oleh Sivarajan Arumugam
Merujuk kepada kenyataan akhbar daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya yang bertajuk “SPRM PERJELAS ISU VIDEO TULAR DAKWAAN PEGAWAI BERLAKU KASAR” bertarikh 21 April 2022, kami terpanggil untuk memperbetulkan beberapa kesilapan fakta mengenai kejadian pada pagi 21 April 2022 di Ibu Pejabat SPRM apabila Dr Jeyakumar mengetuai sekumpulan petani Perak untuk membuat aduan rasmi mengenai penyelewengan dalam pelupusan tanah pertanian oleh Kerajaan Negeri Perak.
Pertamanya sekali, pada jam lebih kurang 10.35 pagi, 21 April 2022, Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), bersama hanya dua orang wakil PSM pergi ke lobi pelawat Ibu pejabat SPRM, Putrajaya. Selepas mengimbas MySejahtera, mereka telah pergi ke kaunter depan untuk memberitahu bahawa kami datang untuk membuat aduan. Seorang pegawai (wanita) SPRM di kaunter itu, dan telah menjemput ketiga-tiga orang itu duduk menunggu pegawai penerima aduan.
Tiba-tiba muncul seorang pegawai SPRM yang tidak memperkenalkan dirinya, dan bersuara tinggi memberitahu Dr. Jeyakumar, “Kamu tak boleh masuk, hanya dua orang sahaja!” Dr. Jeyakumar memberitahu pegawai itu bahawa kami hadir untuk membuat aduan dan hendak berjumpa dengan pegawai SPRM. Sekali lagi, dengan suara yang tinggi, pegawai SPRM itu menengking Dr. Jeyakumar dengan berkata, “Saya bos sekarang, cakap dengan saya!”
Pada masa itu, Dr. Jeyakumar dan dua orang wakil PSM itu terpaksa keluar dari kawasan lobi pelawat kerana diarahkan bahawa tidak boleh masuk. Di luar lobi pelawat, Dr. Jeyakumar berjumpa dengan petani-petani yang lain dari Perak yang telah pun sampai untuk membuat aduan. Sekali lagi, pegawai tersebut keluar dari lobi dan terus menghalau kami keluar dan bercakap, “Ini untuk menghantar memorandum kan. Tak boleh semua masuk. 2 org sahaja.”
Pada masa itu, apabila ditanya untuk memperkenalkan dirinya, barulah pengawai itu memperkenalkan dirinya sebagai Mahamad Farid bin Kamal yang merupakan seorang Penolong Penguasa SPRM.
Selepas mengenalinya, kami beberapa kali menerangkan kepada Mahamad Farid bin Kamal bahawa kami hadir untuk mengemukakan aduan rasmi dan adanya 5 orang pengadu. Kami juga mencadangkan untuk memberikan nama 5 orang pengadu itu supaya pegawai SPRM boleh memanggil dua orang masuk sekali, sementara yang lain tunggu di luar. Tetapi dia enggan mendengar penjelasan kami dengan terus menengking dengan suara yang tinggi, “Saya kata dua orang sahaja, dua orang sahaja!”
Walaupun kami menerangkan bahawa 5 orang pengadu perlu memberikan kenyataan kepada pegawai yang menerima aduan, tetapi jelas bahawa Mahamad Farid tidak ingin mendengar sebaliknya membuat kesimpulan sendiri atau mendapat arahan pihak atasan yang salah bahawa kami datang untuk menyerahkan memorandum!
Pada ketika Mahamad Farid menengking kami sekali lagi dengan suara yang tinggi, barulah kami mula merakamkan kejadian ini kerana ianya jelas bertentangan dengan etika kerja atau tatacara melayan pengadu oleh seorang penjawat awam. Maka rakaman hanya dibuat untuk keselamatan kami dan untuk memajukan aduan mengenai sikap pegawai SPRM itu kepada pihak pengurusan tinggi SPRM jika perlu.
Pada ketika itu, nasib baik ada juga pengawai keselamatan SPRM lain yang lebih rasional dan bertindak dengan etika yang betul. Mereka meredakan Mahamad Farid yang menengking kami dan membantu kami untuk mempermudahkan urusan kami.
Dengan tindakan pegawai lain yang mengawal keadaan, kami dapat menguruskan proses pengaduan, di mana Dr. Jeyakumar dan dua orang lagi petani dibenarkan masuk semula ke lobi pelawat dan berjumpa dengan pegawai penerima aduan.
Oleh itu, adalah jelas di sini bahawa,
- Kenyataan SPRM bahawa “bagaimanapun didapati kira-kira tujuh daripada 25 individu dalam kumpulan itu telah masuk secara berdua-dua ke perkarangan SPRM” adalah tidak benar sama sekali.
- Jelasnya juga bahawa Mahamad Farid bin Kamal telah memberikan arahan yang salah kepada kami, kerana kenyataan SPRM berbunyi “Bahagian Keselamatan SPRM hanya membenarkan tiga orang wakil pihak luar untuk masuk ke perkarangan dan dalam bangunan SPRM bagi bertemu pegawai bertugas untuk membuat aduan”. Jadi, kenapa pula Mahamad Farid bin Kamal berkali-kali mengulangi “dua orang sahaja dibenarkan”? Jika pihak SPRM sendiri tidak jelas mengenai protokol pengendalian aduan, maka apakah justifikasi menyalahkan orang awam yang datang mengadu?
- Pegawai SPRM Mahamad Farid langsung tidak faham hasrat pengadu yang hadir, dan beranggapan salah dengan niat jahat. Walaupun diperjelaskan kepadanya berkali-kali, tetapi dia enggan mendengar penjelasan kami.
- SPRM gagal mempermudahkan urusan kami. Kami sebagai pengadu perlu diberitahu di mana untuk mengadu, pegawai mana hendak berjumpa di kaunter utama lobi SPRM, bukannya dihalau keluar, selepas itu menengking kami.
- Tindakan kasar pegawai keselamatan SPRM Mahamad Farid itu diakui oleh pengawai keselamatan SPRM yang lain, apabila mereka terpaksa mencampur tangan dan meredakan Mahamad Farid yang bertindak keterlaluan itu.
Kami memandang serius insiden ini yang merupakan suatu penghinaan kepada rakyat yang ingin mengadu kepada SPRM.
Kami juga ingin merekodkan di sini bahawa pengawai SPRM lain telah meminta maaf kepada wakil petani dan ahli PSM yang sedang menunggu di luar, serta 3 orang pengadu yang habis membuat aduan mereka, atas kelakuan Mahamad Farid yang tidak profesional ini. Pegawai yang meminta maaf itu berkata, “Maaf, Mahamad Farid ini orang baru, dia ini cepat panas hati.”
Kami sebagai rakyat yang bertanggungjawab, yang bergantung kepada agensi kerajaan untuk menyelesaikan masalah kami, dan sebagai pengadu yang mengemukakan aduan rasmi, harus dilayan sebagai pelanggan dan bukannya sebagaimana yang telah berlaku pada pagi tadi.
Harus ditegaskan bahawa dalam kes ini, SPRM berurusan dengan aduan daripada kaum petani yang merupakan golongan marhaen. Jika tingkah laku sebegini diterusnya, maka keyakinan rakyat bawahan untuk membuat aduan kepada SPRM akan berkurangan. Dalam isu ini, mereka mengambil keputusan untuk membuat aduan kepada SPRM, setelah aduan mereka kepada pihak polis tidak mendapat sebarang siasatan yang adil.
Sepertimana yang diberitahu dalam kenyataan SPRM, demi mengekalkan imej SPRM sebagai sebuah agensi yang “sentiasa mengalu-alukan kerjasama daripada orang ramai untuk tampil ke mana-mana pejabat SPRM bagi membuat aduan berkaitan rasuah”, maka pegawai Bahagian Keselamatan di barisan hadapan“front desk” yang bertemu dengan pengadu haruslah dilatih supaya melihat pengadu sebagai pelanggan agensi SPRM, dan mempermudahkan urusan kami, bukan sebaliknya.
==========
Sivarajan Arumugam ialah Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).