rasmi dengan mengatakan bahawa kelas kapitalis negara yang sedang berkembang dalam UMNO secara sengaja memulakan rusuhan sebagai usaha rampasan kuasa untuk menjatuhkan Tunku Abdul Rahman selaku Perdana Menteri pada masa itu dan melaksanakan Agenda Melayu baru yang menyokong pembangunan kelas kapitalis Melayu dalam negara. Tun Abdul Razak selaku wakil kepada kelas kapitalis Melayu yang baru membangun itu telah mengambilalih kuasa daripada golongan aristokrat Melayu lama yang berkuasa dan masih rapat dengan bekas penjajah pada ketika itu.

Hantu 13 Mei

Sehingga hari ini, masih adanya pihak-pihak yang mempermainkan sentimen perkauman sentiasa mempergunakan 13 Mei untuk mewujudkan ketegangan kaum dan menimbulkan ketakutan di kalangan orang ramai tentang kemungkinan untuk berulangnya peristiwa berdarah sebegini.

Sebelum ini, khususnya sebelum tahun 2008, hantu “13 Mei” dilihat agak berkesan dalam menimbulkan ketakutan di kalangan rakyat berbilang kaum sebagai halangan untuk perubahan rejim di negara kita. Rejim pemerintahan UMNO-BN ketika itu mewujudkan halangan dalam minda rakyat bahawa rusuhan kaum seperti 13 Mei akan diulangi sekiranya berlaku perubahan kuasa pentadbiran ataupun UMNO-BN kalah dalam pilihanraya. Namun, PRU-12 pada tahun 2008 sedikit sebanyak mengubah tanggapan sedemikian, apabila UMNO-BN gagal memperoleh majoriti 2/3 dalam Dewan Rakyat pertama kalinya sejak tahun 1969 dan hilang kuasa di beberapa buah negeri. Tiada rusuhan berlaku selepas kemenangan besar untuk parti pembangkang. Peralihan kuasa berjalan secara aman di negeri-negeri seperti Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Perak (walaupun UMNO-BN merampas semula kuasa pentadbiran Negeri Perak 11 bulan selepas itu). Walaupun selepas itu terdapat pihak yang ditaja oleh sesetengah puak dalam UMNO untuk menimbulkan sentimen perkauman dan mengadakan protes yang berbaur perkauman untuk mewujudkan ketegangan masyarakat, tetapi semakin ramai rakyat Malaysia mula mendapat keyakinan bahawa perubahan rejim secara aman tanpa berlaku rusuhan perkauman adalah berkemungkinan, dan perubahan rejim akhirnya disempurnakan pada tahun 2018.

Kejatuhan rejim UMNO-BN di peringkat Persekutuan dalam PRU-14 pada tahun 2018, pada awalnya memberi harapan kepada ramai bahawa politik perkauman telah dikuburkan, tetapi harapan itu masih kekal sebagai sekadar harapan. UMNO yang memerintah di peringkat Persekutuan untuk lebih 6 dekad dengan bergantung pada politik perkauman,  walaupun sudah kehilangan kuasa di peringkat Persekutuan dan sekarang ini menjadi parti pembangkang yang terbesar, tetapi ia gagal melakukan pembaharuan dalam parti selepas kekalahan bersejarahnya. Sebaliknya, pemimpin UMNO masih memanipulasikan sentimen perkauman untuk survival politiknya.

Di pihak Pakatan Harapan yang memerintah pula, parti komponennya seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang boleh dikatakan sebagai serpihan daripada UMNO masih mempunyai unsur-unsur politik perkauman, sementara sesetengah pemimpin dalam parti politik yang dikatakan berbilang kaum pula masih mempergunakan isu perkauman untuk meraih populariti dan kepentingan politik sendiri.

Peninggalan penjajahan yang belum dihapuskan

Politik perkauman ialah produk penjajahan British di negara kita. Masyarakat di Tanah Melayu sudahpun terdiri daripada berbilang kaum sebelum datangnya penjajah Eropah, dan tiada masalah perkauman seperti yang wujud pada hari ini. Dasar yang dibawa penjajah Eropah telah menjadi titik permulaan kepada permasalahan antara kaum dalam masyarakat majmuk, sama ada dari sudut politik ataupun polarisasi kaum.

Penjajah British mengamalkan dasar “pecah dan perintah” yang mengasingkan kaum-kaum di Tanah Melayu mengikut fungsi ekonomi demi menjamin kekuasaan penjajahan. Penjajah British membawa masuk secara besar-besaran buruh dari China untuk bekerja di lombong bijih timah dan buruh dari India untuk bekerja di ladang getah. Kedua-dua sektor ekonomi ini yang dibina melalui pemerasan yang hebat terhadap tenaga buruh telah menyumbang kepada kemakmuran Empayar British pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20. Masyarakat Melayu bawahan di desa pula dipinggirkan daripada proses ekonomi dan kekal miskin. Sementara itu, pemerintah penjajah British menyokong  dan membentuk kerjasama dengan elit masyarakat atasan kumpulan etnik yang berasingan untuk menjadikan mereka sebagai ejen untuk mengawal rakyat bawahan dalam kumpulan etnik masing-masing daripada melampaui “batasan” susunan pemerintahan penjajah. Oleh itu, golongan peniaga kaya dalam masyarakat cina menjadi “orang tengah” antara penjajah British dengan buruh kasar beretnik cina; sementara golongan bangsawan Melayu dijadikan wakil atau pelindung kepada masyarakat Melayu bawahan untuk mengelakkan mereka daripada memberontak melawan kuasa penjajah.

Gerakan anti-penjajah dan menuntut kemerdekaan berkembang hebat khususnya selepas Perang Dunia II. Gerakan anti-penjajah yang radikal pada tahun 1940-an, terdiri daripada rakyat berbilang kaum, dengan tuntutan kemerdekaan sepenuhnya daripada penjajah British. Gabungan politik PUTERA-AMCJA yang menyatukan kuasa-kuasa progresif, telah membawa perspektif politik yang melangkaui fahaman perkauman. PUTERA-AMCJA telah mengemukakan Perlembagaan Rakyat dan mengadakan aksi protes yang hebat (seperti Hartal 1947) untuk menuntut kemerdekaan. Gerakan rakyat yang merentasi batasan kaum dalam menentang penjajahan ini memang amat digeruni oleh kuasa penjajah British. Pihak British telah bertindak ganas terhadap gerakan anti-penjajah yang radikal ini, dengan menahan ramai pemimpinnya dan mengharamkan semua organisasi yang mengancam kuasa penjajah. Sementara itu, pihak British mendukung pembentukan organisasi politik berhaluan kanan yang berasaskan kaum, untuk melemahkan gerakan perjuangan kemerdekaan yang lebih radikal.

UMNO ditubuhkan pada asalnya bukan untuk menentang imperialis British atau memperjuangkan kemerdekaan yang sepenuhnya, tetapi hanya untuk melindungi kepentingan golongan bangsawan yang diancam. Malah, golongan kanan yang mewakili kepentingan elit kelas atasan telah berkompromi dengan pihak penjajah dan bekerjasama dengan penjajah British untuk menyekat kebangkitan gerakan menuntut kemerdekaan yang lebih radikal.

Formula politik perkauman yang diwujudkan sejak penjajahan British telah diteruskan oleh gabungan parti pemerintah yang terdiri daripada parti-parti berasaskan kaum (UMNO, MCA dan MIC) selepas kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957. Pengaruh kuasa penjajah British masih terjamin oleh elit pemerintah daripada Parti Perikatan, sementara polarisasi kaum terus menjadi lebih serius. Peristiwa berdarah 13 Mei 1969 telah dijadikan kesempatan untuk penyusunan semula kelas pemerintah di atasan dan formula politik perkauman telah diubahsuai untuk memenuhi keperluan mengekalkan susunan kuasa atasan yang baru.

UMNO-BN yang memerintah Malaysia selepas 13 Mei, akan mewujudkan ketegangan hubungan antara kaum setiap kali berlakunya krisis politik, supaya rakyat yang dipecah-belahkan oleh politik perkauman tidak dapat menumpukan kuasa dari bawah untuk menggugat pemerintahan UMNO-BN. Taktik sebegini agak berkesan untuk mengekalkan kekuasaan UMNO-BN untuk hampir 50 tahun. Selepas kehilangan kuasa di peringkat Persekutuan, UMNO nampaknya masih mahu menggunakan taktik politik perkauman yang sama, tetapi kali ini bertujuan merampas semula kuasa daripada Pakatan Harapan.  Dalam usaha mengapi-apikan sentimen perkauman untuk meraih sokongan, puak berhaluan kanan sanggup menjadikan apa-apa isu pun sebagai isu perkauman. Politik perkauman sebegini merupakan penghalang kepada proses pembaharuan masyarakat.

Melawan perkauman dengan solidariti rakyat

Politik perkauman telah menyebabkan masyarakat majmuk di Malaysia berpecah-belah dan dipenuhi dengan syak wasangka antara kaum. Walaupun kerajaan sebelum ini selalu menyeru untuk “perpaduan”, tetapi pemimpin-pemimpin politik tidak was-was untuk mempermainkan politik perkauman apabila diperlukan untuk kepentingan mereka sendiri. Selagi adanya ahli-ahli politik yang mempergunakan perkauman sebagai modal politik mereka, sama ada daripada parti pemerintah ataupun parti pembangkang, keharmonian masyarakat kita yang terdiri daripada berbilang kaum tetap akan terancam.

Akibat daripada pengaruh politik perkauman yang telah berlarutan bergenerasi sejak zaman penjajahan, fahaman perkauman memang tertanam kuat dalam minda ramai rakyat Malaysia. Memang bukan mudah untuk membuang fahaman perkauman ini, malah ia diburukkan lagi oleh politikus-politikus yang tidak bertanggungjawab.

Kita tidak perlu terlalu mengharapkan elit politik yang mendapat faedah daripada politik perkauman itu mempunyai keberanian dan kesungguhan politik untuk membuang politik perkauman mereka. Rakyat dari bawah yang perlu tegas dan berani menolak pemimpin politik yang mempermainkan perkaumanan.

Untuk melawan politik perkauman secara berkesan, kita perlu membina gerakan rakyat yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dalam memperjuangkan kesejahteraan bersama seperti gaji mampu sara hidup untuk semua, perumahan selesa yang mampu diduduki oleh semua, sistem kesihatan awam yang berkualiti untuk semua, pendidikan percuma untuk semua dan sebagainya. Hanya gerakan rakyat merentasi batasan kaum dan agama untuk tujuan memperjuangkan kepentingan bersama kita sebagai sebuah masyarakat yang samarata, kita dapat mengkikis fahaman perkauman yang tertanam dalam diri kita dan menolak politik perkauman secara berkesan.

One thought on “13 Mei dan politik perkauman

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *