Sebuah laporan kajian baharu yang disediakan oleh Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) mendedahkan bahawa sistem kontrak perkhidmatan terhad masa terus disalahgunakan dalam pengupahan pekerja-pekerja perkhidmatan sokongan (termasuk pekerja pembersihan, tukang kebun dan pengawal keselamatan) yang berkhidmat di sekolah-sekolah kerajaan di mana pekerja-pekerja ini menghadapi pelbagai masalah seperti pencabulan hak pekerja dan tiada keterjaminan kerja. Laporan kajian ini juga mengesahkan sekali lagi bahawa penyumberan luar perkhidmatan sokongan di premis kerajaan kepada kontraktor swasta hanya akan terus memangsakan dan memiskinkan pekerja-pekerja berpendapatan rendah di negara kita.

JPKK melancarkan laporan kajian tersebut dalam satu sidang akhbar yang diadakan pada 8 Ogos 2024 di Kuala Lumpur. Kajian ini memfokus kepada pengumpulan maklumat mengenai demografi dan keadaan kini pekerja-pekerja perkhidmatan sokongan (iaitu pekerja pembersihan, tukang kebun dan pengawal keselamatan) yang diupah oleh kontraktor-kontraktor swasta di sekolah-sekolah kerajaan yang terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan Malaysia. Tujuan JPKK menganjurkan kajian ini adalah untuk menggunakan data yang dikumpul itu untuk menyokong usaha penambahbaikan sistem perolehan kerajaan dan meningkatkan kapasiti pekerja-pekerja kontrak yang bekerja di sekolah-sekolah kerajaan, di samping mengatasi masalah kekurangan maklumat penyelidikan mengenai pekerja-pekerja kontrak kerajaan.

Sebelum ini, JPKK telah menerbitkan dua laporan kajian, iaitu “Kajian mengenai Pengupahan Langsung Pekerja-pekerja Kontrak dalam Agensi-agensi Kerajaan” pada tahun 2020 dan “Laporan Penyelidikan Penyiasatan mengenai Benefisiari-benefisiari Kontrak Perkhidmatan Kerajaan” pada tahun 2021. Laporan penyelidikan terbaru yang akan diserahkan kepada kerajaan ini merupakan pelengkap kepada dua kajian ini dan menyokong cadangan-cadangan yang telah dikemukakan sebelum ini.

“Jika kita lihat pada keadaan di semua sekolah kerajaan di negara kita, anda akan mendapati bahawa di dalam sebuah sekolah yang sama, pekerja-pekerja yang sama, tetapi kontraktor yang mengupah pekerja-pekerja itu akan datang dan pergi,” kata Sivarajan Arumugam, perunding penyelidikan yang menyediakan laporan kajian JPKK terbaru ini. “Setiap kali satu kontraktor baharu masuk, pekerja yang masih bekerja di situ terus menjadi pekerja baharu. Semua faedah yang berkaitan dengan pengalaman kerja dan kekananan mereka di tempat kerja yang sama itu hilang begitu sahaja.”

“Kerja seperti pembersihan dan kawalan keselamatan itu sentiasa diperlukan. Ia merupakan kerja tetap, tetapi pekerja-pekerja yang melakukan kerja itu telah dijadikan seperti pekerja sementara di bawah kontrak perkhidmatan terhad masa. Ini sememangnya penyalahgunaan sistem kontrak perkhidmatan terhad masa (fixed term contract),” ulas Sivarajan, yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan mantan Setiausaha Agung PSM.

Penyelidikan terbaru yang dijalankan oleh JPKK ini telah menemu ramah sebanyak 453 orang pekerja di 85 buah sekolah yang tertabur di semua negeri di Semenanjung Malaysia. 57% daripada semua pekerja yang ditemu ramah telah bekerja di sekolah yang sama melebihi 2 tahun dan diupah oleh lebih daripada satu kontraktor. Penemuan daripada kajian ini termasuk:

  • Pekerja menerima gaji yang rendah, di mana 47% responden menerima gaji bersih sebulan kurang daripada RM1,500 selepas potongan KWSP dan PERKESO, sementara 11.9% responden masih dibayar kadar gaji yang kurang daripada gaji minimum RM1,500 sebulan;
  • Hampir semua pekerja tidak menerima apa-apa kenaikan gaji tahunan atau bonus;
  • 29% responden tidak dibenarkan untuk mengambil cuti pada hari kelepasan am, 22% responden tidak dibenarkan untuk mengambil sebarang cuti tahunan, 19% responden dinafikan cuti sakit berbayar, lebih 50% responden mengatakan bahawa gaji mereka akan dipotong jika mengambil cuti tahunan atau cuti sakit;
  • 14% responden tidak mempunyai caruman KWSP.

Antara isu-isu penting yang dikenal pasti dalam laporan penyelidikan JPKK ialah:

  • Kebanyakan pekerja kontrak tidak menerima faedah kebajikan pekerja seperti perlindungan penjagaan kesihatan, cuti bergaji, kenaikan gaji dan simpanan persaraan, maka mewujudkan ketidakjaminan dalam kehidupan ekonomi mereka;
  • Banyak pekerja menghadapi masalah eksploitasi seperti keadaan kerja yang tidak adil, kecurian gaji, pemberhentian kerja sewenang-wenangnya dan kekurangan mekanisme menyalurkan aduan mereka;
  • Ketidakjaminan kerja dan kekurangan peluang untuk kemajuan kerjaya serta pembangunan kemahiran;
  • Pekerja-pekerja yang berumur lebih 60 tahun menghadapi masalah diskriminasi dan eksploitasi kerana mereka dikecualikan daripada perlindungan undang-undang sedia ada;
  • Sekatan terhadap kebebasan menubuhkan kesatuan sekerja.

“Semua isu yang dikenal pasti dalam laporan penyelidikan ini menunjukkan bahawa wujudnya keperluan untuk melaksanakan pembaharuan supaya pekerja-pekerja kontrak di premis kerajaan mendapat perlindungan undang-undang, faedah kerja dan peluang kerjaya yang lebih baik,” tambah Sivarajan. “Pelanggaran hak pekerja yang memangsakan pekerja-pekerja kontrak di premis kerajaan ini disebabkan oleh kelemahan yang wujud dalam undang-undang perburuhan masa ini dan kegagalan kerajaan dalam memilih kontraktor yang benar-benar sesuai.”

JPKK menyarankan pada kerajaan supaya melakukan pemantauan yang sistematik terhadap sistem pengambilan pekerja kontrak kerajaan untuk mengurangkan eksploitasi pekerja.

JPKK bertekad untuk menentang penindasan terhadap pekerja-pekerja kontrak di premis kerajaan, dan menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan yang konkrit untuk menyelesaikan segala masalah yang dihadapi oleh pekerja-pekerja kontrak. Matlamat akhir perjuangan JPKK ialah menghapuskan sistem kontrak untuk semua kerja tetap di premis kerajaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *