oleh Ratu Yousei
Diri di tengah-tengah kawasan terbuka
kemudian pejamkan mata.
Rasai belaian bayu di tengkuk
seakan-akan mengangkut tubuhmu
ke tempat merpati bermain kejar
lalu ingkari graviti seperti Guru Laghima
bersama komrad-komrad baharu,
menikmati janji Barbatos.
Namun, jangan leka sampai lupa mengawasi empat perkara:
- tikaman petir dari gumpalan awan hitam;
- tarikan daya sentripetal puting beliung berkeliaran;
- kemungkinan diri menghalang arus daripada mengapungkan sayap saudara seperjuangan; dan
- ancaman helang dari barat menakluk ruang berlegarmu menjadi rejim miliknya seekor.
Fahami bahawa pawana ini milikmu
semua
dan selagi peka akan tingkah laku
nescaya lancar penerbanganmu.
13.03.2022