oleh Sivarajan Arumugam

Sejak pengumuman keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac 2022 yang lalu, pelbagai analisis muncul, terutamanya daripada penganalisis politik dan juga ahli politik. Kebanyakannya merungut mengenai kesilapan “pembangkang”. Apakah sepatutnya mereka buat, apakah salah tafsiran ahli politik, apakah strategi yang harus dipakai dan sebagainya. Ada yang mengatakan bahawa kemenangan BN adalah disebabkan oleh penurunan peratusan keluar mengundi. Kesemuanya berkisar pada apakah yang baik untuk “parti politik” ini dan itu.

Tetapi saya kurang membaca sebarang komentar yang melihat apakah sebenarnya yang baik untuk rakyat berbanding dengan apakah yang baik untuk parti politik.

Selama 3 hingga 4 minggu saya berada di Johor untuk menyiapkan jentera Parti Sosialis Malaysia (PSM) bagi bertanding di kerusi N49 Kota Iskandar, saya mendengar pelbagai komen daripada rakyat setempat. Antaranya yang biasa didengar ialah “pilihan raya ini membazir masa sahaja”, “semua parti sama sahajalah”, “lepas undi semua hilang tak tunaikan janji pada rakyat”, “takut COVID-19, tak keluar mengundi” dan komen-komen lain yang memaparkan ketidakpuasan hati rakyat terhadap parti-parti politik sedia ada, dan juga mempertikaikan keperluan mengadakan PRN sekarang.

Ada juga yang mengatakan bahawa mereka “confuse (keliru) kerana banyak sangat parti pembangkang kerana perpecahan”. Saya juga melihat langsung tidak wujud apa-apa suasana pilihan raya dalam kalangan rakyat. Tidak ada laungan “ini kalilah” ataupun motivasi untuk turun mengundi dengan harapan memperbaiki nasib rakyat biasa. 

Justeru, di sinilah kita harus berfikir secara mendalam. Kenapa rakyat merasakan bahawa kehidupan mereka dan kesusahan mereka tidak akan berubah melalui PRN Johor kali ini? Adakah mereka sudah mencapai kesimpulan bahawa, tidak kira apa jua parti yang menang, ianya 2×5, 5×2 sahaja? Atau adakah rakyat mendahulukan kestabilan selepas ketidaktentuan politik sejak Langkah Sheraton pada awal tahun 2020 lagi? Rakyat sanggup mengorbankan aspirasi perubahan sebenar, demi kestabilan politik walaupun ianya datang daripada blok yang pernah dicampak oleh rakyat sendiri pada tahun 2018. 

PRN Johor dan PRN sebelumnya di Melaka dan Sarawak, harus memberi peluang kepada rakyat untuk merenung kembali apakah sebenarnya peranan parti politik dalam menentukan masa depan mereka.

Jika lihat pada parti-parti yang memperjuangkan hak Bumiputera, daripada UMNO dan serpihannya seperti BERSATU dan PEJUANG, rakyat kini jelas memahami bahawa kesemuanya hanya “menjual” retorik hak Melayu untuk menumpukan kekayaan ke dalam tangan golongan elit Melayu dan bukannya majoriti masyarakat Melayu. Begitu juga parti-parti lain yang menggunakan retorik perkauman sebagai agenda mereka.

Jika lihat pada pembangkang (yang pernah menjadi Kerajaan selama 22 bulan), mereka juga gagal membawa perubahan jelas dalam kehidupan rakyat, terutamanya isu-isu asas. Walaupun mereka  hanya dalam pemerintahan peringkat Persekutuan selama 22 bulan, tetapi mereka telah berkuasa di Pulau Pinang dan Selangor selama 14 tahun. Apa pula nasib rakyat di kedua-dua negeri itu?

Perubahan sebenar dalam kehidupan harian hanya akan tercapai jika kita membawa kuasa politik yang berani melawan arus. Maksudnya melawan arus adalah, politik yang memahami hegemoni ekonomi dan politik yang mengongkong kita. Kita harus sedar tentang kewujudan suatu tatacara sistem ekonomi yang merampas hasil titik peluh rakyat untuk mengkayakan segelintir elit bisnes dan politik. Ianya berlaku dalam pelbagai cara, bermula daripada polisi gaji murah kepada pekerja demi membolehkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) menerima gaji ratusan ribuan ringgit setiap bulan. Monopoli bisnes yang menekan peniaga kecil. Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terpaksa mengurangkan kos kerana dituntut oleh pembeli multinasional.

Perampasan tanah daripada petani, orang asli dan juga penduduk kampung untuk diberikan kepada korporat besar; penindasan terhadap pekerja industri e-hailing, p-hailing, penghantar makanan dan barangan yang melihat pendapatan mereka semakin berkurang walaupun pesanan bertambah; hasil nelayan yang berkurangan kerana pembangunan persisiran pantai dan industri pengorekan pasir yang berleluasa; kos makanan meningkat kerana nelayan dan petani tempatan dipinggirkan dan rakyat beralih kepada makanan import…

Senarai isu-isu rakyat marhaen yang merupakan majoriti pengundi ini di mana-mana kawasan mengundi amatlah panjang, tetapi siapa yang berani melawan arus hegemoni ekonomi dan politik ini untuk membawa perubahan sebenar?

Hampir semua parti politik dan juga gabungan politik, sama ada yang memerintah atau pernah memerintah, nampaknya lebih ingin mengekalkan “status quo” hegemoni ini kerana ianya jelas juga menguntungkan kerjaya politik mereka.

Jadi, pengajaran daripada PRN Johor dan pilihan raya sebelum ini adalah, rakyat harus meneliti pendirian dan pegangan parti-parti politik ini. Retorik politik bersih, telus dan anti-rasuah itu penting, tetapi ianya tidak mencukupi untuk memecahkan hegemoni ekonomi yang menekan rakyat.

Parti Sosialis Malaysia (PSM), walaupun satu kuasa yang kecil, tetapi berani membawa satu naratif politik baharu yang benar-benar mencabar hegemoni ekonomi kapitalis ini. Ini bukan suatu kenyataan kosong, kerana rekod sejarah perjuangan PSM sememangnya diakui ramai. Dari perjuangan menentang perampasan tanah orang kampung tradisi, peneroka bandar, Orang Asli, pekerja ladang sehinggalah perjuangan menentang pengumpulan kekayaan oleh korporat bisnes…

Oleh itu, kita perlukan suatu peralihan, daripada mengundi parti-parti yang menjual retorik “kaum” kepada alternatif politik yang meletakkan perjuangan kelas masyarakat sebagai agenda utamanya. Oleh sebab perjuangan kelas marhaen akan memanfaatkan semua kaum, terutamanya kaum Melayu yang masih merupakan kaum yang mempunyai peratusan pendapatan isi rumah di bawah RM2,000 yang tertinggi.

Politik perjuangan kelas akan mengenal pasti pelakon-pelakon yang menaja dan mengekalkan hegemoni ekonomi ini, dan melancarkan perjuangan terhadap mereka agar kekayaan masyarakat dikongsikan dengan lebih adil.

Kini sudah tiba masanya, kita beralih kepada memilih kuasa politik yang jelas dalam perjuangan kelas dan berani memecahkan hegemoni ekonomi yang memperhambakan rakyat terbanyak. PRU-15 akan memberikan rakyat satu lagi peluang untuk menolak parti-parti perkauman dan parti-parti yang menggelar diri mereka sebagai radikal dan reformis tetapi sebenarnya amat kabur dalam pendirian mereka dalam menentang hegemoni ekonomi kapitalis ini.

Cukup sudah rakyat diperbodohkan oleh parti-parti serpihan politik perkauman ini yang kononnya berbeza dan akan menyelesaikan permasalahan rakyat. Pengalaman dan pengkhianatan politik mereka telah menjadikan rakyat lebih matang untuk memilih dengan lebih teliti sebuah parti dan kuasa politik yang berdasarkan perjuangan kelas yang sebenarnya.

==========

Sivarajan Arumugam ialah Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *