oleh Dr. Jeyakumar Devaraj

(Berikut ialah memorandum yang diserahkan kepada Anwar Ibrahim, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, di Parlimen pada 9 Oktober 2023.)

Kami di Parti Sosialis Malaysia (PSM) memahami dilema Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang menghadapi beberapa kekangan kewangan dalam melaksanakan program-program ekonomi yang memanfaatkan rakyat kita. Dalam tahun yang lalu, PSM telah mengesyorkan beberapa program untuk memperkasakan jaringan perlindungan sosial dan memulihkan alam sekitar negara kita, termasuk:

  • Pencen Warga Emas sebanyak RM500 sebulan untuk semua warga Malaysia yang berumur 65 tahun dan ke atas, jika mereka bukan penerima pencen kerajaan.
  • Penambahan belanjawan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) secara berperingkat ke 4% KDNK dalam jangka masa 4 tahun berbanding peruntukan sebanyak 2.2% KDNK sekarang, supaya KKM dapat mempertingkatkan perkhidmatan kesihatan yang diberikan kepada rakyat kita.
  • Pembinaan lebih banyak rumah PPR di seluruh negara supaya keluarga-keluarga B20 dapat menyewa rumah dengan kos rendah. 
  • Peruntukan dana RM2 bilion untuk membantu majlis-majlis tempatan supaya mengambil ailh penyelenggaraan rumah-rumah pangsa kos rendah. Keadaan kebersihan dan kemudahan awam di banyak rumah pangsa kos rendah adalah sangat teruk.
  • Mewujudkan kerja-kerja “hijau” terutamanya dalam sektor penjanaan kuasa letrik (daripada cahaya matahari dan sisa pembuangan kilang kelapa sawit) dan untuk memulihkan hutan-hutan yang telah dibalak teruk.

Kami percaya bahawa Yang Amat Berhormat akan bersetuju secara prinsip dengan matlamat program-program yang disenaraikan di atas, tetapi dinasihat oleh pakar-pakar ekonomi di dalam dan di luar kerajaan, bahawa buat masa ini, Kerajaan Persekutuan mesti berjimat dan mengurangkan perbelanjaan supaya belanjawan persekutuan dapat diimbangkan dan defisit semasa dapat diturunkan ke 3% KDNK secepat mungkin. Pakar-pakarini menitikberatkan perkara-perkara yang berikut:

  1. Defisit semasa kerajaan pusat adalah lebih kurang RM100 bilion(nota 1) setiap tahun atau lebih kurang 5% KDNK.
  2. Jumlah hutang Kerajaan Persekutuan telah melebihi RM1 trilion(nota 1) (tanpa mengambil kira “contingent liabilities” atau liabiliti luar jangkaan sebanyak RM0.5 trilion).
  3. Pembayaran hutang (debt servicing) terhadap hutang sebanyak RM1 trilion adalah lebih kurang RM43 bilion(nota 1) setiap tahun.
  4. Jika kita tidak mengurangkan defisit belanjawan kita kepada 3% KDNK dalam masa terdekat, ada kemungkinan bahawa Agensi Penarafan Kredit Antarabangsa (International Credit Rating Agencies) akan mengurangkan status kredit negara kita dari BBB sekarang ke taraf yang lebih rendah dan kos meminjam wang akan meningkat. 
  5. Adanya risiko berkaitan usaha-usaha untuk meningkatkan kadar cukai terhadap golongan korporat besar ataupun 1% golongan terkaya di negara kita. Ada kemungkinan mereka akan berpindah ke negara jiran dan beroperasi dari sana. Kadar pelaburan baharu dalam ekonomi Malaysia dan kadar penjanaan kerja baharu akan merosot jika ini berlaku. 

Kami di PSM menerima bahawa kekhuatiran kerajaan terhadap situasi defisit belanjawan dan hutang negara memang mempunyai asasnya. Negara kita terperangkap dalam situasi di mana hasil kerajaan tidak mencukupi untuk membiayai kos program-programyang harus dilancar untuk membantu rakyat kita dan menghijaukan alam sekitar. Tetapi, dan ini poin penting, situasi ini tidak ditakdir oleh Tuhan. Ia diwujudkan oleh pendekatan dasar ekonomi neoliberal yang telah diamalkan untuk selama 30 tahun yang lalu dan telah menyekat kapasiti Kerajaan untuk mengendalikan pengagihan pendapatan negara kita secara yang rasional dan adil. 

Tujuan memorandum ini adalah untuk berkongsi beberapa syor berkaitan pendekatan yang harus diambil untuk menambahkan hasil Kerajaan Persekutuan secara yang mampan. Sebelum kita menghuraikan syor-syor tersebut, adalah perlu untuk kita mengambil kira analisis yang menyeluruh supaya dapat memantapkan strategi untuk mengatasi masalah kewangan yang negara kita sedang menghadapi sekarang. Menurut analisis kami,

1. Malaysia bukan negara miskin

KDNK negara kita dalam nilai sebenar (in real terms, iaitu selepas mengambil kira kesan inflasi) telah berlipat ganda sebanyak 24 kali ganda dalam 50 tahun antara 1970 dan 2019(nota 2). Tetapi gaji median sebenar pekerja kilang pada tahun 2019 adalah hanya 1.4 kali ganda berbanding gaji median pekerja kilang pada tahun 1970, walaupun pendapatan per kapita Malaysia telah berlipat ganda sebanyak 7.6 kali ganda(nota 3) dalam jangka masa 50 tahun tersebut.

2. Persaingan di ASEAN untuk menarik FDI merugikan semua negara ASEAN

Masalah kemiskinan dalam kalangan pekerja biasa dalam negara yang melipatgandakan KDNKnya berpunca daripada strategi perindustrian yang digelar “export-led industrialisation” (perindustrian yang diterajui eksport) di mana negara kita menawarkan diri sebagai hab pengeluaran kos rendah supaya dapat menarik syarikat-syarikat asing untuk membuka kilang di negara kita. Strategi itu memang berkesan pada tahun 1970-an kerana pada masa itu, Perang Vietnam masih berterusan, negara Thailand merupakan barisan hadapan “domino” yang dikhuatiri akan “jatuh” dan Indonesia masih berpulih daripada krisi politik dalaman. Para pelabur asing tidak ada banyak pilihan lain. Jadi, negara kita dapat mengenakan syarat-syarat tertentu ke atas pelabur-pelabur asing.

Tetapi situasi sudah banyak berubah sekarang. Para pelabur ada banyak pilihan yang lain – Thailand, Vietnam, Indonesia, China dan beberapa buah negara lain. Oleh kerana negara-negara jiran kita di ASEAN juga mengamalkan strategi “export-led growth” dan berazam untuk menarik pelabur asing, negara-negara di ASEAN terlibat dalam satu persaingan sengit untuk FDI (pelaburan langsung asing) yang telah mencetuskan satu race-to-the-bottom (perlumbaan ke paras terendah). Itulah sebabnya Kerajaan kita enggan meningkatkan gaji minimum di negara kita walaupun adalah jelasnya bahawa RM1,500 sebulan tidak mencukupi untuk menampung keperluan asas sebuah keluarga. Persaingan untuk FDI juga telah menyebabkan perlumbaan ke paras terendah dalam hal cukai korporat. Thailand telah mengurangkan kadar cukai korporatnya ke 19% terhadap keuntungan syarikat, dan Vietnam ke 20%. Malaysia pun sudah menurunkan kadar cukai korporat dari 40% terhadap keuntungan syarikat pada tahun 1980-an kepada 24% sekarang. Inilah antara sebab utamanya nisbah hasil kerajaan telah mengecut daripada 26% KDNK pada tahun 1980-an kepada hanya 15% KDNK tahun lalu(nota 4).  

3. Pemerahan dana daripada golongan B40 dan M40 langsung tidak adil

Carta di bawah merumuskan situasi pengagihan pendapatan negara yang wujud di Malaysia sekarang:

  Kategori  Bilangan  % KDNK yang diperolehi
Pekerja Swasta Formal Kerajaan Bukan Formal  6.5 juta 1.6 juta 2.5 juta      32.4%(nota 5)
  Pesara  1 juta  1.8%
Pesawah, pekebun, nelayan, kerja kampung, peneroka FELDA  2 juta  2.8%(nota 6)  
  Perniagaan mikro dan kecil  1.8 juta  3.8 %(nota 6)
  Pekerja gig  1.2 juta  2.5%(nota 6)
  Perniagaan yang dulu layak membayar GST  340,000 syarikat dengan 1 juta pemilik    14.2%(nota 6)
  Bilionair dan kaum korporat  Segelintir  44.3%(nota 6)

Carta di atas menunjukkan bahawa 44% daripada pendapatan negara diperolehi oleh kaum kaya raya yang berjumlah kurang daripada 0.1% penduduk negara.

Pada masa yang sama, 90% keluarga Malaysia diagihkan dengan 44% pendapatan negara sahaja. Dan 44% ini pun tidak diagihkan secara sama rata. Umpamanya, daripada carta di atas, kita boleh menghitung pendapatan purata bagi pekerja di Malaysia (barisan pertama) adalah sebanyak RM4,324 sebulan(nota 7). Tetapi gaji median untuk pekerja dalam sektor formal adalah hanya RM2,600 sebulan(nota 7). Ini bererti 50% daripada pekerja dalam sektor formal swasta menerima gaji bulanan yang lebih rendah daripada RM2,600. Hanya satu golongan minoriti yang mendapat gaji melebihi RM20,000 sebulan (pengurus, akauntan dan para profesional).

Kita juga sedar bahawa pendapatan keluarga-keluarga B40 tidak mencukupi untuk menampung semua keperluan asas mereka. Itulah sebabnya kadar kanak-kanak berumur 5 tahun ke bawah yang terbantut (stunted) adalah 20% pada masa ini. Ini bermakna bahawa 20% daripada kanak-kanakMalaysia berada dalam keluarga yang tidak dapat membekalkan mereka makanan yang mencukupi! Kekurangan makanan bukan sahaja membantutkan pertumbuhan fizikal tetapi juga membantutkan perkembangan otak kanak-kanakini, dan ini menghalang perkembangan potensi sepenuh mereka.

Inilah sebabnya PSM menolak apa juga cukai baharu yang akan membebankan rakyat jelata, umpamanya GST ataupun bayaran wajib insurans kesihatan (Compulsory Social Health Insurance). Kami percaya bahawa cukai terhadap lapisan 10% terkaya di negara kita harus dipertingkatkan, terutamanya cukai terhadap golongan 1% terkaya. Antara perubahan sistem cukai yang boleh dilaksanakan adalah:

  • Peningkatan cukai terhadap keuntungan korporat kepada kadar 30% secara beransuran;
  • Mengenakan cukai terhadap kekayaan untuk individu yang memiliki aset melebihi RM500 juta (Wealth Tax);
  • Mengenakan cukai terhadap pendapatan daripada pelaburan (Capital Gains Tax);
  • Melaksanakan cukai terhadap pelepasan karbon yang melebihi satu had maksimum;
  • Cukai harta pusaka (inheritance tax);
  • Cukai terhadap transaksi kewangan (Tobin Tax).

Tetapi peningkatan cukai terhadap lapisan-lapisan terkaya tidak dapat dilaksanakan secara berkesan pada masa ini kerana peraturan kewangan antarabangsa yang diwujudkan oleh Perjanjian-perjanjian Perdagangan Antarabangsa (PPA) yang sudah ditandatangani oleh Malaysia. PPA ini telah membuka ruang kepada golongan terkaya untuk mengelak daripada membayar cukai tinggi. Umpamanya, kaum korporat besar boleh mewujudkan ibu pejabat mereka di kawasan di mana cukai korporat adalah rendah dan memindahkan bayaran royalti, IPR, lesen, kos perakaunan dan sebagainya kepada ibu pejabat itu supaya mengurangkan keuntungan yang perlu dilaporkan di kawasan percukaian yang mempunyai kadar cukai yang tinggi. Selain itu, individu dan Syarikat korporat terkaya boleh memilih untuk memperkembangkan perniagaan mereka di negara di mana kadar cukai adalah lebih rendah. Kilang baharu boleh ditempatkan di Vietnam atau Thailand dan bukannya di Malaysia jika Malaysia meningkatkan kadar cukai korporat secara bersendirian. 

Jadi, jika kita mahu memastikan lapisan 5% terkaya di negara kita membayar cukai yang berpatutan, adalah perlu kita merangka satu strategi jangka masa 10 tahun untuk membolehkan peningkatan cukai terhadap individu dan korporat terkaya.

Strategi jangka masa 10 tahun

I. Perbincangan dengan negera-negara ASEAN

Memandangkan fakta-faktayang dihuraikan di atas, adalah amat penting untuk Kerajaan Malaysia memulakan perbincangan dengan negara-negarajiran seperti Thailand, Vietnam, Indonesia dan Filipina(nota 9) untuk mengatur strategi yang menghentikan perlumbaan ke bawah dalam perkara cukai korporat. Kita boleh menerangkan kepada mereka bahawa perlumbaan ini membawa banyak impak negatif kepada kita semua – kerajaan-kerajaan negara yang terbabit tidak mendapat hasil yang mencukupi, dan oleh itu program-program keselamatan sosial dan pemulihan alam sekitar terpaksa ditangguhkan. Kita terpaksa meminjam wang, dan dikenakan bayaran bunga yang menelan sebahagian besar daripada hasil kita. Permintaan kasar dalam negara pun tidak bertambah secara yang sihat kerana perbelanjaan kerajaan, yang rupakan salah satu penentunya, semakin mengecil nisbahnya.   

Selepas mencapai matlamat menghentikan perlumbaan ke paras terbawah dalam kadar cukai korporat, kita boleh bermula bergerak ke arah meningkatkan kadar cukai korporat ke paras 30% daripada keuntungan dalam jangka masa 5 tahun dalam kalangan negara-negara ASEAN. Untuk mencapai matlamat ini, Vietnam perlu meningkatkan cukai korporatnaya sebanyak 2% setahun, Thailand sebanyak 2.2% setiap tahun dan Malaysia 1.2% setiap tahun supaya kita semua berada di tahap 30% selepas 5 tahun. Persetujuan Perdagangan ASEAN (FTA ASEAN) harus diubah suai untuk mencerminkan persetujuan baharu terhadap cukai korporat dan satu sistem penalti harus diwujudkan di mana tarif beberapa peratus dikenakan terhadap eksport negara-negara ASEAN yang tidak mematuhi janjinya dalam persetujuan meningkatkan cukai korporat secara berperingkat.

Pendekatan ini harus dibawa dan dibincang dengan negara-negara sedang membangun di Afrika, Amerika Selatan dan Asia, kerana mereka juga sedang mengalami masalah kewangan dan kekurangan dana kerajaan yang lebih teruk lagi berbanding Malaysia.

II. Perbincangan dengan kaum korporat dan golongan bilionair

Kerajaan-kerajaan negara ASEAN harus mengadakan dialog yang berterusan dengan pemodal-pemodalserantau untuk meyakinkan mereka bahawa Kerajaan-kerajaanASEAN bukan anti-korporat dan menjelaskan bahawa usaha meningkatkan cukai korporat adalah baik untuk kaum korporat juga, kerana ia membawa beberapa faedah termasuk:

  • Menambahkan permintaan kasar di dalam semua negara yang melaksanakannya. Penambahan dalam permintaan kasar di rantau ASEAN akan menjana peluang pelaburan baharu untuk golongan korporat.
  • Penjanaan kerja dan peningkatan dalam program-program bantuan sosial akan menjadikan masyarakat kita lebih harmoni, aman dan selamat. Golongan kaya pun boleh keluar rumah tanpa kekhuatiran akan disamun atau dirompak.
  • Kebergantungan pemodal di ASEAN terhadap pasaran Amerika Syarikat dan Eropah boleh diimbangi dan dikurangkan apabila kita dapat meningkatkan kuasa membeli dalam kalangan 650 juta orang penduduk ASEAN.

Langkah-langkah yang digariskan dalam dua perenggan di atas, memang tidak akan berhasil dalam masa terdekat. Ia akan mengambil tempoh masa beberapa tahun untuk dirundingkan dan dimeteraikan sebagai sebuah perjanjian. Itulah sebabnya usaha ini harus dimula secepat mungkin kerana peningkatan kadar cukai korporat, cukai terhadap keuntungan modal (Capital Gains Tax), cukai terhadap kekayaan (Wealth Tax), cukai terhadap pelepasan karbon (Carbon Tax) dan beberapa lagi cukai tidak dapat dilaksanakan secara yang berkesan oleh mana-mana negara ASEAN secara bersendirian. Cukai-cukai ini perlu dikenakan serentak di beberapa buah negara ASEAN supaya risiko pemindahan pelaburan ke negara jiran dapat dikawal.      

Sambil menunggu reformasi dalam sistem percukaian terhadap kaum korporat, kerajaan Malaysia harus melaksanakan strategi-strategi berikut untuk menambahkan dana supaya dapat memperbaiki sistem jaringan sosial kita.

Strategi-strategi yang boleh mula dilaksanakan sekarang  

A. Rasionalisasi subsidi-subsidi

Rasionalisasi subsidi untuk minyak petrol, kuasa eletrik dan minyak masak berpotensi menjimatkan RM30 bilion – RM40 bilion setahun untuk Kerajaan Persekutuan. Tetapi pengurangan subsidi-subsidi ini hanya harus dilakukan selepas kaedahnya dapat dibincangkan dengan rakyat supaya ia tidak membebankan golongan B40 dan M40. Pada amnya, pendekatan untuk mengurangkan subsidi adalah untuk membiarkan harga barangan itu terapung mengikut kuasa pasaran sampai ke satu tahap maksimum baharu sambil memindahkan sejumlah wang kepada akaun-akaunbank rakyat B80 untuk menampung kenaikan dalam kos hidup yang disebabkan oleh dasar rasionalisasi tersebut.

Jika kita mengambil isu minyak petrol sebagai contoh, harga RON95 boleh dibenarkan terapung dengan tahap maksimum RM3.10 per liter. Pada masa yang sama, sejumlah wang dipindahkan kepada setiap pemilik kereta dan motosikal daripada golongan B40 dan M40 setiap bulan dengan syarat:

a/ pemindahan wang adalah hanya untuk sebuah kereta bagi seorang pemilik, dan

b/ amaun yang dipindahkan adalah RM80 sebulan untuk sebuah kereta dan RM30 sebulan untuk sebuah motorsikal. (Jumlah RM80 adalah cukup menampung kenaikan kos 80 liter petrol.)

Jumlah kereta yang berdaftar di bawah nama individu B40 dan M40 adalah dianggarkan 10 juta10, dan bilangan motosikal juga dianggarkan berjumlah 10 juta(nota 10). Oleh itu, jumlah wang yang kena dipindahkan kepada akaun rakyat adalah lebih kurang RM10.4 bilion setahun. Ini adalah kurang daripada RM30 bilion(nota 10) setahun yang digunakan sekarang untuk bayaran subsidi RON 95.

Cadangan ini harus diumumkan kepada orang awam dengan penjelasan bagaimana penjimatan perbelanjaan dalam hal subsidi petrol akan digunakan untuk meningkatkan bantuan jaringan perlindungan sosial bagi mereka. Isu-isu yang disenaraikan di bawah harus dibincang dalam kalangan rakyat melalui mesyuarat “town hall”   

  • Adakah RM80 ini mencukupi untuk setiap orang pemilik kereta?
  • Bagaimana mengendalikan pasangan suami-isteri di mana mereka menggunakan dua buah kereta tetapi kedua-duanya didaftarkan di bawah nama suami?
  • Seorang menggunakan kereta yang didaftarkan di bawah nama seorang ibu bapa.
  • Seorang yang memiliki sebuah motosikal dan sebuah kereta.
  • Rakyat yang duduk di kawasan pendalaman. Perlukah mereka dipindah sejumlah wang yang lebih besar?
  • Isu-isu yang serupa.

Memandangkan isu kenaikan harga petrol pernah mencetuskan kemarahan rakyat, tunjuk perasaan dan telah pun menggulingkan kerajaan di negara yang lain, kerajaan kita harus mengendalikan perkara ini secara berhemah dan bijak. Sudah tentu pihak pembangkang akan menggunakan isu ini untuk mengkritik kerajaan secara habis-habisan. Antara pendekatan yang harus diambil oleh kerajaan adalah:

  1. Memisahkan rasionalisasi diesel(nota 11) daripada rasionalisasi RON95.
  2. Mencantum pengurangan subsidi petrol RON95 dengan satu program yang jelas memanfaatkan rakyat, seperti Pencen Warga Emas atau peningkatan perkhidmatan bas di seluruh negara.
  3. Memberi peluang kepada rakyat di semua kawasan untuk memberi maklum balas mereka melalui mesyuarat “Town Hall”. Idea daripada rakyat harus dikumpul dan digunakan untuk memperhalusi (fine-tune) cadangan pengurangan subsidi petrol.
  4. Mengadakan satu referendum kebangsaan dan hanya melaksanakan skim baharu ini jika diluluskan dalam referendum tersebut.   

B. Mengurangkan ketirisan dalam perbelanjaan kerajaan

Adalah dijangkakan bahawa antara RM20 bilion hingga RM40 bilion hilang dalam ketirisan setiap tahun oleh kerana rasuah, sebut harga yang terlalu tinggi oleh golongan kontraktor kroni, pembelian barang-barangan dengan mutu yang rendah, ketidakcekapan dalam pihak pembekal dan kontraktor, dan sebagainya. Perkara ini sering dilaporkan oleh pihak Ketua Audit Negara (Auditor General) tetapi ia masih berterusan.

Untuk mengurangkan ketirisan ini, paras akauntabiliti dalam kalangan pegawai kerajaan yang menguruskan dana kerajaan harus dipertingkatkan. Untuk ini, langkah-langkah berikut harus dilaksanakan:

  1. Jabatan Audit Negara (JAN) harus diperkasakan dan diperuntukkan lebih banyak kakitangan dan dana supaya JAN dapat melakukan lebih banyak penyiasatan terhadap jabatan-jabatan kerajaan di peringkat Persekutuan dan juga di peringkat Negeri.
  2. Semua kementerian dan jabatan kerajaan harus diwajibkan untuk mengkaji sebarang kelemahan dan ketirisan yang dikenal pasti oleh pihak JAN dan mengatur langkah-langkah untuk mengatasinya. Tindakan yang sedang diambil untuk membaik pulih situasi mesti dilaporkan kepada beberapa pihak termasuk pejabat JAN, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen Malaysia dan Ketua Setiausaha Kerajaan (KSU).
  3. Pegawai-pegawaiyang telah melakukan kesalahan, kecuaian ataupun menerima rasuah harus diambil tindakan bergantung pada tahap kesalahannya. Pegawai kanan yang mengetuai unit atau jabatan di mana kesalahan/kecuaian berlaku harus dipotong bonus dan/atau kenaikan gaji untuk tahun berkenaan. Peraturan-peraturan kerajaan harus diubah suai untuk mengenakan penalty-penalti ini.
  4. Sebuah unit khas harus ditubuhkan di bawah KSU kerajaan untuk memantau kerja-kerja pemulihan yang dilakukan di semua kementerian untuk memastikan isu rasuah dan ketirisan diambil berat oleh semua ketua unit dan bahagian.
  5. Undang-undang berkenaan rasuah harus diubah suai supaya sesiapa pegawai kerajaan ataupun ahli politik boleh didakwa jika dia tidak dapat menjelaskan bagaimana dia ataupun keluarganya telah mengumpulkan harta sebegitu besar.   

C. Pengewangan hutang (debt monetization)

Pengewangan hutang ialah kaedah di mana kerajaan meminjam wang daripada Bank Negara sendiri dengan kadar bunga yang amat rendah. Biasanya sesebuah kerajaan meminjam wang dengan menerbitkan bon-bon kerajaan. Kadar kupon untuk bon-bon Kerajaan Malaysia adalah lebih kurang 4.3% setahun dan pembayaran bunga ini menelan RM43 bilion setiap tahun pada takat ini. Jika kerajaan menjual bon kepada Bank Negara sendiri dengan kadar bunga yang rendah, kita boleh memperolehi dana yang kita perlukan untuk beberapa program yang memanfaatkan rakyat tetapi tanpa meningkatkan lagi jumlah pembayaran bunga.  

Namun, kaedah ini mempunyai masalah-masalahtertentu. Salah satunya adalah kemungkinan ia akan menyebabkan inflasi melalui peningkatan jumlah import barangan. Sebagai contoh, jika peruntukan Kementerian Kesihatan dinaikkan RM10 bilion, sebahagian daripadanya akan digunakan untuk membeli alat-alatseperti pengimbas MRI daripada negara lain. Sebahagian lain akan digunakan untuk mengambil kakitangan baharu. Lebih kurang 30% daripada perbelanjaan orang awam adalah untuk membeli barangan import – beberapa jenis makanan, pakaian, telefon bimbit dan sebagainya. Daripada jangkaan PSM, nisbah yang digunakan untuk membeli barangan import mungkin sebesar 40% daripada jumlah tambahan belanjawan yang dibiayai melalui pengewangan hutang. Peningkatan jumlah mata wang Malaysia dalam pasaran mata wang antarabangsa akan mendorong kepada kemerosotan nilai ringgit berbanding mata wang lain(nota 12) kerana nilai ringgit adalah ditentukan oleh imbangan antara pembekalan/permintaan ringgit dalam pasaran wang. Dan apabila nilai ringgit susut, harga barangan import akan naik, dan ini akan menyebabkan inflasi.

Satu lagi kesan negatif kaedah ini adalah kemungkinan agensi penarafan kredit antarabangsa akan menurunkan penarafan kredit negara kita. Ini satu perkara yang serius kerana ia akan meningkatkan kos peminjaman dana daripada institusi kewangan antarabangsa. Bukan sahaja untuk kerajaan tetapi juga untuk pihak swasta yang meminjam dana sebanyak RM80 bilion setahun pada puratanya.

Syor PSM adalah, menggunakan kaedah pengewangan hutang secara berhemah dengan meminjam sejumlah yang bersamaan dengan 1% KDNK negara daripada Bank Negara untuk tahun yang akan datang. 1% KDNK adalah RM20 bilion dan dana ini harus digunakan untuk memperkasakan jaringan sosial (mungkin menambahkan peruntukan kepada kesihatan awam) dan untuk memulihkan hutan-hutan kita. Daripada jangkaan PSM, penambahan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM20 bilion hanya akan menyebabkan peningkatan jumlah import sebanyak RM8 bilion. Ini satu jumlah yang kecil berbanding nilai import Malaysia sebanyak RM1,000 bilion pada tahun 2022. Risiko menjejaskan nilai ringgit adalah amat kecil.

Selain daripada strategi-strategi dan kaedah-kaedah yang dihuraikan di atas, Kerajaan Malaysia harus meneruskan dengan cadangan-cadangan:

  • Mengenakan cukai yang lebih tinggi terhadap barangan mewah. Mungkin sistem “Certificate of Entitlement” (COE) untuk membeli keretadengan engin yang lebih besar daripada 2 liter boleh dikenakan. (COE sedang digunakan di Singapura.)  
  • Cukai “keuntungan modal” terhadap pelaburan dalam syarikat yang tidak disenaraikan dalam Bursa Malaysia (unlisted companies).

Oleh kerana kedua kaedah ini telah pun diumumkan oleh Perdana Menteri sendiri, kami tidak akan mengulangi mereka di sini.

Adalah harapan kami bahawa syor-syor kami akan diambil berat dan dipertimbangkan oleh Kementerian Kewangan dan Unit Perancangan Ekonomi Negara. Kami sedia hadir untuk berbincang dengan mana-mana bahagian Kementerian Kewangan atau Unit Perancangan Ekonomi Negara (EPU) untuk menjelaskan dan membincang syor-syor kami.

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

==========

Nota

1. Angka-angka ini dipetik daripada laporan-laporan Kementerian Kewangan.

2. Angka ini adalah berdasarkan pada fakta-fakta berikut

Inflasi kumulatif 1970 – 2019 = 5.3 kali  (Sumber: www.worlddata.info/asia/malaysia/inflation-rates.php)

KDNK dalam nilai ringgit semasa

   1970          RM11.829 bilion   (Sumber: Jabatan Statistik Negara)

   2019          RM1513.2 bilion                      =  RM285.5 bilion dalam ringgit 1970

                                                                                                  (1513.2 dibahagi 5.3)

dibahagi 11.829 = 24.14

3. Bilangan penduduk Malaysia

    1970                     10.31 juta     (Sumber: www.macrotrends.net>MYS)

    2019                     32.8 juta        (Sumber: Jabatan Statistik Negara)

32.8 dibahagi 10.31  =  3.18

dibahagi 3.18 = 7.59

4. Pendapatan Kerajaan Persekutuan pada tahun 2023 dianggar RM291.5 bilion

KDNK Malaysia 2023 dijangka RM1,930 bilion   (Sumber: Pembentangan Belanjawan di Parlimen 2023)

5. Angka-angka berkaitan Ekonomi Malaysia termasuk KDNK = RM1,695.2 bilion pada tahun 2022.  Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri

6. Angka-angka dalam carta di bawah adalah anggaran Biro Kajian Dasar PSM berdasaran rencana-rencana dalam surat khabar dan media dalam talian.

  Golongan  Bilangan (Pendapatan purata sebulan)  Pengiraan (Anggaran)  Pengagihan KDNK
Pesawah, pekebun, nelayan, kerja kampung, peneroka FELDA  2 juta (RM2,000)  2 juta x RM 2000 sebulan x 12 bulan = RM 48 bilion  2.8%
  Perniagaan mikro dan kecil  1.8 juta (RM3,000)  1.8 juta x RM 3000 x 12 = RM 64.8 bil  3.8 %
  Pekerja gig  1.2 juta (RM3,000)  1.2 juta x RM 3000 x 12 = RM 43.2 bil  2.5%
  Perniagaan yang dulu layak membayar GST  340,000 syarikat dengan 1 juta pemilik (RM20,000)  1 juta x RM 20,000 x 12 = RM 240 bil  14.2%
  Bilionair dan kaum koporat  Se gelintir   44.3%

100 – 32.4 – 2.8 – 3.8 – 2.5 – 14.2 = 44.3%

Angka-angka dalam carta di atas adalah sebelum cukai kerajaan diambil kira. Nisbah KDNK yang diperolehi oleh kerajaan melalui cukai langsung, tidak langsung, dividen dsbnya adalah lebih kurang 15%. Kebanyakan daripada jumlah ini berpunca daripada barisan teratas dan dua barisan terbawah. 

7. 32.4% daripada RM1,695 bilion adalah RM550 bilion.

Apabila dibahagi oleh 10.6 juta orang pekerja, pendapatan bulanan adalah

    RM550,000 juta dibahagi 10.6 juta dibahagi 12 bulan = RM4,324 per pekerja sebulan.

8. Jabatan Perangkaan Negara

9. Pesaing bagi Malaysia untuk FDI ialah negara Thailand, Vietnam, Indonesia dan Filipina. Jadi, persetujuan antara 5 buah negara ini boleh menghentikan perlumbaan ke paras terendah dalam kadar cukai korporat.   

10. Kesemua angka ini adalah anggaran Biro Kajian Dasar PSM.

11. Peningkatan dalam harga diesel akan mencetus inflasi kerana kos pengangkutan untuk barang-barangan akan naik dan rakyat biasa akan naik marah. Apa yang boleh dilaksanakan adalah untuk memantau penggunaan diesel dengan mengenakan syarat menggunakan kad untuk membeli diesel pada harga yang disubsidikan supaya amaun yang dibeli melalui setiap kad dapat dipantau. Pihak-pihak yang membeli banyak diesel untuk dijual di negara lain boleh dikenal pasti daripada amaun terlampau yang dibeli oleh mereka.

12. Masalah ini akan berkurangan jika lebih banyak negara menggunakan kaedah ini. Ini kerana peningkatan import sesebuah negara merupakan peningkatan eksport negara-negara lain.

2 thoughts on “Rancangan jangka panjang untuk tingkatkan hasil kerajaan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *