Puluhan ribu orang rakyat Peru berprotes di Lima, ibu negara Peru, pada 19 Januari 2023, bersempena aksi mogok nasional yang dipanggil oleh kesatuan pekerja, untuk membantah kudeta oleh Parlimen yang dikuasai oleh golongan konservatif yang menjatuhkan kepresidenan Pedro Castillo pada bulan Disember 2022. Mereka yang berprotes menuntut perletakan jawatan segera Dina Boluarte sebagai Presiden Peru, pembubaran Kongres Peru yang dikuasai oleh golongan berhaluan kanan, pilihan raya baharu dan pembentukan Perhimpunan Perlembagaan untuk mengubah Perlembagaan 1993 negara itu.
Golongan petani dan masyarakat orang asal bersama-sama dengan anggota-anggota organisasi sosial dan kesatuan sekerja dari semua wilayah di seluruh Peru telah menjelajah ke Lima untuk menyuarakan bantahan mereka terhadap kerajaan yang tidak sah sekarang ini. Namun, demonstran yang datang dari seluruh negara untuk berprotes di ibu negara Peru ini telah dilayan dengan gas pemedih mata yang ditembak oleh polis.
Para demonstran juga mengecam keganasan polis dan tentera di bawah arahan kerajaan sekarang terhadap aksi protes aman dan menuntut keadilan untuk mangsa kezaliman rejim yang anti-demokratik. Sejak tercetusnya gelombang protes berikutan pemecatan Pedro Castillo sebagai Presiden Peru dan penangkapannya, lebih 50 orang telah terbunuh kerana keganasan pihak berkuasa yang cuba mematahkan kebangkitan rakyat.
Pedro Castillo yang dipilih sebagai Presiden Peru pada tahun 2021, telah menghadapi pelbagai ancaman daripada puak berhaluan kanan yang menguasai Kongres Peru. Pelbagai usaha telah dilakukan oleh parti-parti berhaluan kanan untuk menyingkirkan Castillo sebagai Presiden. Apabila Castillo hendak membubarkan Parlimen, dia dilucutkan jawatannya sebagai Presiden oleh Parlimen dan ditahan pada 7 Disember 2022. Dina Boluarte mengambil alih jawatan Presiden Peru selepas Castillo disingkirkan dalam kudeta parlimen itu.
Pemecatan Castillo sebagai Presiden mencetuskan aksi protes besar-besaran. Kerajaan kudeta pimpinan Dina Boluarte merespon dengan penindasan secara ganas. Boluarte mengisytihar darurat seluruh negara pada 14 Disember 2022. Pada 15 Disember 2022, pasukan keselamatan Peru melepaskan tembakan peluru hidup ke atas demonstran di Ayacucho, mengakibatkan 10 orang mati terbunuh dan 61 orang cedera. Pada 9 Januari 2023, polis melepaskan tembakan ke atas demonstran di bandar Juliaca, membunuh sebanyak 18 orang dan mencederakan lebih 100 orang. Keganasan pihak berkuasa terhadap demonstran mencetuskan lebih banyak kemarahan rakyat lagi.
Gerakan protes pro-demokrasi yang diterajui oleh golongan petani miskin, masyarakat orang asal dan pekerja di Peru ini mendapat sokongan daripada pelbagai sektor yang lain dan parti-parti politik yang progresif, termasuk Perú Libre, Nuevo Perú, Parti Komunis Peru (PCP) dan sebagainya. Nuevo Perú menyatakan dalam satu hantaran twitter, “Bersama-sama dengan rakyat yang bermobilisasi, kami menuntut satu penyelesaian radikal kepada krisis ini dan pemberhentian penindasan jenayah oleh kerajaan pembunuh ini.”
“Kami mahu menamatkan, bukan sahaja rejim Dina Boluarte yang bersifat diktator dan pembunuh, tetapi juga demokrasi palsu ini di mana kuasa ekonomi yang menguasai Kongres dan cabang eksekutif memijak kehendak rakyat,” kata Nuevo Perú dalam satu lagi hantaran twitternya.
Perlembagaan Peru sekarang ini digubal pada tahun 1993 di bawah pemerintahan kediktatoran pelampau kanan Alberto Fujimori. Perlembagaan tersebut telah mewujudkan sebuah pemerintahan yang neoliberal dan meminggirkan masyarakat miskin untuk melindungi kepentingan golongan oligarki di negara itu. Selagi golongan oligarki masih berkuasa dan menyekat proses demokrasi di Peru, sudah pasti rakyat bawahan di negara itu akan bermobilisasi untuk meneruskan perjuangan…