Ismail Haniyeh (1962-2024)

Pembunuhan Ismail Haniyeh, pemimpin utama kumpulan Hamas, merupakan sebahagian daripada cubaan terdesak Benjamin Netanyahu, Perdana Menteri Israel, untuk mencetuskan peningkatan konflik di rantau Timur Tengah supaya dia dapat terus berkuasa. Nampaknya rejim Zionis Israel langsung tiada niat untuk mewujudkan keamanan di bumi Palestin dan rantau Timur Tengah, apabila ia sanggup membunuh seorang pemimpin Palestin yang bersedia dan sedang berusaha merundingkan gencatan senjata di Gaza. Netanyahu tahu bahawa dia boleh mengharapkan pertolongan daripada kuasa imperialis Barat seperti Amerika Syarikat (AS) yang akan terus membenarkannya kekal berkuasa sebagai sekutu utama mereka di rantau Timur Tengah. Sudah pasti rejim Zionis Israel yang sedang melakukan jenayah genosid di Gaza akan terus menzalimi rakyat Palestin dan membarakan lagi api keganasan.

Ismail Haniyeh, Ketua Biro Politik Hamas yang juga merupakan perunding damai utama bagi kumpulan pejuang pembebasan Palestin tersebut, telah dibunuh di Tehran, Iran, pada 31 Julai 2024, dalam satu serangan yang dilakukan oleh rejim pengganas Zionis Israel. Ismail Haniyeh berada di Tehran pada masa itu untuk menghadiri majlis perlantikan Masoud Pezeshkian sebagai Presiden Iran baharu. Pembunuhan terhadap Ismail Haniyeh dilakukan beberapa jam selepas Israel melancarkan serangan udara terhadap kubu Hizbullah di selatan Beirut, Lubnan, untuk membunuh seorang komander kanan Hizbullah.

Pembunuhan terhadap pemimpin perjuangan pembebasan Palestin di dalam wilayah Palestin dan di luar negara oleh rejim Zionis Israel dengan menggunakan pendekatan pengganas bukannya sesuatu yang baharu. Rejim Zionis Israel telah membunuh ramai pemimpin Palestin dengan cara yang keji sejak tahun 1960-an, termasuk Ghassan Kanafani daripada Barisan Rakyat untuk Pembebasan Palestin (PFLP) yang dibunuh di Beirut pada tahun 1972, Kamal Nasser yang merupakan jurucakap Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) di Beirut pada tahun 1973, Khaled Nazzal yang merupakan Setiausaha Jawatankuasa Pusat Barisan Demokratik untuk Pembebasan Palestin (DFLP) di Athens pada tahun 1986, dan Ahmed Yassin (pengasas dan pemimpin Hamas) yang dibunuh dalam serangan udara di Gaza pada tahun 2004.

Serangan yang dilakukan oleh Israel terhadap pemimpin Hamas di dalam negara Iran, bukan sahaja menunjukkan rejim Zionis Israel memang tiada niat untuk berdamai dengan rakyat Palestin, malah ia merupakan satu tindakan melancarkan perang terhadap Iran. Ali Khamenei, Pemimpin Agung Iran, menyatakan bahawa adalah menjadi tanggungjawab bagi Iran untuk membalas dendam atas pembunuhan Ismail Haniyeh. Kerajaan Iran telah memberi sokongan kepada kumpulan pejuang Hamas di Palestin, Hizbullah di Lubnan dan Ansar Allah di Yaman untuk menentang tentera Zionis Israel. Perkembangan terbaru yang melibatkan pembunuhan Ismail Haniyeh dijangkakan akan meningkatkan lagi konflik di Timur Tengah dan berkemungkinan mencetuskan perang menyeluruh antara Iran dan Israel.

Ismail Haniyeh dilahirkan pada tahun 1962 di kem pelarian Al-Shati yang terletak di Semenanjung Gaza. Beliau mula menyertai Hamas pada tahun 1980-an dan terlibat dalam Intifadah Pertama yang tercetus pada tahun 1987. Beliau pernah dipenjarakan beberapa kali oleh rejim Zionis Israel kerana terlibat dalam aksi protes menentang penjajahan Zionis Israel di bumi Palestin. Ismail Haniyeh mula mengambil jawatan penting dalam Hamas pada tahun 1990-an dan rapat dengan Ahmed Yassin, pengasas Hamas. Ahmed Yassin telah dibunuh di Gaza pada tahun 2004 oleh rejim Zionis Israel melalui serangan peluru berpandu yang dilepaskan daripada sebuah helikopter tempur.

Ismail Haniyeh pernah dilantik sebagai Perdana Menteri Pihak Berkuasa Palestin selepas Hamas menang dalam Pilihan Raya Majlis Perundangan Palestin pada tahun 2006. Namun, Ismail Haniyeh telah dipecat daripada jawatan Perdana Menteri pada tahun 2007 oleh Mahmoud Abbas, Presiden Palestin daripada kumpulan Fatah, maka mencetuskan konflik antara Fatah dan Hamas. Walau bagaimanapun, dengan Hamas berjaya menguasai Semenanjung Gaza, Ismail Haniyeh terus menjadi ketua kerajaan Hamas di Semenanjung Gaza sehingga tahun 2017. Ismail Haniyeh tinggal di Qatar pada kebanyakan masanya sejak tahun 2017 selepas jawatannya sebagai ketua kerajaan Hamas di Semenanjung Gaza digantikan oleh Yahya Sinwar. Ismail Haniyeh dipilih sebagai Pengerusi Biro Politik Hamas pada tahun 2017.

Tentera Zionis Israel telah melancarkan perang genosid terhadap rakyat Palestin selepas berlakunya “Operasi Taufan al-Aqsa” pada 7 Oktober 2023. Pencerobohan dan serangan berterusan oleh tentera Israel di Gaza dalam tempoh 10 bulan yang lalu telah meragut nyawa hampir 40,000 orang rakyat Palestin, di samping ratusan rakyat Palestin yang dibunuh di Tebing Barat. Tentera Israel juga melancarkan serangan terhadap kumpulan Hizbullah di Lubnan. Jenayah genosid yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel telah dikecam oleh masyarakat umum dan kerajaan di seluruh dunia, kecuali kuasa imperialis AS dan sekutunya yang bersungguh-sungguh untuk mempertahankan rejim Zionis Israel demi kepentingan geopolitik mereka.

Seruan untuk gencatan senjata telah dibuat oleh begitu banyak pihak, dari negara-negara seluruh dunia hingga aksi-aksi protes jalanan dan pendudukan kampus di merata tempat termasuk negara AS. Namun, rejim Zionis Israel masih meneruskan tindakan keganasannya terhadap Palestin kerana ia masih mendapat sokongan kuat daripada kuasa imperialis AS dan sekutunya.

Terdapat usaha rundingan untuk gencatan senjata di Gaza, dengan kerajaan Mesir dan Qatar bertindak sebagai perantara, tetapi rejim Zionis Israel yang dipimpin oleh Netanyahu masih berdegil untuk “menewaskan Hamas” dengan perang genosidnya terhadap seluruh rakyat Palestin.

Kumpulan-kumpulan politik Palestin yang berpecah-belah sebelum ini telah cuba untuk bersatu semula dalam menghadapi serangan genosid daripada rejim Zionis Israel. 14 buah kumpulan politik Palestin, termasuk Hamas dan Fatah, dua kumpulan yang berpecah dan berbalah sejak tahun 2007, telah mencapai satu persetujuan pada 23 Julai 2024 untuk menamatkan perpecahan mereka dan membentuk sebuah kerajaan perpaduan sementara berikutan rundingan yang diadakan di Beijing, China. Barangkali rejim Zionis Israel terasa terancam dengan usaha penyatuan kumpulan-kumpulan pejuang Palestin ini, dan meningkatkan lagi serangan terhadap kumpulan-kumpulan pejuang Palestin, khususnya Hamas yang merupakan kumpulan terbesar. Pembunuhan Ismail Haniyeh boleh dilihat dalam konteks di mana rejim Zionis Israel pimpinan Netanyahu hendak merosakkan segala kemungkinan untuk gencatan senjata dan mematahkan usaha penyatuan perjuangan pembebasan rakyat Palestin.

Perang genosid di Gaza yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel berkemungkinan akan meningkat kepada perang serantau yang lebih besar dengan tindakan rejim Zionis Israel yang semakin liar dan tanpa sekatan. Netanyahu nampaknya bersedia untuk mengorbankan lebih banyak nyawa lagi di rantau Timur Tengah dengan meneruskan jenayah genosid terhadap rakyat Palestin dan meningkatkan konflik di situ dengan harapan keganasannya akan terus disokong oleh kuasa imperialis AS. Kuasa imperialis AS yang semakin kehilangan pengaruhnya di pentas dunia kerana krisis dalaman negara dan krisis kapitalisme global masih tidak mahu melepaskan cengkamannya di rantau Timur Tengah dengan terus menyokong rejim Zionis Israel demi mengekalkan hegemoni kuasanya.

Rantau Timur Tengah telah menjadi titik tumpuan krisis kapitalisme sedunia. Imperialisme terus membiak krisis dan peperangan yang memangsakan rakyat seluruh dunia. Konflik di Timur Tengah hanya dapat diselesaikan dengan menumpaskan Zionisme, kapitalisme dan imperialisme. Ini hanya dapat dilakukan dengan menyatukan kekuatan rakyat seluruh dunia yang progresif dan revolusioner untuk menyokong perjuangan pembebasan rakyat Palestin dengan apa jua cara, di samping meneruskan perjuangan revolusioner di negara masing-masing mengikut keadaan sebenar masing-masing.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *