(Dari kiri) Dr. Nasir Hashim (mantan Pengerusi Nasional PSM merangkap mantan ADUN Kota Damansara), Dr. Jeyakumar Devaraj (Pengerusi Nasional PSM), Sivarajan Arumugam (Setiausaha Agung PSM dan calon PSM untuk Kota Damansara), S. Arutchelvan (Timbalan Pengerusi Nasional PSM) dan Amirul (pengacara majlis pengumuman calon Kota Damansara)

KOTA DAMANSARA, SELANGOR – 16 JULAI 2023: Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengumumkan calon ketiganya yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 dalam satu majlis pengumuman calon yang diadakan pada hari ini. Sivarajan Arumugam, Setiausaha Agung PSM yang merupakan seorang aktivis sosial yang berpengalaman luas, akan bertanding sebagai calon PSM di kawasan DUN N39 Kota Damansara di Selangor.

Sivarajan Arumugam ialah seorang aktivis politik yang tidak asing lagi di kawasan Subang dan Kota Damansara. Sivarajan terlibat dalam aktivisme memperjuangkan hak rakyat sejak zaman universitinya. Sivarajan merupakan salah seorang pengasas PSM dan perintis kepada Cawangan Subang yang ditubuhkan sejak tahun 1998. Cawangan Subang ialah cawangan PSM yang pertama di negeri Selangor. Sivarajan pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam dari tahun 2008 hingga 2013. Sivarajan juga pernah menjadi setiausaha kepada ADUN Kota Damansara pada tahun 2008-2013 (iaitu Dr. Nasir Hashim). Sivarajan telah memainkan peranan penting dalam banyak usaha membela pekerja dan rakyat bawahan.

“Kami berhasrat menjadi suara ketiga dalam dewan perundangan,” kata Sivarajan dalam Majlis Pengumuman Calon PSM untuk Kota Damansara. “Mungkin kami masih tidak boleh membentuk kerajaan, tetapi kita boleh membawa suara marhaen ke dalam dewan perundangan. Kita perlukan suara yang rasional dan progresif dalam dewan perundangan.”

Dr. Nasir Hashim (kiri) dan S. Arutchelvan (kanan)

“Rekod PSM memegang jawatan wakil rakyat memang bersih. Kami sentiasa pastikan wang daripada peruntukan digunakan dengan sebaiknya untuk membantu rakyat,” kata Dr. Nasir Hashim, mantan Pengerusi Nasional PSM yang juga merupakan mantan ADUN Kota Damansara. “Walaupun kami kemudiannya kalah kerana politik kotor yang putar belit dan sebagainya, kami masih ada cara lain untuk berkhidmat. Walaupun tiada wakil rakyat, PSM masih bergerak. Tiada apa-apa yang dapat menghalangi perjuangan kami. Ini kerana kami tidak membenarkan sesiapa untuk menindas sesiapa pun. Kami menolong rakyat atas dasar kasih sayang, bukan untuk mendapat nama.”

“Naratif politik yang digunakan oleh kedua-dua gabungan parti politik utama sekarang adalah lebih kurang sama, iaitu mewujudkan ketakutan dan permusuhan terhadap pihak yang satu lagi. PSM sedang cuba membawa politik baharu yang berbeza. Kami membawa politik progresif, bukannya politik toksik,” kata S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Nasional PSM merangkap Pengarah Pilihan Raya PSM. “Kami berharap pengundi boleh memberi peluang kepada politik baharu yang tidak mempermainkan isu perkauman. PSM sentiasa memperjuangkan isu pekerja dan isu rakyat marhaen. Pilihlah suara marhaen.”

“PSM berhasrat untuk menghantar wakil rakyat yang progresif ke dalam Parlimen dan Dewan Undangan Negeri,” kata Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Nasional PSM yang juga merupakan mantan Ahli Parlimen kawasan Sungai Siput. “PSM memang masih boleh memperjuangkan isu rakyat marhaen melalui pelbagai aksi di luar dewan perundangan, tetapi jika adanya wakil rakyat dalam dewan perundangan, kita akan mempunyai satu lagi senjata untuk memajukan suara rakyat dengan membawa usul dan membahaskan isu rakyat biasa dalam dewan perundangan.”

“Rakyat Malaysia telah diracuni sistem politik yang toksik sejak tahun 1970-an. Sebelum itu, negara kita adanya Barisan Sosialis yang menggunakan isu-isu sosio-ekonomi untuk melawan Parti Perikatan yang menggunakan perkauman. Tetapi selepas Barisan Sosialis ditindas teruk dengan undang-undang zalim, politik negara kita sudah semakin didominasi perkauman, di mana parti pemerintah itu berasaskan perkauman sementara parti pembangkang pula juga mempermainkan isu perkauman dan agama,” ulas Dr. Jeyakumar. “Sepanjang tempoh 50 tahun yang lalu, kita berada dalam satu periuk peleburan yang hanya fokus pada perkauman. Oleh itu, apabila PSM cuba memperkenalkan pendekatan yang berbeza sedikit, ia tidak mendapat sambutan yang hebat. Usaha membawa politik baharu ini memang mengambil masa dan kita harus terus bekerja kuat. Kita harus terus mendidik semula rakyat kita yang telah diracuni atau diperbodohkan oleh politik toksik ini.”

V. Selvam, aktivis veteran PSM, turut memperkenalkan anggota Jentera Pilihan Raya PSM Kota Damansara dalam majlis pengumuman calon pada hari ini. “Sama ada dapat dipilih jadi ADUN atau tidak dapat dipilih ADUN, kami di PSM tidak pernah lari,” kata Selvam. “Penglibatan PSM di kawasan ini telah bermula sejak tahun 1990-an. PSM memperjuangkan hak rakyat sebelum dan semasa kami menyandang kerusi ADUN, selepas kalah pun kami masih meneruskan usaha ini, bukan sahaja di Kota Damansara malah di seluruh negara.”

PRN Selangor akan diadakan serentak dengan 5 buah negeri lain (Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan), dengan hari penamaan calon telah ditetapkan pada 29 Julai 2023, hari mengundi awal pada 8 Ogos 2023, dan hari mengundi jatuh pada 12 Ogos 2023.

Ini ialah kali kedua Sivarajan bertanding sebagai calon PSM di kawasan DUN Kota Damansara. Sivarajan memperoleh 435 undi (1.01%) dalam persaingan 4-penjuru pada tahun 2018 semasa PRU-14.

==========

Baca kenyataan media PSM mengenai pengumuman calon PSM untuk kawasan DUN Kota Damansara di sini.

One thought on “Setiausaha Agung PSM Sivarajan calon suara marhaen untuk Kota Damansara

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *