oleh Nik Aziz Afiq

Tipulah kalau kata tak sakit. Tipulah juga kalau kata tak teringin nak merasa kemenangan. Tipulah kalau tak letih menahan telinga apabila orang bagi seribu sebab kenapa kalah, suruh tukar nama sosialis, suruh tukar logo lah macam-macam bullshit kena dengar.

Tapi kenapa masih tanding lagi? Duduk diam-diam sudahlah, atau pergi melutut depan gergasi lain minta bagi kerusi supaya dapat merasa jadi YB. Itu antara komen pedih biasa didengari.

Bagi saya, sejak PRU 2018, PRK Semenyih 2019 dan kali ini PRN Johor 2022, ada satu perkara yang tak berubah. PSM berkempen habis-habisan. Buat semua yang mampu bahkan luar daripada kemampuan biasa. Buat sungguh-sungguh sepenuh hati. Jadi, biarlah kalah lagi dan lagi, apabila sampai masa tanding, tetap akan tanding.

Kita boleh kecewa dengan kekalahan, tapi kita tak akan boleh terima kalau kekalahan itu datangnya dari silap sendiri. Setakat 3 kempen pilihanraya meskipun pilihanraya terkini saya tak dapat terlibat, saya dapati tidak ada kekurangan dari segi kempen, calon mahupun manifesto yang ditawarkan. Jadi, apabila semua daripada pihak kita telah dibuat dengan jayanya, maka terserah hasilnya pada pihak rakyat.

Kita kalah kerana rakyat tak pilih. Bukan kerana calon kita teruk, menipu, cakap mengarut, ada skandal, lompat parti. Bukan kerana kempen kita berterabur, tak terancang atau tak terfokus. Bukan kerana manifesto kita tak logik, nak menipu atau janji terlalu dahsyat yang tak boleh laksana.

Tidak ada silapnya pada pihak kita. Rakyat juga tak silap. Cumanya masa demi masa masih diperlukan untuk rakyat dididik dan mempunyai kesedaran. Setelah begitu lama rakyat diracuni dengan nama buruk pada ideologi ini, maka tidak mudah dan segera untuk mengubah sebuah persepsi.

Masa itu akan tiba juga. Bila? Itu saya tak boleh ramal. Tapi pasti akan sampai juga. Sementara itu hanya perlu sabar, kayuh lagi dan lagi. Bandingkan parti ini 10 tahun lepas dengan hari ini. Lihatlah kemajuan dari segi dalaman bilamana kemasukan ahli merentas kaum, negeri, kelompok marginal tertindas dan sebagainya. Lihat kemajuan dari segi luaran berbanding 10 tahun lalu dan kini bagaimana jenama dan lambang ini mula diterima, mula diyakini dan disegani kawan dan lawan.

Dalam keadaan kalah dan hilang deposit berkali-kali, tapi kemasukan ahli baru, kelahiran aktivis muda yang menyumbang pelbagai kemahiran, orang datang dari seluruh pelusuk negara memberikan diri untuk dilebur dalam perjuangan. Maka kita bukan makin mundur, bukan makin ketinggalan, bukan tidak relevan. Hanya semata-mata pada perkataan MASA.

Nanti akan sampai satu masa, apabila mula rasa kemenangan, waktu itu akan diuji pula dengan kemasukan mereka yang ada kepentingan, yang mahukan sesuatu, sanggup berebut dan berperang demi jadi calon atau pegang jawatan. Sanggup tubuh kem dalam parti sendiri. Itu semua lagi dahsyat ujiannya.

Sabarlah, yakinlah. Apabila sampai masa itu nanti, kita akan tergelak mengenang peritnya hari ini.

PSM tidak hidup kerana pilihanraya, PSM tidak akan mati kerana pilihanraya. Berani berjuang, berani menang!

Salute buat semua komrad.

==========

Nik Aziz Afiq Bin Abdul ialah mantan Ketua Pemuda Sosialis PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *