20190216090021__MG_1437-01

Antara isu-isu yang pernah dibangkitkan oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM) sebelum ini kepada Kerajaan negeri Selangor yang akan terus disuarakan dalam DUN Selangor sekiranya dapat menang dalam PRK Semenyih:

1. Perluaskan demokrasi tempatan dari bawah

PSM menuntut pelaksanaan segera Pilihanraya Kerajaan Tempatan. Laksanakan pemilihan secara demokratik untuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan kampung-kampung, kerana ini dapat menyemarakkan proses demokrasi di peringkat bawahan, di samping meningkatkan mutu serta prestasi Ahli Majlis dan Kerajaan Tempatan. Pilihanraya tempatan juga dapat mengurangkan amalan kronisme, salahguna kuasa dan amalan bodek-membodek yang wujud apabila jawatan-jawatan ini dilantik. Sebelum ini, Ahli Exco yang berkenaan, Teng Chang Khim, telah berjanji akan melaksanakan pilihanraya tempatan sebelum akhir tahun 2014.

2. Jaminan hak perumahan untuk semua   

PSM telah menuntut pada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri supaya mengambil tindakan untuk mengawal harga perumahan, kerana harga perumahan yang terlalu tinggi amat membebankan rakyat. Kami meminta isu Peneroka Bandar yang telah lama tertangguh diselesaikan segera dengan pemberian geran tanah. Kami juga mendesak pada Kerajaan Negeri supaya menubuhkan Badan Amanah (Trust) Perumahan yang tidak berlandaskan keuntungan untuk membina rumah selesa dengan harga yang munasabah untuk masyarakat berpendapatan rendah.

3. Pembelaan hak Orang Asli

PSM akan memastikan hak Orang Asli di Negeri Selangor terus dibela. Kami difahamkan bahawa kebanyakan pemetaan masyarakat (community mapping) di kawasan Orang Asli di Selangor sudah siap dan kini Kerajaan Negeri harus memulakan kerja-kerja segera untuk mewartakan kawasan tersebut. Selain itu, cadangan enakmen berkenaan dengan tanah simpanan Orang Asli yang telah disediakan oleh masyarakat Orang Asli bersama dengan NGO Orang Asli harus dibentangkan dalam DUN dan digubal demi untuk menjaga kepentingan dan hak masyarakat Orang Asli di Malaysia.

4. Enakmen untuk perlindungan hak pekerja ladang

Satu enakmen baru bagi melindungi pekerja ladang yang pernah dijanjikan semasa Xavier Jeyakumar menjadi Exco Ladang sehingga hari ini masih belum dilaksanakan. Enakmen tersebut adalah untuk melindungi pekerja ladang yang diancam pengusiran apabila ladang mereka dimajukan atau dibangunkan.

5. Jaminan gaji sara hidup untuk semua yang bekerja dengan Negeri Selangor

Memastikan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan semua pekerja kontrak di bawah Kerajaan Negeri Selangor ditukar status kepada pekerja tetap dan gaji minimum diseragamkan kepada RM 1500 sebulan. Pekerja yang diupah terus oleh Kerajaan Negeri dan pejabat-pejabat ADUN juga harus dibayar gaji tidak kurang daripada RM 1,500 sebulan.

6. Kerajaan Tempatan ambilalih penyelenggaraan rumah pangsa kos rendah

PSM akan terus mendesak supaya semua pangsapuri kos rendah diambilalih oleh Kerajaan Tempatan. Kami juga telah meminta agar penghuni pangsapuri kos rendah yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah tidak dibebankan dengan dua jenis cukai – iaitu cukai pintu dan bayaran penyelenggaraan.

7. Pertingkatkan perkhidmatan pengangkutan awam

PSM menuntut supaya pengangkutan awam bas dikendalikan oleh majlis-majlis tempatan supaya ia dapat memberikan perkhidmatan yang lebih menyeluruh, berkesan dan murah berbanding dengan keadaan sekarang di mana pengusaha bas swasta hanya menumpu di kawasan-kawasan tertentu demi untuk memaksimakan keuntungan sahaja. Subsidi bas sekolah untuk kanak-kanak sekolah juga harus diteruskan dan dipetimbangkan.

8. Lindungi alam sekitar

Segala projek pembangunan mesti diluluskan dengan prasyarat ketat bagi menghalang kesan buruk terhadap alam sekitar. Wartakan semua kawasan lapang hijau, zon penampan dan hutan semulajadi agar ianya tidak dirampas dan ditukar milik untuk tujuan pembangunan dengan sewenang-wenangnya. Walaupun Kerajaan Negeri ada memberikan komitmen, kami berharap ia dapat diteruskan.

9. Jaminan hak bekalan air dan tenaga yang berterusan

Isu krisis air sememangnya satu isu yang serius. PSM menyarankan langkah penjimatan air yang lebih proaktif harus diatur supaya air bersih terawat tidak digunakan untuk aktiviti lain seperti perkebunan atau mencuci kereta. Kerajaan Negeri juga harus melihat bagaimana kita boleh menggunakan kuasa solar dan angin dengan lebih berkesan sebagai sumber tenaga alternatif yang baru, iaitu sumber tenaga yang lebih mesra alam sekitar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *