20190216104838__MG_1462-01

oleh Arveent Kathirtchelvan

Saya agak tertarik dengan artikel yang ditulis oleh Dr Rais Hussin tempoh hari, berkenaan Pilihanraya Kecil Semenyih yang bakal menjelang. Beliau bijak memilih tajuk artikelnya, yang cuba mengalihkan fokus pilihanraya ini kepada sebuah pertandingan satu lawan satu di antara Pakatan Harapan (PH) dengan kontinjen PAS-Barisan Nasional (BN), lalu mengangkatnya sebagai “Hari Penentuan” (D-Day). Seterusnya beliau mempertahankan Pakatan Harapan sebagai gabungan pakatan politik yang jauh lebih baik berbanding PAS-BN, dengan menekankan penglibatan PAS-BN dalam kleptokrasi, Israel, serta Goldman Sachs. Saya turut tertarik dengan pandangan Dr Rais mengenai ideologi utama pihak lawannya, iaitu Islam sebagai sesuatu yang lebih sejagat dan harus memainkan peranan penting dalam tata urus negara Malaysia.

Analisis beliau ada betulnya, namun kesimpulannya pincang, oleh kerana beliau sendiri terlibat ddalam PH dan seterusnya menyeru pengundi Semenyih agar tetap mengundi PH walaupun mengakui ianya tidak sempurna. Hujahnya, ini perlu dilakukan demi menolak kempen berbentuk umpanan terhadap para pengundi Melayu oleh pihak PAS-BN melalui kata-kata yang sarat dengan sentimen dan retorik perkauman dan agama. Saya bersetuju dengan peranan pilihanraya kecil Semenyih sebagai gelanggang penentu, bukan sahaja sebagai penolakan terhadap pelampau perkauman dan agama, malah menolak pemisahan palsu yang telah sekian lama membelenggu politik Malaysia. Semenyih tidak harus jatuh ke tangan PH atau PAS-BN, tetapi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

20190216090021__MG_1437-01

Apa bezanya PSM dengan yang lain?

Mengapa saya berkata demikian? Terlebih dahulu, saya harus akui hubungan saya dengan PSM sebagai salah satu faktornya, sama ada secara sedar atau pun tidak. Namun, sebelum saya menjadi penyokong PSM, saya telah pun bergiat dalam usaha ke arah kepelbagaian di dalam suasana politik Malaysia, daripada perlumbaan satu lawan satu kepada sistem berbilang parti. Kemunculan suatu kuasa ketiga adalah amat penting bagi mencapai objektif ini, oleh kerana perbezaan antara PH dengan BN-PAS sedikit saja.

BN, ketika memegang tampuk kuasa kerajaan persekutuan, bertindak dengan cara yang amat neoliberal. Perkembangan GDP (keluaran dalam negeri kasar) seringkali digembar-gemburkan, namun impak sebenar terhadap rakyat biasa langsung tidak diambil kira. Dapatkah kita lihat sebarang perbezaan dalam mentaliti PH? Misalnya, Menteri Sumber Manusia bersama Perdana Menteri telah menentang sebarang kenaikan untuk gaji minimum, seolah-olah hanya suara pihak Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) sahaja yang layak didengari. Ini jelas menunjukkan tiada sebarang perubahan sikap ke arah yang lebih pro-pekerja.

Menteri Kesihatan dan Menteri Kewangan pula telah mengumumkan skim insurans kesihatan MySalam, tanpa penglibatan sewajarnya daripada pihak-pihak berkepentingan. Ini tidak berbeza berbanding sebelumnya di mana pihak kerajaan bertindak “memperjuangkan” perkhidmatan kesihatan swasta, sehingga menjejaskan perkhidmatan kesihatan awam. Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah PH pula dikatakan telah pun membina rumah mampu milik, namun realitinya, harga rumahnya berada di luar jangkauan rakyat biasa.

Maka kita dapat lihat di sini bahawa PH dan BN mempunyai cara pemikiran dan pendekatan yang sama. Adakah kita benar-benar mengundi untuk pilihan alternatif, dengan mengundi PH bagi menolak BN? Sebenarnya, PSM sahajalah yang membawa gagasan baru yang seimbang antara keperluan tatacara kerajaan yang baik, dengan perhatian sewajarnya diberikan terhadap kebajikan rakyat. Intipati gagasan ini terkandung dalam cadangan-cadangan yang pernah dikemukakannya. Sebagai contoh, cadangan pendekatan alternatif bagi polisi perkhidmatan kesihatan, iaitu dengan mengawal perkembangan perkhidmatan kesihatan swasta bagi memastikan perkhidmatan kesihatan awam yang dapat memberi layanan secukupnya kepada 70 peratus rakyat negara ini. Contoh kedua, cadangan bagi memastikan syarikat multinasional yang beroperasi di rantau Asia ini tidak memeras tenaga pekerja murah kita dengan berjuang bersama dan menuntut agar kekayaan dikongsi bersama rakyat secara kolektif. Contoh ketiga, PSM mencadangkan pelbagai kaedah bagi menangani masalah rumah mampu milik, antaranya mengeluarkan pembekalan rumah pertama untuk rakyat daripada pasaran bebas, dan memperjelaskan lagi dasar berhubung pembinaan rumah kos rendah seperti “rumah majlis” (council homes) di United Kingdom dan banyak lagi negara-negara lain di dunia.

Lebih penting lagi adalah kaedah pemilihan calon-calon untuk bertanding di kawasan pilihanraya tertentu. PSM mewajibkan sesiapa sahaja yang ingin menawarkan diri menjadi calon perlu memenuhi kelayakan berikut:1) calon haruslah dipilih oleh cawangan tempatan; 2) telah berkhidmat untuk masyarakat setempat selama sekurang-kurangnya dua tahun; dan 3)berjanji untuk tidak menggunakan sebarang hujah berbaur perkauman ketika berkempen. Dapatkah kita temui kaedah ini baik dalam BN mahupun PH? Dato Seri Anwar Ibrahim pastinya tidak kena mengena dengan Port Dickson, dan Wan Saiful Wan Jan pun tampaknya begitu asing sekali bagi kawasan pedalaman Pendang, Kedah.

Sesungguhnya, kekuatan PSM terletak pada pemberdayaan rakyat. Penekanan diberikan kepada usaha-usaha menghapuskan sensitiviti dan kebergantungan dalam masyarakat, dan menaikkan taraf rakyat Malaysia secara keseluruhannya, iaitu dengan memastikan kelas bawahan tidak lagi diperas atau dieksploitasi oleh kelas atasan. PSM menjalankan usaha-usaha ini dengan mengelola kegiatan pembelaan para pekerja terpinggir, penduduk yang tinggal dalam serba daif dan kotor akibat kegagalan pengurusan tempat tinggal mereka, serta isu-isu masyarakat secara umumnya, sehingga membentuk suatu naratif rakyat yang padu terhadap pihak yang berkuasa. Kehadiran PSM di lapangan masyarakat bukanlah atas dasar sentimen dan retorik perkauman atau agama, tetapi agar rakyat Malaysia dapat memahami permasalahan kehidupan mereka, dan mengembalikan apa yang sememangnya adalah hak mereka. PSM, tidak seperti BN atau PH, tegar menolak neoliberalisme, dan tetap teguh dalam komitmennya terhadap kebajikan rakyat, sebagai falsafah utama dalam sebarang tindakan serta proses membuat keputusan.

Di samping itu, PSM turut komited dalam melahirkan calon berwibawa di kalangan penduduk tempatan, bagi memperjelaskan keperluan masyarakat konstituennya sendiri. Dalam pilihanraya kecil Cameron Highlands, misalnya, kita sememangnya kagum dengan pilihan calon PAS-BN dari kalangan Orang Asli. Namun sebelum itu lagi, pada pilihanraya umum yang lepas, PSM telah pun meletakkan calon Orang Asli di DUN Jelai di bawah Cameron Highlands ketika itu. Kesemua para aktivis dan pimpinan PSM Semenyih telah berkhidmat puluhan tahun lamanya di Semenyih, menangani kes-kes yang telah dilupakan oleh politik arus perdana, dan bergelut dalam ketidaksamaan masyarakat di Malaysia bagi mengangkat kelas terpinggir, tanpa sekali pun mengungkit sebarang naratif perkauman yang memecah-belahkan.

20190215162234__MG_1175

Kerja-Kerja PSM di Semenyih

Di Semenyih ketika ini, adakah calon lain yang dapat mengatakan dengan seikhlas-ikhlasnya bahawa mereka telah memberi khidmat yang setanding PSM? Silalah berkunjung ke pejabat cawangan PSM Semenyih yang serba sederhana di tingkat 1 sebuah lot kedai, dan lihat sendiri lebih 2,000 buah fail-fail kes PSM yang telah dapat diselesaikan, kesemuanya tersimpan rapi dalam fail-fail keras, yang disusun dalam rak buku yang kian penuh. Pelbagai kes terdapat di dalamnya, seperti pertikaian tanah, pemecatan kerja secara tidak sah, malah kes-kes peribadi melibatkan pertikaian dalaman keluarga. Hingga ke hari ini, kes-kes baru terus-menerus diterima dan memenuhi meja penyelaras cawangan, Arutchelvan (dikenali ramai sebagai Arul). Kalangan warga masyarakat yang hampir mati akal untuk menyelesaikan masalah mereka bertali arus berkunjung ke pejabat PSM Semenyih ini, kerana mereka tahu mereka akan perolehi harapan yang lebih cerah untuk memenangi kes mereka.

Berapa banyak sebenarnya kes yang telah dapat dimenangi? Melalui bantuan dan sokongan PSM, para pekerja dari pelbagai ladang telah berjaya memperolehi rumah-rumah kos rendah yang pada asalnya dijanjikan oleh para pemilik ladang-ladang tersebut sebelum dimungkiri dengan liciknya. Tanyalah kaum keluarga mereka di Ladang Sungai Rinching, Ladang Dunedin dan Ladang Semenyih. Di Kampung Broga, PSM Semenyih bersama 159 orang penduduk telah berjaya memperolehi geran-geran tanah, setiap satunya bertempoh 99 tahun. Bagi para pekerja yang terlibat di dalam pertikaian dengan majikan-majikan mereka pula, PSM Semenyih telah giat menyusun aktiviti pembelaan hak-hak mereka, sama ada di Jabatan Perhubungan Perusahaan atau di Mahkamah Buruh.

Begitulah kepelbagaian kes yang pernah ditangani oleh PSM Semenyih hingga ada yang melibatkan sebidang tanah perkuburan, yang diancam kemusnahan oleh pihak pemaju yang hanya memikirkan keuntungan, dan akhirnya dapat diselamatkan. Adakah hakikat ini masih mahu dipertikaikan?

Apakah maknanya kemenangan PSM di Semenyih untuk politik Malaysia? Pertama, ia bakal memecah hegemoni sistem dua parti di Malaysia yang telah sekian lama menghasilkan pihak kerajaan dan pembangkang yang tidaklah banyak berbeza pada dasarnya.

Kedua, ia akan menguatkan lagi keperluan naratif baru dalam politik Malaysia, agar akhirnya beredar dari dasar-dasar neoliberal dan beralih fokus ke arah politik yang lebih berdaya lestari, iaitu dipandu oleh rakyatnya sendiri. Ketiga, ia memberi isyarat jelas bahawa budaya calon bidan terjun tidak patut diteruskan. Ini dapat meningkatkan mutu calon pilihanraya secara umumnya, kerana mereka perlu berkhidmat cukup lama di dalam kawasan pilihan raya masing-masing. Keempat, ianya bakal mengikis sentimen dan retorik perkauman dan agama dalam politik secara tuntas, dan bukan sekadar menawarkan muka baru sahaja sebagaimana yang sedang berlaku di dalam PH kini, yang masih mementingkan imej mereka di mata pengundi mengikut sentimen yang sama. Kelima, ia akan memastikan penglibatan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor yang bukan sahaja benar-benar mengutamakan kebajikan masyarakat, malah mempunyai hubungan langsung dengan pasukannya yang mempunyai banyak pengalaman dalam menangani isu-isu masyarakat. Pasukan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam usaha mendirikan sistem-sistem yang diperlukan bagi menyelesaikan masalah hingga ke akarnya, bukan setakat di permukaannya sahaja.

Inilah sebabnya mengapa warga Semenyih harus menolak PH dan BN, dan menyokong satu-satunya parti yang meletakkan kebajikan mereka sebagai tujuan utama perjuangan. Parti Sosialis Malaysia yang seharusnya mengangkat Semenyih ke naratif baru bagi politik nasional. Hidup rakyat Malaysia, hidup perjuangan!

==========

Arveent Srirangan Kathirtchelvan ialah graduan Kejuruteraan Kimia dari University of Manchester di UK. Beliau merupakan Ketua Penyelaras #Liberasi, satu organisasi yang ingin menukar pemikiran warga Malaysia tentang masalah sosial daripada pendekatan kuno kepada yang lebih relevan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *