20180819_165316.jpg

oleh Dr. Jeyakumar Devaraj

 (Berikut ialah cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Dr. Jeyakumar Devaraj kepada Pejabat Perdana Menteri, berkaitan dengan isu-isu yang dihadapi golongan berpendapatan terendah di negara kita. Cadangan-cadangan ini terkandung dalam memorandum yang diserahkan pada 24 Januari 2019 kepada Muhammed Abdul Khalid, selaku Penasihat Ekonomi kepada Perdana Menteri.)

B20 merujuk kepada 20% isi rumah berpendapatan terendah dalam masyarakat.

A. Perumahan untuk B20

1. Status perumahan boleh membantu kita mensasarkan bantuan kerajaan kepada keluarga-keluarga yang termiskin di masyarakat kita.

Kampung-kampung peneroka bandar

Masih ada beberapa kampung di dalam bandar kita di mana pemilik rumah di situ tidak ada geran hak milik untuk tanah di mana rumah mereka dibina. Mereka digelar setinggan (kami panggil mereka “peneroka bandar”). Pada amnya, mereka merupakan golongan yang termiskin di bandar-bandar kita. Mereka sedang diusir oleh sebab proses pembangunan, dan biasanya terpaksa berpindah ke satu lagi kampung setinggan kerana mereka tidak berupaya membeli rumah bergeran. Ramai antara mereka tidak berupaya membeli rumah berharga RM 60,000 pun.

Ada 2 cara boleh membantu mereka:

  1. Memberikan mereka geran untuk tanah yang mereka menduduki, di samping meningkatkan kualiti infrastruktur – jalan, longkang dan sebagainya, secara berperingkat.
  2. Membina rumah PPR sewa-beli (dengan sewa RM 120 sebulan) untuk penduduk di kampung-kampung peneroka bandar ini (sama ada mereka pemilik rumah itu ataupun mereka penyewa rumah itu).

Penyelesaian masalah perumahan mereka akan menstabilkan situasi kewangan mereka dan meningkatkan kemampuan mereka untuk membelanja dalam makanan dan pendidikan kanak-kanak.

Penghuni rumah pangsa kos rendah

Banyak daripada rumah pangsa kos rendah di bandar-bandar kita sudah merosot sehingga menjadi “kawasan slum (sesak dan kotor) bertingkat tinggi”(high-rise slums). Ramai daripada penghuni rumah-rumah pangsa ini adalah daripada golongan B20.

Sistem penyelenggaraan rumah-rumah pangsa kos rendah adalah punca asas masalah ini. Mengikut undang-undang yang sedia ada, pemilik-pemilik unit dikehendaki menubuhkan satu perbadanan pengurusan (management corporation) untuk mengendalikan isu penyelenggaraan. Keluarga M40 yang menduduki pangsapuri yang lebih mahal dapat membayar RM100 hingga RM200 sebulan dan perbadanan pengurusan mereka mampu membeli perkhidmatan syarikat pengurusan bangunan. Tetapi rumah pangsa kos rendah tidak boleh mengutip bayaran yang tinggi. Fi rendah pun sering tidak dapat dikutip kerana ramai penghuni memang kekurangan wang. Pengurusan juga dikendalikan secara sukarela oleh penghuni sendiri dan biasanya mereka mengaku kalah kerana tidak dapat mengutip wang yang mencukupi untuk buat kerja penyelenggaraan yang sempurna dan tidak dapat tahan konflik yang dijana semasa berusaha menyelenggarakan rumah pangsa itu.

Kerajaan harus mengambil keputusan untuk meletak tanggungjawab penyelenggaraan rumah-rumah pangsa kos rendah di bawah Majlis-mahlis Perbandaran. Sistem “township” yang dipakai di Singapura harus dikaji dan beberapa unsurnya boleh diterima pakai untuk menjaga rumah-rumah pangsa kita. Undang-undang yang sedia ada telah mewujudkan jawatan Pesuruhjaya Bangunan yang ada cukup kuasa untuk memindahkan tanggungjawab penyelenggaraan kepada Majlis Bandaran Tempatan. Di samping itu, satu dana harus disediakan untuk membolehkan majlis-majlis perbandaran kita supaya melaksanakan kerja pemulihan yang diperlukan segera.

Masyarakat Ladang 

Kerajaan harus menggunapakai Akta Pengambilan Tanah untuk mengambil 20 ekar tanah ladang dan mewujudkan skim PPR (sewa-beli) di ladang-ladang besar untuk pekerja yang keluarganya telah kerja lebih daripada 20 tahun di sektor ladang. Bekas pekerja yang sudah berpindah keluar tetapi masih belum memiliki rumahnya sendiri pun boleh ditawarkan sebuah rumah di bawah skim PPR ini. Skim-skim PPR ini harus diletak sedekat mungkin dengan jalan besar dan bandar.

Ibu tunggal 

PSM menggunakan istilah ini untuk wanita yang mengetuai sebuah keluarga dengan sekurang-kurangnya seorang anak di bawah umur 18 tahun. Wanita dengan suami yang sakit teruk sehingga tidak dapat bekerja pun boleh disertakan dalam golongan ini. Mengikut statistik kerajaan, adanya 250,000 ibu tunggal di negara kita dan 60% daripada mereka berpendapatan isi rumah di bawah RM 2,000 sebulan.

Beberapa rumah dalam setiap skim PPR yang dibina oleh kerajaan harus dikhaskan untuk disewa kepada ibu tunggal berpendapatan rendah. Apabila beberapa keluarga ibu tunggal dapat dikumpulkan dalam satu kawasan perumahan, bantuan seperti Pusat Jagaan Kanak-kanak boleh disediakan untuk mereka.

B. Kemiskinan masyarakat desa

1. Pengangguran Tersembunyi 

“Guna tenaga tidak penuh”(under-employment) ataupun pengangguran tersembunyi, merupakan satu masalah besar di kawasan luar bandar. Ramai orang di situ bekerja separuh masa sahaja – pekebun getah hanya perlu menoreh selang hari, dan mereka yang “kerja kampung” hanya dapat kerja 2 atau 3 hari seminggu. Jadi masyarakat ini memerlukan kerja, tetapi mereka tidak dapat mencari kerja kerana dua sebab utama:

a/ Kehadiran berjuta-juta pekerja asing tanpa dokumen di negara kita yang rela bekerja dengan gaji yang amat rendah. Ada lebih kurang 3 juta orang pekerja asing tanpa dokumen (digelar PATI oleh kerajaan) pada takat ini. Ini satu bilangan yang besar memandangkan hanya ada 6.5 juta orang ahli aktif KWSP pada takat ini. Kerja-kerja kontrak di kebun-kebin kecil, di reban ayam (poultry farm), kolam ikan dan sebagainya semua “disapu” oleh pekerja “PATI” yang terpaksa terima apa sahaja terma yang diberi oleh majikan.

b/ Kecenderungan majikan kilang dan syarikat besar untuk mengupah perkerja asing (yang sah di sisi undang) berbanding pekerja tempatan. Ini kerana pekerja asing sedia bekerja secara shif 12 jam setiap hari, tidak akan meminta cuti kerana ada perkahwinan atau kematian dalam keluarga ataupun kerana anak sakit. Pekerja asing juga lebih murah kerana majikan tidak dikenakan caruman 13% gaji kepada KWSP. Pekerja asing juga lebih senang untuk dikawal – jika mereka membantah arahan majikan, kenalpasti sahaja 2 orang antara pemimpin mereka, batalkan permit kerja mereka dan hantar mereka balik ke negara asal – selesailah masalah!

Oleh itu majikan kilang sering menipu Jabatan Imigresen bahawa tiada orang tempatan yang berminat kerja (walaupun beberapa orang tempatan respon pada sepanduk yang mengiklankan tempat kosong di kilang – mereka dihantar balik selepas mengemukakan permohonan mereka).

Langkah-langkah untuk mengendalikan masalah PATI 

i/ Pengambilan pekerja asing harus dilaksanakan melalui mekanisme G to G (Government to Government) tanpa sebarang kepentingan komersial. Pada takat ini agensi buruh memperolehi RM 10,000 hingga RM14,000 seorang pekerja asing yang dibawa masuk.

ii/ Hak pembelaan harus diperkasakan. Jika seorang pekerja bermasalah dengan majikan dan diberhentikan kerja oleh sebab itu, beliau harus diberi Permit Kerja untuk bekerja di syarikat yang lain sekiranya dia memfailkan kes terhadap majikan yang lama. Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) harus diberi mandat (dan bayaran kerajaan – daripada levi yang dikutip daripada pekerja asing) untuk mewakili pekerja asing di mahkamah buruh.

iii/ Majikan yang menggaji pekerja asing tanpa dokumen harus dikenakan hukuman penjara. Undang-undang ini memang wujud sekarang, tetapi jarang dipakai terhadap majikan. (Pada saya, hukuman sebat terhadap majikan yang juga diperuntukkan dalam undang-undang yang sedia ada adalah terlalu keras dan tidak harus dipakai. Penjara sebulan atau dua cukup!)

iv/ Skim pemutihan (amnesty program) harus dibuka. Tetapi ianya

– mesti dilaksanakan oleh kerajaan dan tidak disumberkan luar kerana banyak penyelewengan berlaku bila tanggungjawab ini diberi kepada agensi yang mencari keuntungan.

– mesti realistik. Daftarkan sahaja pekerja asing dengan majikan di mana mereka berada sekarang. Jangan wujud sekatan berkaitan sektor ekonomi yang dibenarkan. Untuk proses pemutihan, tujuan kita adalah untuk mendaftarkan semua pekerja asing supaya masalah PATI dikawal.

– Jangan kenakan denda ataupun bayaran levi yang terlalu tinggi.

Langkah-langkah untuk membuka peluang bekerja di kilang 

i/ Pejabat Buruh harus bersikap pro-aktif dan mendaftarkan orang kampung yang berminat dapat kerja di kilang. Mungkin unit pendaftaran bergerak harus pergi ke pasar-pasar petang untuk mendaftarkan orang kampung.

ii/ Kilang-kilang yang memerlukan pekerja asing baru sekarang pun dikenakan syarat pasang sepanduk untuk memberitahu pada rakyat tempatan bahawa ada jawatan kosong. Hanya jika tiada respon daripada rakyat tempatan, barulah kilang itu boleh memohon pada Jabatan Imigresen untuk keizinan membawa masuk pekerja asing. Dua syarat tambahan harus dikenakan

  1. Kilang harus memberitahu Pejabat Buruh berdekatan bahawa dia sedang mencari pekerja supaya Pejabat Buruh boleh memaklum pada orang tempatan yang berminat dapat kerja kilang dan memantau sama ada orang kampung itu memohon dan juga respon kilang pada orang tempatan yang memohon.
  2. Pengesahan Pejabat Buruh bahawa tiada orang tempatan yang berminat harus dijadikan satu keperluan sebelum Jabatan Imigresen meluluskan permohonan kilang membawa masuk pekerja asing baru.

iii/ Perkhidmatan pengangkutan awam dari kawasan perkampungan ke kawasan perindustrian harus disediakan untuk membolehkan orang kampung pergi bekerja di kilang.

iv/ Kerja lebih masa secara paksa harus diberhentikan. Pekerja tempatan yang hanya mahu kerja 8 jam sehari harus dibenarkan buat begitu.

2. Harga komoditi yang rendah 

Dua faktor menyebabkan fenomena ini yang melibatkan hampir semua jenis komoditi pertanian.

  1. Pembekalan yang melebihi permintaan. Adanya beratusan ribu pekebun kecil di Asia, Afrika dan Amerika Latin yang bertungkus lumus untuk mengeluarkan komoditi pertanian kerana mereka miskin dan mereka memerlukan pendapatan yang lebih besar.
  2. Pembeli komoditi pertanian merupakan satu oligopoli yang cukup kaya untuk mewujudkan stok komoditi itu supaya harganya boleh dikawal dan ditekan ke paras yang lebih rendah.

Dua faktor ini timbul daripada struktur ekonomi antarabangsa dan adalah amat susah untuk sebuah negara seperti Malaysia untuk berkempen supaya meningkatkan harga getah dan kelapa sawit di pasaran antarabangsa.

Cara-cara menangani masalah ini –

i/ Insentif pengeluaran padi / getah / kelapa sawit boleh dilaksanakan untuk membantu pekebun kecil. Insentif untuk padi harus dikekalkan untuk jangka masa panjang kerana padi penting untuk keselamatan makanan negara (food security). Kita harus cuba meningkatkan taraf sara diri kita daripada 70% (status sekarang) ke 100% untuk padi.

ii/ Tetapi untuk getah dan kelapa sawit, kita harus cuba mempelbagaikan (diversify) produk sektor pertanian. Pada takat ini, taraf sara diri untuk bahan-bahan makanan yang berikut adalah lebih kurang

daging lembu     20%                       daging kambing                 15%

susu lembu                   15%                       sayuran                            70%

Kita juga memerlukan lebih banyak ikan air tawar dan makanan untuk binatang ternakan. Kementerian Pertanian perlu mencari kaedah untuk membina kapasiti petani/pekebun kita dalam mengeluarkan bahan-bahan makanan yang diperlukan untuk rakyat kita.

iii/ Masalah lambakan buah pada musim buah harus ditangani dengan berkesan. Antara langkah yang boleh diambil

– FAMA kena mencipta cara-cara untuk mengetinkan, mengeringkan, menjuiskan, menyejukkan dan sebagainya untuk buah-buah tempatan supaya dapat disimpan dengan selamat dan dijual pada musim lain dan mungkin juga di luar negeri.

– Kaedah “forward contract” harus dipelopori oleh FAMA di mana perjanjian dibuat dengan pekebun-pekebun dusun untuk membeli satu amaun buah dengan harga yang ditetapkan. Ini akan memberi jaminan pada pekebun dia akan dapat pasaran untuk sebahagian pengeluarannya.

C. Ketiadaan kewarganegaraan (statelessness)

Wujudnya 3 kategori kanak-kanak yang hadapi masalah “statelessness”:

  1. Mereka dengan ibu yang bukan warganegara Malaysia dan pada takat kelahiran kanak-kanak itu, belum didaftar kahwin dengan bapa kanak-kanak. Ada beberapa puluh ribu kanak-kanak seperti ini, hasil “perkahwinan” antara pekerja asing wanita (Indonesia, Thailand, Myanmar, Vietnam dan India) dan lelaki warga Malaysia berbilang kaum.
  2. Kanak-kanak dengan ibu yang dilahirkan di Malaysia tetapi status kewarganegaraan mereka diragui kerana status nenek kanak itu tidak diketahui.

iii. Kanak-kanak terdampar yang dibesarkan di rumah anak yatim. Adanya beberapa ratus individu yang telah ditinggalkan oleh ibu mereka apabila mereka masih kecil, dan mereka dibesarkan di asrama anak yatim. Biasanya pengurusan asrama mendaftarkan mereka di Jabatan Pendaftaran Negara dan mereka dikeluarkan Sijil Kelahiran. Tetapi nama dan kewarganegaraan ibu tidak dapat dicatit, dan oleh itu mereka ditakrif sebagai “bukan warga negara”.

Kanak-kanak di 3 kategori di atas adalah daripada golongan yang miskin. Dan kegagalan untuk mendapatkan kerakyatan meminggirkan lagi kanak-kanak ini kerana kesusahan mendaftarkan diri dalam sekolah kerajaan dan mendapatkan rawatan percuma di hospital. Apabila mereka mencapai umur 21 tahun pula, mereka menghadapi masalah mencari kerja. Ini kerana tanpa kad pengenalan mereka tidak boleh digunakan untuk mendaftarkan diri dengan KWSP ataupun PERKESO. Mereka hanya boleh mencari kerja yang “tidak formal” atau bercorak kontrak dengan gaji rendah. Mereka tidak boleh membuka akaun bank ataupun memperolehi lesen memandu. Apaila mereka berkahwin, mereka tidak dapat mendaftarkan perkahwinan mereka, kerana Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memerlukan kad pengenalan atau pasport asing untuk mendaftarkan perkahwinan. Oleh itu, anak-anak mereka diiktirafkan sebagai dilahir di luar nikah. Transmisi kemiskinan antara generasi diteruskan!

Punca masalah : Pada takat ini, prosedur operasi standard (SOP) JPN tidak mengikut peruntukan yang terkandung dalam Jadual Dua, Bahagian II, (1) (a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa “tiap-tiap orang yang lahir di Persekutuan dan sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya pada masa kelahiran itu seorang warganegara atau bermastautin secara tetap di Persekutuan ialah warganegara” untuk kategori (i) dan (ii) di atas kerana seksyen 17, Bahagian III, Jadual Dua Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa–

“Berhubung dengan seseorang anak tidak sah taraf, sebutan mengenai bapa orang itu atau mengenai ibu atau bapanya, atau mengenai seorang daripada ibu bapanya adalah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai ibunya.”

Oleh kerana Seksyen 17 ini, walaupun nama bapa tertera dalam sijil kelahiran dan kedua-dua ibu dan bapa menyatakan ianya memang bapa anak itu, kerakyatan anak itu didasarkan hanya pada status ibu (yang merupakan seorang warga asing).

Penyelesaian masalah kanak dalam semua 3 kategori yang dihuraikan di atas tidak memerlukan pindaan terhadap perlembagaan kita. Perkara 15(A) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi “Kerajaan Persekutuan boleh, dalam apa-apa hal keadaan khas yang difikirkannya patut, menyebabkan mana-mana orang yang di bawah umur dua puluh satu tahun didaftarkan sebagai warganegara”, memberi kuasa yang mencukupi kepada Menteri Dalam Negeri untuk menyelesaikan isu kerakyatan kanak-kanak dalam 3 katgori ini.

Perkara 15(A) harus digunakan untuk menggubal SOP baru dalam meluluskan kewarganegaraan bagi mana-mana kanak-kanak yang dilahir di Malaysia dan mempunyai bapa yang berwarganegara Malaysia jika bapa dapat dikenalpasti melalui rekod dalam sijil kelahiran ataupun melalui ujian DNA. Permohonan ini harus diluluskan di peringkat JPN. Tidak perlu dihantar untuk keputusan khas Menteri Dalam Negeri kerana akan melambatkan prosesnya.

JPN harus diberi SOP baru untuk meluluskan permohonan kewarganegaraan Malaysia melalui Perkara 15(A) ataupun Perkara 19(2) Perlembagaan Persekutuan kepada semua anak-anak yatim yang dibesarkan di rumah-rumah anak yatim sejak kecil walaupun ibu dan bapa tidak dapat dikenalpasti. Kuasa ini juga harus diturunkan kepada pegawai tinggi JPN dan dijadikan satu keputusan administratif.

D. Pencen Warga Emas 

Kita boleh membuat andaian bahawa lapisan T20 akan menyimpan dana yang mencukupi untuk menjaga diri sepanjang hayat mereka. Kita pun tahu hampir 15% daripada keluarga di Malaysia dilindungi oleh pencen kerajaan ataupun pencen ilat/penakat Perkeso.

Ini bermakna 65% daripada warga Malaysia yang berumur 70 tahun ke atas tiada simpanan wang untuk membantu mereka. Situasi adalah lebih teruk untuk mereka berada di lapisan B40 kerana anak-anak mereka juga menghadapi masalah kewangan dan menduduki rumah teres atau rumah pangsa yang sempit. Susah untuk mereka menjaga ibu-bapa yang tua.

Cadangan kami – Melaksanakan pencen warga emas untuk semua individu yang berusia 70 tahun ke atas yang tidak mempunyai sumber pencen yang lain. Jika pencen sebanyak RM 300 sebulan d beri pada setiap individu dalam kategori ini, kosnya untuk kerajaan adalah: 1 juta orang x RM300 x 12bulan =  RM 3.6 bilion.

Penutup 

Saya berharap syor-syor ringkas di atas boleh membantu kerajaan dalam usaha mencari kaedah-kaedah membantu golongan-golongan yang sedang menghadapi masalah ekonomi. Jika kerajaan memerlukan sebarang penjelasan terhadap mana-mana syor yang dikemukakan, saya sentiasa sedia membantu.

Saya tidak menyentuh isu punca dana kerajaan untuk membiayai perbelanjaan untuk program perumahan, pertanian dan pencen. Ini adalah satu tajuk yang besar dan kami ada beberapa syor berkaitan dengannya yang kami sedia berkongsi.

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM). Beliau pernah menjadi Ahli Parlimen Kawasan Sungai Siput pada tahun 2008-2018.

One thought on “Langkah-langkah untuk menangani masalah yang dihadapi B20

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s