IPOH – 9 FEBRUARI 2019: Aktivis-aktivis daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) membuat aduan polis pada hari ini terhadap Kerajaan Negeri Perak kerana membiarkan pembersihan hampir 10 hektar tanah hutan simpan dan penanaman kelapa sawit di Bukit Kledang Saiong. Aduan polis tersebut dibuat di Ibupejabat Polis Daerah Ipoh. Rombongan PSM diketuai oleh R. Mohanarani, Ahli Jawatankuasa Pusat PSM.
Syarikat MB Inc yang merupakan pemilik untuk sebahagian tanah yang diteroka secara haram di Bukit Kledang, telah mengeluarkan satu kenyataan pada 8 Februari 2019 yang mengatakan bahawa pihak MB Inc tidak tahu tentang pembersihan kawasan hutan yang begitu luas ini dan rancangan pembangunan di situ. Ini telah menimbulkan kerisauan ramai.
“Kami membuat aduan polis ini kerana kami mahu polis menyiasat perkara-perkara ini dan mengambil tindakan tegas terhadap penceroboh tanah hutan yang seluas 10 hektar di Bukit Kledang. Tindakan juga perlu diambil terhadap semua pihak, termasuk pegawai kerajaan dan penguatkuasa, yang cuai dalam melaksanakan tanggungjawab mereka untuk melindungi hutan simpan ataupun bersubahat dalam pencerobohan ini,” begitu katanya R. Mohanarani semasa membuat aduan polis di IPD Ipoh hari ini.
Dalam aduan polis yang dibuat pada hari ini, PSM telah menyeru pada pihak polis supaya menyiasat perkara-perkara berikut:
1. Mengapakah badan-badan penguatkuasa berkaitan dengan tanah, penjagaan bukit dan hutan, serta pihak polis tidak menghentikan dengan serta-merta pencerobohan haram di Bukit Kledang?
Adalah mustahil untuk pihak berkuasa (Jabatan Perhutanan, Pejabat Tanah dan Galian, Pejabat Tanah dan Daerah, dan Ibupejabat Polis Daerah Ipoh) tidak sedar tentang pemusnahan kawasan hutan seluas 10 hektar yang berlaku di depan mata mereka. Lebih-lebih lagi penerokaan tanah tersebut melibatkan sebilangan besar jentera berat. Orang awam pun sudah mula sedar bahawa satu kawasan luas di lereng Bukit Kledang dibersihkan secara tiba-tiba pada hujung bulan Januari tahun ini.
Mengapakah semua jabatan kerajaan ini gagal melaksanakan tanggungjawab mereka dan mengambil tindakan tegas secara serta-merta untuk menghentikan pembersihan tanah yang haram ini?
2. Siapakah individu/pihak yang mencerobohi tanah hutan seluar 10 hektar ini, dan siapakah yang melindunginya?
Pencerobohan secara terang-terang terhadap satu kawasan hutan yang sangat luas, yang dimiliki kerajaan dan syarikat miliknya MB Inc, serta penanaman kelapa sawit tanpa sebarang permit atau lesen, menunjukkan bahawa tindakan ini dilakukan oleh pihak yang merasakan dirinya kebal dan tidak risau tentang tindakan akan diambil terhadapnya.
Polis harus menyiasat siapakah pihak ini, siapakah yang melindunginya dan bagaimana dia berjaya mencerobohi Bukit Kledang secara haram tanpa diambil tindakan oleh pihak penguatkuasa.
3. Mengapakah Kerajaan Negeri Perak tidak berunding dengan rakyat tentang pembangunan di Bukit Kledang?
Kenyataan MB Inc pada 8 Februari 2019 amat merisaukan kerana pegawainya memaklumkan bahawa rancangan MB Inc adalah untuk membangunkan projek “hartanah bercampur” bagi penempatan penduduk di situ. PSM telah terdengar ura-ura yang menyatakan bahawa ada rancangan untuk “hutan perladangan”(plantation forest) dan jumlah keluasan hutan yang akan dibersihkan adalah 24 hektar lebih.
Adakah perlu untuk Bukit Kledang yang merupakan satu aset semulajadi indah dan tempat kegemaran untuk pendaki bukit serta pelancong dimusnahkan untuk projek perumahan? Rumah untuk siapa? Mengapa tidak menggunakan tanah rata di tempat lain di sekitar Ipoh? Mengapa tidak menggunakan Akta Pengambilan Tanah untuk ambil tanah ladang yang jauh lebih luas untuk melaksanakan projek perumahan?
Pembangunan di lereng bukit boleh menyebabkan kejadian tanah runtuh, terutamanya semasa hujan lebat yang kini menjadi satu kebiasaan. Adakah Menteri Besar Perak, yang juga selaku Pengerusi Jawatakuasa Tanah Negeri Perak dapat menjamin pembangunan di lereng bukit ini tidak akan mengancam nyawa dan keselamatan penduduk-penduduk berhampiran, dan juga pengguna-pengguna Lebuhraya Ipoh-Lumut? Adakah Menteri Besar Perak dapat menjamin bahawa pembersihan hutan untuk projek perumahan tidak akan menyebabkan hakisan tanah, pemendapan sungai dan banjir besar di kawasan perumahan berhampiran dan juga di kawasan hilir sungai? Apakah keputusan kajian impak alam sekitar (EIA) terhadap skim pembangunan ini?