PUTRAJAYA – 19 JUN 2023: 4 orang pengawal keselamatan bersama-sama dengan Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengadakan protes di ibu pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada hari ini untuk menggesa supaya KKM bertanggungjawab terhadap kesalahan yang dilakukan oleh kontraktor yang dilantiknya dan jangan memangsakan pekerja yang menuntut hak asasi mereka. 4 orang pekerja ini bertegas bahawa mereka akan terus berprotes di KKM sehingga masalah mereka diselesaikan.
4 orang pengawal keselamatan tersebut bekerja di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak, di bawah syarikat United Security Services Sdn Bhd. United Security Services mendapat kontrak untuk membekalkan perkhidmatan kawalan keselamatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun daripada KKM. Pada 29 Ogos 2022, 4 orang pengawal keselamatan tersebut membuat aduan di Pejabat Tenaga Kerja untuk menuntut gaji yang tidak dibayar mengikut kadar gaji minimum sejak bulan Mei 2022, dan perbezaan dalam bayaran kerja lebih masa (OT) yang disalah kira oleh majikan sejak kontrak bermula pada bulan September 2021. Jumlah tuntutan mereka ialah RM21,028.74. Pada 30 Ogos 2022, pihak majikan tidak membenarkan 4 orang pekerja ini daripada masuk kerja. Pihak majikan mendakwa mereka telah memberi kenyataan palsu kepada Pejabat Tenaga Kerja dan memburukkan nama syarikat dalam media. 4 orang pekerja ini digantung kerja mulai 30 Ogos 2022.
Satu siasatan dalam (DI) yang tidak dijalankan secara betul telah diadakan pada 9 September 2022 oleh pihak majikan. Pada 12 September 2022, 4 orang pekerja ini dibuang kerja dengan diberikan notis penamatan perkhidmatan mula berkuatkuasa 13 September 2022. Pekerja-pekerja ini memfailkan kes pemulihan kerja di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan di Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) Ipoh. Pada 20 Oktober 2022, pihak majikan melalui peguamnya menghantar notis yang menuduh 4 orang pekerja ini dan wartawan Utusan Malaysia yang melaporkan isu ini melakukan fitnah terhadapnya.
Pada 11 November 2022, selepas sesi rundingan damai di JPP Ipoh, satu memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani, di mana pihak majikan bersetuju untuk memulihkan kerja 4 orang pekerja tersebut bermula pada 15 November 2022. Namun, pihak majikan menghantar surat pada 14 November 2022 yang mengarahkan pekerja-pekerja tersebut melaporkan diri di pos kawalan keselamatan di Putrajaya yang terletak jauh dari tempat kerja asal mereka. Tindakan majikan ini bukan sahaja tidak mematuhi MoU yang ditandatanganinya, malah berniat jahat untuk memaksa pekerja-pekerja supaya berhenti kerja secara sendiri. JPP Ipoh telah menasihatkan pekerja-pekerja ini supaya membuka fail dan menyambung kes di Mahkamah Perusahaan.
Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) telah memaklumkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai masalah ini sejak bulan Disember 2022, tetapi masih tidak mendapat maklum balas yang positif daripada KKM sehingga kini.
4 orang pengawal keselamatan ini telah menang kes di Jabatan Tenaga Kerja pada 12 Jun 2023.
Perbicaraan kes mereka di Mahkamah Perusahaan pula ditetapkan pada 27 dan 28 November 2023. Namun, kontrak United Security Services di Hospital Raja Permaisuri Bainun akan tamat pada bulan September 2023. Oleh itu, adalah mustahil untuk pekerja-pekerja ini dipulihkan kerja sekiranya mereka menang kes di Mahkamah Perusahaan. Wang pampasan yang dimenangi pun mungkin tidak dapat ditunaikan kerana pihak majikan mungkin menghilangkan diri selepas itu.
4 orang pengawal keselamatan yang dibuang kerja hanya kerana mereka menuntut bayaran gaji yang sepatutnya ini, semuanya merupakan pencari nafkah tunggal bagi keluarga mereka yang berada dalam golongan berpendapatan rendah B40. Dua orang daripada mereka ialah ibu tunggal. Mereka menderita selepas kehilangan kerja dan terpaksa berhutang untuk menampung kos hidup keluarga mereka. Tindakan pihak majikan yang melanggar MoU yang ditandatanganinya itu melanjutkan lagi penderitaaan mereka.
Keputusan kes mereka di Mahkamah Buruh pada 12 Jun 2023 menunjukkan bahawa aduan mereka di Pejabat Tenaga Kerja mengenai kegagalan majikan membayar gaji yang sepatutnya itu adalah benar. Pekerja-pekerja ini tidak bersalah, tetapi telah dimangsakan oleh majikan yang tidak bertanggungjawab.
“Hanya KKM boleh bertindak untuk memulihkan kerja 4 orang pekerja ini,” kata M. Sivaranjani, penyelaras JPKK yang hadir bersolidariti dengan 4 orang pekerja yang berprotes di ibu pejabat KKM. “Syarikat kontraktor United Security Services Sdn Bhd yang dilantik oleh KKM itu telah menipu dan membuli pekerja, bersikap angkuh, tidak mematuhi undang-undang kerja, dan memungkiri MoU yang dipersetujui dalam rundingan damai di JPP. Tidakkah ini melanggar terma-terma kontrak KKM?”
“Kami telah merayu kepada KKM beberapa kali supaya KKM boleh memberi amaran kepada syarikat United Security Services, dan memecatnya sekiranya perkara ini masih berterusan, tetapi KKM tidak mengambil berat tentang penderitaan pekerja-pekerja yang ditindas oleh syarikat kontraktor yang tidak berhati perut ini,” ulas Sivaranjani.
4 orang pengawal keselamatan hospital tersebut meminta pada KKM supaya mengarahkan kontraktor lantikannya untuk mengambil semula mereka sebagai pekerja.
One thought on “Kementerian Kesihatan tidak harus lepas tangan masalah pekerja di hospital kerajaan! – Pengawal keselamatan Hospital Ipoh gesa dipulihkan kerja segera”