ALOR GAJAH, MELAKA – 17 MAC 2023: 90 ekor lembu mati kerana diracuni oleh pemilik kebun durian yang berniat jahat!
3 orang penternak lembu di kawasan Machap Umboo, Melaka, telah mendapati bahawa lembu ternakan mereka diracuni oleh tuan tanah di sebuah kebun durian pada 7 Mac 2023. 3 orang penternak lembu tersebut bersama-sama dengan Jaringan Penternak Nasional MARHAEN membuat aduan polis susulan di Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah pada hari ini, untuk mengemukakan bukti-bukti yang menunjukkan tuan tanah kebun durian berkenaan ialah orang yang meracun dan membunuh lembu-lembu mereka.
Salah seorang penternak, Saravanan, pernah menerima panggilan telefon daripada tuan tanah kebun berkenaan pada bulan Disember 2022 yang mengugut untuk meracun lembu-lembu yang berkeliaran di dalam kawasan kebunnya. Saravanan memberitahu pada tuan tanah tersebut bahawa lembu-lembu itu boleh masuk ke dalam kawasannya adalah disebabkan pagar kebunnya yang rosak, dan menasihati tuan tanah supaya memperbaiki pagar untuk menghalang ternakan daripada memasuki kawasannya. Namun, pagar kebun durian tersebut tidak diperbaiki, sebaliknya tuan tanah bertindak dengan meracun dan mematikan lembu-lembu ternakan.
Kematian lembu-lembu akibat keracunan ini telah menyebabkan kerugian yang besar kepada 3 orang penternak tersebut.
Menurut R. Gandi, Penyelaras Jaringan Penternak Nasional MARHAEN yang hadir bersama semasa membuat aduan polis, tindakan membunuh haiwan ternakan dengan menggunakan racun ini merupakan satu perbuatan jenayah yang terancang.
“Perkara ini perlu dipandang serius kerana ia telah melanggari Akta Kebajikan Binatang,” kata Gandi. Seksyen 31 Akta Kebajikan Binatang 2015 (Akta 772) menyatakan bahawa “mana-mana orang tanpa kebenaran yang sah atau sebab yang munasabah — (a) memberikan apa-apa ubat atau bahan yang beracun atau memudaratkan kepada mana-mana haiwan; atau (b) menyebabkan apa-apa ubat atau bahan yang beracun atau memudaratkan diambil oleh mana-mana haiwan”, adalah dianggap sudah melakukan satu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau dipenjarakan selema tempoh tidak lebih daripada 3 tahun atau kedua-duanya.
“Nasihat saya kepada pemilik tanah, jika ada masalah dengan ternakan-ternakan yang memasuki kawasannya, jangan mengambil tindakan sendiri sehingga meracun haiwan ternakan orang lain,” kata Gandi lagi. “Memang adanya ruang undang-undang di mana mereka boleh membuat aduan polis, memfail saman sivil di mahkamah jika hendak menuntut ganti rugi. Kebajikan haiwan ternakan itu juga harus dipelihara.”
Pihak penternak dan Jaringan Penternak Nasional MARHAEN berharap pihak polis akan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap pihak tuan tanah yang sengaja membunuh haiwan ternakan orang lain.