(foto: Rayhan9d / Wikipedia)

Gelombang protes menuntut pembaharuan sistem kuota di Bangladesh menjadi lebih besar lagi selepas pihak berkuasa menzalimi demonstran sehingga membunuh lebih 100 orang. Protes yang diterajui oleh pelajar-pelajar dari universiti-universiti dan disertai oleh masyarakat umum di Bangladesh ini bukan sahaja membantah sistem kuota dalam pengambilan kerja kerajaan yang dianggap mewujudkan nepotisme, malah juga menyatakan ketidakpuasan hati rakyat terhadap penindasan zalim oleh kerajaan terhadap rakyat yang berprotes dan kegagalan kerajaan dalam menangani masalah ekonomi di negara itu. Gelombang protes terbaru ini sedang menggugat kuasa pemerintahan kerajaan Liga Awami yang dipimpin oleh Perdana Menteri Sheikh Hasina.

Selepas gelombang protes yang melanda seluruh negara Bangladesh selama 3 minggu dan lebih 100 orang terbunuh kerana penindasan daripada pihak berkuasa, Mahkamah Agung Bangladesh telah memutuskan pada 21 Julai 2024 untuk mengurangkan kuota kerja kerajaan yang penuh kontroversi di negara itu.

Gelombang protes yang terbaru di Bangladesh tercetus apabila Mahkamah Tinggi Bangladesh memutuskan pada 5 Jun 2024 bahawa pekeliling kerajaan pada tahun 2018 yang membatalkan kuota kerja kerajaan sebanyak 30% bagi orang berketurunan “pejuang kebebasan” adalah tidak sah. Pekeliling yang dikeluarkan oleh kerajaan Bangladesh pada bulan Oktober 2018 itu merupakan hasil desakan daripada gerakan protes pelajar pada masa itu. Namun, pembatalan pekeliling tersebut dan pengembalian kuota oleh keputusan Mahkamah Tinggi telah mencetuskan aksi protes yang terbaru, dan tindakan kerajaan yang cuba mematahkan protes dengan keganasan sehingga meragut nyawa demonstran telah mengapi-apikan lagi kemarahan rakyat.

Sistem kuota untuk kerja kerajaan di Bangladesh mula diperkenalkan pada tahun 1972 oleh Sheikh Mujibur Rahman, pemimpin utama perjuangan kemerdekaan dan Presiden Bangladesh yang pertama, berikutan Bangladesh mencapai kemerdekaan selepas perang pembebasan yang melawan Pakistan pada tahun 1971. Di bawah sistem kuota tersebut, kerajaan Bangladesh memperuntukkan kuota 56% dalam pengambilan kerja kerajaan untuk kumpulan-kumpulan tertentu: 30% untuk anak atau cucu “pejuang kebebasan” (iaitu veteran yang terlibat dalam Perang Pembebasan Bangladesh 1971), 10% untuk wanita, 10% untuk daerah yang kurang maju, 5% untuk etnik minoriti dan 1% untuk orang kurang upaya. Ini menjadikan hanya 44% kerja kerajaan dibuka kepada orang awam yang lain. Sistem kuota ini telah mengundang kritikan kerana ramai anak muda dinafikan peluang kerja dalam kerajaan walaupun pencapaian akademik yang cemerlang. Selain itu, sistem kuota 30% untuk orang berketurunan “pejuang kebebasan” dipercayai telah disalahgunakan oleh kerajaan untuk memberi ganjaran kepada penyokong-penyokongnya. Lebih-lebih lagi, apabila masalah pengangguran semakin serius dalam kalangan anak muda, kewujudan sistem kuota dalam pengambilan kerja kerajaan sebegini menimbulkan ketidakpuasan hati yang lebih hebat lagi dalam kalangan rakyat biasa yang merupakan mangsa kepada ketidakadilan sosio-ekonomi.

Gelombang protes pelajar besar-besaran pada tahun 2018 untuk membantah sistem kuota telah memaksa kerajaan Bangladesh pada masa itu untuk mengeluarkan satu pekeliling yang menyatakan pembatalan sistem kuota dalam sebahagian besar pengambilan kerja kerajaan. Namun, pekeliling yang dikeluarkan pada tahun 2018 itu dibatalkan pula oleh keputusan Mahkamah Tinggi pada 5 Jun 2024, maka mencetuskan semula gelombang protes yang diterajui oleh golongan anak muda.

Gerakan pelajar yang menuntut pembaharuan sistem kuota di Bangladesh menggesa kerajaan untuk membatalkan sistem kuota kerja kerajaan yang sedia ada, di samping memperuntukkan kuota pada kadar yang lebih adil kepada kumpulan minoriti, wanita dan orang kurang upaya.

Golongan anak muda Bangladesh sedang mengalami masalah pengangguran yang serius. Sistem kuota dalam pengambilan kerja kerajaan telah menghalang ramai anak muda yang berkebolehan daripada berkhidmat sebagai penjawat awam, sementara penyokong-penyokong kerajaan ataupun mereka yang rapat dengan parti pemerintah mudah mendapat jawatan dalam kerajaan hanya kerana identiti mereka sebagai anak atau cucu kepada “pejuang kebebasan”.

Liga Awami, parti pemerintah yang berkuasa sejak tahun 2009 dan dipimpin oleh Sheikh Hasina, menganggap protes menuntut pembaharuan kuota sebagai satu usaha untuk menjatuhkan pemerintahannya. Pihak berkuasa telah bertindak ganas terhadap demonstran yang berprotes di jalanan. Liga Chhatra Bangladesh, sayap pelajar kepada Liga Awami, telah menggunakan keganasan untuk menyerang pelajar-pelajar yang berprotes demi menuntut pembaharuan sistem kuota.

Sheikh Hasina, Perdana Menteri Bangladesh yang merupakan anak kepada Sheikh Mujibur Rahman (pemimpin utama perjuangan kemerdekaan Bangladesh), pada awalnya enggan mendengar tuntutan gerakan pembaharuan sistem kuota dan membiarkan pihak berkuasa serta penyokongnya untuk terus menzalimi demonstran jalanan. Pihak berkuasa mengenakan perintah kurung yang melarang orang ramai keluar dari rumah dan berhimpun di tempat awam. Kumpulan penyokong kerajaan seperti Liga Chhatra Bangladesh pula menyerang demonstran yang menuntut pembaharuan sistem kuota. Tindakan kerajaan Bangladesh telah membawa kepada pengorbanan nyawa yang besar dengan lebih 100 orang terbunuh. Kerajaan Bangladesh juga cuba menghalang komunikasi dengan menutup rangkaian internet dan menyekat talian telefon. Ramai pemimpin pelajar dan aktivis telah ditahan dengan pertuduhan mencetuskan kekacauan.

Keputusan Mahkamah Agung Bangladesh pada 21 Julai 2024 memerintahkan bahawa hanya 5% kerja kerajaan akan dikhaskan kepada orang berketurunan “pejuang kebebasan”, dan 2% kepada kumpulan etnik minoriti atau orang kurang upaya. Selepas Mahkamah Agung Bangladesh yang memerintah untuk mengurangkan kuota kerja kerajaan, keadaan di Bangladesh masih tegang. Walaupun keputusan Mahkamah Agung boleh dikatakan sebagai satu kemenangan kepada gerakan menuntut pembaharuan sistem kuota, pelajar-pelajar yang berprotes telah bertekad untuk meneruskan aksi demonstrasi dengan tuntutan membebaskan mereka yang ditahan semasa protes dan perletakan jawatan pegawai-pegawai yang bertanggungjawab terhadap keganasan yang meragut nyawa demonstran. Mereka yang berprotes menuntut keadilan buat rakan-rakan mereka yang dibunuh secara kejam oleh pihak berkuasa dan kumpulan penyokong kerajaan.

Ramai demonstran juga menggesa perletakan jawatan Sheikh Hasina sebagai Perdana Menteri. Sheikh Hasina yang berkuasa sebagai Perdana Menteri Bangladesh sejak tahun 2009, telah dianggap semakin bersikap autoritarian dalam pemerintahannya dan membawa korupsi yang berleluasa. Kemenangan Liga Awami buat kali keempat berturut-turut dalam pilihan raya umum pada bulan Januari 2024 juga dianggap ramai bahawa wujudnya penipuan. Gelombang protes menuntut pembaharuan sistem kuota terbaru ini sedang mencabar kekuasaan kerajaan Liga Awami, dan tindakan kerajaan yang menzalimi demonstran mencetuskan tentangan yang lagi hebat daripada rakyat Bangladesh.

One thought on “Bangladesh: Protes tuntut pembaharuan kuota dizalimi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *